AMELLAGOU - Di bawah terik matahari di padang pasir Maghribi, puak nomad Berber terakhir, Amazigh mendakwa kehidupan tradisional mereka kian terancam dek kerana perubahan iklim yang menyebabkan berlakunya kemarau ekstrim dan berpanjangan.
"Segala-galanya telah berubah,” kata Moha Ouchaali, lelaki Amazigh berusia 50-an yang mendirikan khemah berhampiran dasar sungai yang kering di kawasan bukit tandus, kira-kira 280 kilometer (km) ke timur Marrakesh.
Dengan wajah berkedut dan kepala dililit serban hitam, Moha meluahkan kekecewaannya dengan nada sedih; "Saya tidak mengenali diri saya lagi dalam dunia hari ini.
Malah, alam semula jadi juga sudah menentang kita.”Moha memberikan analogi itu bagi mengulas impak kemusnahan alam oleh manusia yang menyumbang kepada perubahan iklim sehingga menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.
Dia dan keluarga antara suku nomad Amazigh yang masih setia mendiami kawasan padang pasir di Maghribi dengan mendirikan khemah yang dipenuhi bekalan makanan dan pakaian.
Namun, kemarau menyebabkan kehidupan Moha dan komuniti Amazigh lain di perkampungan Amellagou bertambah rumit.
"Air semakin sukar dicari. Suhu juga meningkat dan kemarau amat teruk tetapi kami tidak terdaya melakukan apa-apa,” ujar Moha.
Puaknya, Ait Aissa Izem, telah menghabiskan berkurun-kurun berkelana di seluruh negara untuk mencari makanan bagi haiwan ternakan mereka, namun cara hidup sedemikian kini beransur-ansur lenyap.
Menurut bancian terakhir, hanya 25,000 orang di Maghribi adalah suku nomad pada 2014, berkurangan sebanyak dua pertiga dalam masa satu dekad sahaja.
Pengukur perubahan iklim
Tahun ini telah menyaksikan kemarau paling teruk di Maghribi dalam tempoh empat dekad.
Turunan hujan di negara itu dijangka berkurangan sebanyak 11 peratus dan suhu purata dijangka naik 1.3 peratus menjelang 2050, menurut ramalan Kementerian Pertanian.
"Penduduk nomad sentiasa dilihat sebagai pengukur perubahan iklim,” kata pakar antropologi Ahmed Slounti.
"Sekiranya orang-orang ini yang sudah terbiasa hidup dalam keadaan ekstrem tidak dapat melawan arus pemanasan global, ia bermakna situasi adalah teruk. Sumber air yang kering merupakan kemelut terakhir untuk puak nomad,” tambah Ahmed.
Kekurangan air yang teruk telah mendorong sesetengah nomad mengambil langkah yang ‘luar biasa’ iaitu mengambil pinjaman peribadi untuk memberi makan kepada haiwan ternakan, aset paling penting mereka.
"Saya telah berhutang hanya untuk membeli makanan untuk haiwan ternakan supaya ia tidak mati kelaparan,” kata Ahmed Assni, 37, ketika duduk di tepi sungai yang hampir kering berdekatan Amellagou.
Saeed Ouhada pula berkata, keperitan hidup mendorong dia mencari tempat tinggal tetap untuk isteri dan anaknya di Amellagou, sementara dia tinggal bersama ibu bapanya di sebuah khemah di pinggir bandar.
"Ibu bapa saya sudah tua tetapi mereka enggan tinggal di bandar,” ujarnya.
Sementara itu, Driss Skounti yang dipilih untuk mewakili puak nomad di rantau itu berkata, kawasan di Amellagou sebelum ini mempunyai kira-kira 460 khemah namun pada hari ini jumlahnya tidak sampai satu persepuluh daripada angka tersebut.
"Beberapa penduduk nomad Maghribi telah meninggalkan gaya hidup lama mereka bukan sahaja disebabkan iklim yang teruk tetapi didorong oleh perubahan sosial dan ekonomi.
"Situasi ini menjadikan gaya hidup nomad semakin sukar.
"Kehidupan nomad diakui mempunyai identiti dan tradisi yang kaya dengan sejarah, tetapi ia bakal lenyap dalam tempoh 10 tahun,” tegasnya. – AFP
Klik di sini untuk terus membaca