SHAH ALAM - Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (Pemuda GEMA) mengalu-alukan pelbagai inisiatif dan insentif yang dikemukakan oleh kerajaan menerusi Bajet 2023 yang disifatkan sebagai langkah tepat membantu rakyat.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat Pemuda GEMA, Miqdam Rashid berkata, secara asasnya Pemuda GEMA menganggap Bajet 2023 merupakan proses membangunkan kembali Malaysia pada pasca Covid-19 terutama melibatkan sara hidup rakyat.
Katanya, tumpuan Bajet 2023 terhadap penyediaan inisiatif dan insentif baik kepada golongan belia serta rakyat marhaen adalah penekanan yang sewajarnya dilaksanakan pada masa ini.
Menurutnya, penyediaan insentif e-Pemula sebanyak RM200 untuk golongan belia dan pelajar serta e-Pemula sebanyak RM100 kepada mahasiswa daripada keluarga berpendapatan sederhana (M40) merupakan bantuan sebaiknya kepada kumpulan sasar.
"Selain itu, tawaran diskaun 15 hingga 20 peratus bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM2,500 adalah bantuan yang sangat diperlukan oleh rakyat.
"Pemberian RM500 untuk ibu penerima BKM melahirkan anak di bawah program Cahaya Mata Keluarga, bantuan internet sebanyak RM30 untuk tiga bulan menerusi Pakej Remaja Keluarga Malaysia serta beberapa pengurangan kadar cukai pendapatan individu merupakan inisiatif terpuji," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Sabtu.
Meskipun begitu, Miqdam berkata, kebimbangan Pemuda GEMA melibatkan dua perkara iaitu mengenai peningkatan peruntukan pembangunan yang terbesar dalam sejarah negara serta pengurangan mendadak subsidi dan bantuan sosial.
Jelasnya, peningkatan peruntukan pembangunan kepada sebanyak RM95 bilion berbanding RM75.6 bilion pada 2022 adalah satu jumlah sangat besar yang perlu dipantau sebaiknya.
Menurutnya, kegusaran kedua melibatkan pengurangan mendadak subsidi dan bantuan sosial daripada RM58.9 bilion pada 2022 kepada RM42 bilion untuk 2023 dilihat sebagai tindakan kurang komprehensif.
"Untuk itu, Pemuda GEMA sangat berharap dengan peningkatan peruntukan pembangunan terbesar ini, kerajaan perlu menjamin tiada skandal dan ketirisan dana negara.
"Kerajaan juga perlu memastikan segala perancangan pembangunan dapat dirasai oleh setiap rakyat Malaysia.
"Urusan perolehan kerajaan perlulah bersih daripada sebarang unsur rasuah, kronisme dan penyalah gunaan dana awam oleh mana-mana individu berpengaruh sama ada ahli politik mahupun penjawat awam," katanya.
Selain itu, Miqdam berkata, kerajaan sewajarnya mengambil langkah proaktif, malah drastik dan menyeluruh bagi menangani masalah kenaikan harga barangan asas rakyat Malaysia.
Katanya, setiap lapisan masyarakat terutama golongan miskin dan belia mendapat pembelaan sewajarnya dalam meneruskan kehidupan seharian.
"Perkara ini dilihat agak memeritkan buat rakyat memandangkan bantuan sosial dan subsidi bagi Bajet 2023 semakin berkurang, sedangkan kos sara hidup menjadi semakin meruncing," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca