SHAH ALAM - Bajet 2023 menyaksikan peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan berbanding dua tahun sebelumnya, iaitu berjumlah RM95 bilion daripada jumlah keseluruhan, RM372.3 bilion. Jumlah itu meningkat dengan ketara berbanding... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bajet 2023 menyaksikan peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan berbanding dua tahun sebelumnya, iaitu berjumlah RM95 bilion daripada jumlah keseluruhan, RM372.3 bilion.

Jumlah itu meningkat dengan ketara berbanding RM75.6 bilion pada 2022 dan RM64 bilion pada 2021.

Penganalisis Ekonomi, Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya, Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pertambahan jumlah berkenaan adalah perlu bagi membolehkan kerajaan meneruskan pelbagai projek mega sambungan berimpak tinggi kepada rakyat dan ekonomi negara.

Ahmed Razman berkata, ini termasuklah projek infrastruktur utama negara seperti Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), RTS Link dan Central Spine Road (CSR).

"Kalau kita tengok semua peruntukan berkenaan hanya membabitkan projek sambungan yang sedang dilaksanakan bukannya projek pembangunan baharu, maka saya melihat tiada isu apabila ia dimasukkan dalam Bajet 2023.

"Malah, jika kerajaan mahu membatalkan projek mega berkenaan ia bukannya hanya menyebabkan kerugian kepada rakyat dan negara, malah membabitkan implikasi undang-undang sehingga kita mungkin terpaksa membayar pampasan kepada syarikat kontraktor terbabit.

"Tambahan pula kebanyakan projek terbabit bukan hanya memudahkan rakyat bergerak ke sana sini, malah dijangka memberikan limpahan ekonomi, menyediakan beribu peluang pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk setempat seperti Pan Borneo Sabah dan Sarawak; MRT2 dan MRT3," katanya kepada Sinar Premium.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM372.3 bilion termasuk RM272.3 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM95 bilion perbelanjaan pembangunan dan RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

Daripada RM95 bilion berkenaan, RM16.5 bilion akan disediakan bagi sektor pengangkutan melalui projek infrastruktur utama terutamanya Lebuh Raya Pan Borneo, Landasan Kereta Api Berkembar Gemas-Johor Bahru, Projek ECR, RTS Link dan CSR.

Jajaran Pan Borneo di Sarawak dijangka siap sepenuhnya untuk manfaat rakyat di negeri itu manakala Pan Borneo Sabah pula bakal siap menjelang 2024.

Bagi meningkatkan kualiti penyampaian serta menyediakan persekitaran yang kondusif, kerajaan turut mengutamakan keperluan pembaikan dan penyelenggaraan aset termasuk jalan raya persekutuan serta bangunan kerajaan dengan peruntukan RM11.4 bilion.

Bagi Mass Rapid Transit (MRT) 3, rangkaian rel Kuala Lumpur dengan jajaran sepanjang 50.8 kilometer, projek ini melibatkan kos sebanyak RM50.2 bilion dengan unjuran perbelanjaan tahun 2023 sebanyak RM3.3 bilion. MRT3 Fasa 1 dijangka siap pada tahun 2028 manakala Fasa 2 pada tahun 2030.

Bajet 2023 menyaksikan kerajaan bersetuju meneruskan projek mega berimpak tinggi termasuk Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). - Foto Bernama

Malah, Ahmed Razman berkata, kerajaan Indonesia juga bercadang melaksanakan projek pembangunan bagi membolehkan Lebuh Raya Pan Borneo dapat disambungkan dengan sistem jalan raya di republik terbabit.

Bagaimanapun, Ahmed Razman berkata, kerajaan perlu berhati-hati dalam melaksanakan projek mega seperti ECRL kerana ia membabitkan pelabur daripada negara asing.

Dalam pada itu, Ahmed Razman juga menyambut baik pertambahan jumlah peruntukan untuk pembangunan luar bandar bagi mengurangkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar.

"Saya memang setuju dengan tindakan kerajaan meningkatkan jumlah peruntukan untuk membangunkan kawasan luar bandar dan pedalaman kerana kalau boleh kita tidak mahu melihat lagi kes di mana sekolah tiada bekalan elektrik, air paip dan jalan raya.

"Ini memang sesuatu yang wajib ada dalam setiap kali bajet diumumkan kerajaan setiap tahun. Kita perlu pastikan setiap golongan rakyat Malaysia dapat menikmati kemudahan asas.

"Malah, ini pertama kali kerajaan memperuntukkan RM2.55 bilion disediakan bagi kemudahan infrastruktur luar bandar dengan tumpuan kepada Sabah dan Sarawak," katanya.

Kongsi Ahmed Razman, pada awalnya beliau terkejut dengan peningkatan 17 peratus atau lebih RM40 bilion peruntukan dalam Bajet 2023 berbanding RM332.1 bilion pada Belanjawan 2022.

Bagaimanapun, Ahmed Razman faham kenapa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, membuat keputusan menambah jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan menerusi Bajet 2023.

Beliau menegaskan, kerajaan berbuat demikian kerana pertamanya berdasarkan indikator atau petunjuk pertumbuhan ekonomi positif pada tahun 2022 dan kedua sebagai persediaan menghadapi PRU15 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa dari sekarang.

Sementara itu, Fello Penyelidik Kanan, Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Zulkiply Omar berkata, beliau menyokong penuh tindakan kerajaan memberikan peruntukan besar untuk tujuan pembangunan.

Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia tidak boleh lari daripada tempias perkembangan global yang kian mencabar.

"Strategi berkenaan tepat susulan jangkaan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan pada tahun depan memerlukan negara memberi tumpuan kepada usaha merancakkan pasaran domestik.

"Kerajaan juga menarik pelaburan berasaskan teknologi bukannya intensif buruh bagi menambahkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia pada masa hadapan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca