SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan peruntukan yang disalurkan dalam Bajet 2023 dapat dipercepatkan supaya ekonomi negara lebih bersedia untuk menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi global pada 2023. Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan perlu memastikan peruntukan yang disalurkan dalam Bajet 2023 dapat dipercepatkan supaya ekonomi negara lebih bersedia untuk menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi global pada 2023.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, kepantasan agihan peruntukan terutama melibatkan bantuan kepada rakyat dan perniagaan itu sangat penting bagi melindungi ekonomi negara daripada krisis tersebut.

"Ini kerana kita lihat pencapaian Bajet 2022 sehingga April lalu, hanya 35 peratus dibelanjakan daripada peruntukan yang diberikan.

"Jadi, memang kita kena pastikan bila tahun 2023 mula, mereka akan terus menyalurkan bantuan ini kepada rakyat supaya mereka boleh mendepani kesan krisis bakal berlaku itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu, Muhammad Daaniyall berkata, Bajet 2023 itu dilihat meneruskan kesinambungan langkah proses pemulihan ekonomi negara yang telah dimulakan sejak tahun lalu, antaranya melalui penambahbaikan bantuan dan insentif yang diberikan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat kerajaan tidak menangani secara langsung beberapa isu utama yang memberi kesan terhadap pihak industri negara seperti peningkatan inflasi dan kejatuhan mata wang ringgit dalam bajet dibentangkan itu.

Sementara itu, Pakar Ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor pula berpendapat, aspek kebajikan rakyat yang diumumkan dalam Bajet 2023 bersifat realistik dalam keadaan negara berdepan pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Katanya, paling ketara ialah Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dapat dinikmati secara sama rata tanpa mengira jumlah pendapatan isi rumah berbanding sebelum ini.

"Konsep bantuan seumpama itu wajar diperluaskan agar lebih ramai rakyat yang mendapat manfaat sama,” katanya.

Menurut Shazali, Bajet 2023 adalah bajet menjaga kebajikan rakyat, di samping menggalakkan pertumbuhan ekonomi menerusi dana pembangunan berjumlah RM95 bilion.

"Pertumbuhan ekonomi ini nanti bakal diterjemahkan menerusi pemberian bantuan berbentuk kebajikan seperti jumlah Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang telah dinaikkan.

"Selain itu saya kira yang lebih menggembirakan ialah BAP, yang telah dinaikkan kepada RM150 untuk seorang murid dan bakal dinikmati semua golongan tanpa mengira jumlah pendapatan. Bantuan ini benar-benar kena pada sasaran.

"Satu perkara lagi yang menarik perhatian saya ialah peruntukan bagi program membasmi kemiskinan sebanyak RM1 bilion, namun paling penting adalah golongan ini tidak tercicir daripada keperluan asas seperti bekalan air dan elektrik, di samping meningkatkan pendapatan mereka,” ujar beliau.

Jelas Shazali, manfaat kebajikan Bajet 2023 disifatkan lebih menyeluruh berbanding sebelum ini apabila terdapat golongan masih boleh menikmati lebih perbelanjaan menerusi pengurangan cukai individu sebanyak dua peratus bagi yang berpendapatan RM50,000 hingga RM100,000.

"Pengurangan dua mata peratusan cukai pendapatan sebanyak dua peratus ini membantu golongan pertengahan mempunyai lebihan kewangan untuk berbelanja. Ia lebih realistik dalam keadaan semasa walaupun bukan 100 peratus tetapi amat membantu rakyat melangsungkan kehidupan,” katanya.

Selain itu, ujar beliau, insentif terhadap golongan muda B40 iaitu bantuan bagi ujian memandu untuk lesen motosikal B2 juga menjadi aspek kebajikan yang sangat diperlukan.

"Ia akan membantu kumpulan belia ini untuk menjana pendapatan menerusi perkhidmatan penghantaran dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyambut baik diskaun yang diberikan kerajaan bagi pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), namun adalah lebih baik sekiranya ia diberikan tanpa syarat.

"Bagi peminjam yang boleh bayar sekali gus, mereka mampu dan akan terima manfaat itu. Namun, bagi mereka yang tak mampu, hak mereka seperti dinafikan. Sepatutnya ia tidak terhad untuk sebarang jenis bayaran kerana ia juga demi kebaikan negara,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca