SHAH ALAM - Mana-mana pihak tidak wajar menekan Pas dalam menyatakan pendirian sama ada mahu kekal dalam Perikatan Nasional (PN) atau kembali bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Sebaliknya, Ahli Parlimen... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mana-mana pihak tidak wajar menekan Pas dalam menyatakan pendirian sama ada mahu kekal dalam Perikatan Nasional (PN) atau kembali bekerjasama dengan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkeyakinan Pas akan membuat ketetapan muktamad hanya setelah Parlimen dibubarkan kelak.

Jelas beliau, semua pihak harus memahami bahawa Pas adalah rakan koalisi rasmi dalam PN dan merupakan salah sebuah parti utama yang membentuk kerajaan campuran BN-PN ketika ini.

"Sebab itu saya hairan bila ada pihak mahu tekan Pas supaya putuskan pendirian mereka hendak sokong siapa.

"Kita kena faham, Pas dalam PN sebagai rakan koalisi rasmi dan mereka masih berada dalam kerajaan sedia ada.

"Sepatutnya semua orang kena tunggu Parlimen terbubar, barulah Pas akan nyatakan pendirian mereka. Saya sangat yakin Pas akan tetap memilih kerjasama Muafakat Nasional (MN) pada akhirnya," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Muhyiddin (kiri) memperkatakan sesuatu kepada Abdul Hadi pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Peringkat Terengganu di Masjid Rusila malam tadi. - Foto Bernama

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa yang memberi bayangan Pas seolah-olah akan membuat pusingan U dan kembali mengukuhkan MN tidak lama lagi.

Sebelum itu, Ahmad Zahid mendedahkan UMNO meletakkan tiga syarat utama kepada Pas sekiranya parti itu mahu menjalinkan kerjasama PRU15 iaitu memutuskan hubungan dengan Bersatu, keluar daripada PN serta membuat pengumuman rasmi mereka sepenuhnya mufaraqah (berpisah) dengan PN dan Bersatu dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tiga syarat dikemukakan UMNO seumpama syarat 'meminang Puteri Gunung Ledang' dan menggesa parti terbesar Melayu itu untuk mempertimbangkan agenda perpaduan ummah demi kepentingan lebih besar.

Justeru, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Pas akan membuat keputusan muktamad mengenai kerjasama mereka dengan UMNO pada hujung minggu ini.

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin ketika bercakap kepada Sinar Premium pada Khamis menegaskan sebarang pendirian parti dalam mempertimbangkan pilihan kerjasama MN dan PN tidak akan lari daripada ketetapan syarak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof percaya Pas pastinya akan memilih untuk kekal dalam PN sekiranya parti itu benar-benar mahu memperjuangkan agenda perpaduan ummah bagi menyatukan parti-parti politik Melayu Islam.

Jelas beliau, ternyata dari awal lagi UMNO-BN paling lantang menolak agenda diperjuangkan Pas, meskipun terdapat sebilangan pemimpin parti berkenaan telah menampakkan sedikit transformasi positif untuk cuba berbaik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Secara peribadi, saya sentiasa mendambakan harapan bahawa ketiga-tiga parti Melayu iaitu Bersatu, Pas dan UMNO akhirnya akan duduk semeja dan terbuka hati untuk bekerjasama demi permaslahatan orang Melayu Islam negara ini.

"Bagi saya, semua pemimpin dalam parti-parti berkenaan perlu berjiwa besar untuk kembali berbaik-baik sesama kita. Ini kerana masa hadapan kaum Melayu dan Islam di negara ini terletak di tangan kita.

"Tetapi sekiranya UMNO-BN masih lagi dengan sikap ego dan sombong untuk menolak agenda perpaduan Pas, saya fikir lebih baik Pas pilih untuk kekal dengan PN. Hanya koalisi PN sahaja yang saya lihat bersungguh-sungguh untuk menjayakan agenda Pas selama ini," tegas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu lagi.

Klik di sini untuk terus membaca