SHAH ALAM - Struktur ekonomi negara untuk jangka masa panjang dibimbangi menjadi tidak mampan sekiranya kerajaan terlalu bergantung kepada pemberian dividen khas keuntungan Petronas dalam setiap peruntukan belanjawan negara. Bekas Menteri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Struktur ekonomi negara untuk jangka masa panjang dibimbangi menjadi tidak mampan sekiranya kerajaan terlalu bergantung kepada pemberian dividen khas keuntungan Petronas dalam setiap peruntukan belanjawan negara.

Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pada zaman dahulu, sekiranya kerajaan mahu melihat pengukuhan struktur ekonomi negara, kerajaan akan melihat berapa jumlah sebenar pendapatan diterima kerajaan melalui pelbagai bentuk cukai, tanpa mengira hasil dividen khas disumbangkan Petronas setiap tahun.

Sejak tahun 2019, Johari mendedahkan jumlah pendapatan kerajaan tanpa mengambil kira penerimaan dividen Petronas telah menunjukkan kadar penurunan besar daripada 16 peratus kepada 11 peratus.

"Jadi, kalau sudah mencecah kadar 11 peratus dengan kita menjadi lebih banyak bergantung kepada ihsan keuntungan Petronas, saya bimbang ekonomi dan perbelanjaan negara akan menjadi tidak mampan.

"Oleh kerana kerajaan mula menggunakan lebih banyak duit dividen Petronas untuk perbelanjaan negara sehingga tidak selaras dengan keuntungan syarikat itu, ada kemungkinan rating penarafan Petronas akan merudum daripada A kepada A- atau BBB.

"Saya bimbang sekiranya berlaku kepada kebolehan Petronas membayar hutang dan royalti minyak kepada negeri-negeri, ia akan menjejaskan keseluruhan struktur ekonomi negara kerana kerajaan gagal untuk memperoleh pendapatan tambahan selain cukai sedia ada," katanya kepada media pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas inti pati usul Bajet 2023 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang menyaksikan nilai keseluruhannya berjumlah RM372.3 juta.

Nilai itu sekali gus menjadikan peruntukan Bajet 2023 adalah paling tinggi pernah direkodkan dalam sejarah belanjawan negara, mengatasi nilai RM332.1 bilion pada tahun 2022 dan RM322.5 bilion (2021).

Daripada keseluruhan peruntukan Bajet 2023, sejumlah RM272.3 bilion disediakan bagi belanja mengurus, RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19, RM95 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.

Berikutan itu, Johari yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggesa kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam menyerap sumber keuntungan dividen daripada Petronas bagi tujuan perbelanjaan negara.

Jelasnya, satu pelan kontingensi lebih baik harus diwujudkan bagi mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada Petronas kerana inisiatif pemberian dividen berkenaan perlu dihadkan.

"Sebagai contoh, apabila inisiatif Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah tiada, kita sudah kehilangan salah satu sumber pendapatan tetap kepada negara.

"Kita sangat bernasib baik kerajaan mendapat tambahan pendapatan RM25 bilion daripada kenaikan harga minyak mentah dunia berbanding jangkaan asal RM25 bilion.

"Sekiranya penyediaan Bajet 2023 adalah mengambil kira unjuran harga minyak mentah dunia setong pada nilai Dolar Amerika Syarikat (AS$)90, adakah kerajaan akan bersedia dengan sebarang impak sampingan sekiranya harga minyak mentah berkenaan jatuh kepada AS$70?

"Sebab itu penting untuk kita pantau dan analisis setiap peruntukan dikemukakan dalam Bajet 2023 supaya data-data ini dapat dijadikan panduan pengiraan untuk penyediaan belanjawan mendatang," tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Ridzuan Mohd Yusof pula berpandangan, keseluruhan peruntukan yang disalurkan bagi memperkasakan sektor Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PKMS) dalam Bajet 2023 perlu ditambah baik.

Mohd Redzuan

"Ia penting demi memastikan golongan berkenaan mampu lebih berdaya saing dan mempunyai jaringan keselamatan sewajarnya sekiranya implikasi unjuran krisis kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2023 lebih buruk daripada dijangkakan," katanya kepada Sinar Premium.

Klik di sini untuk terus membaca