PERLEMBAGAAN Persekutuan memperuntukkan kuasa pemerintahan atau eksekutif sebenar bagi Malaysia adalah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan ia dinyatakan secara jelas dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, Perkara 40... Klik di sini untuk terus membaca

PERLEMBAGAAN Persekutuan memperuntukkan kuasa pemerintahan atau eksekutif sebenar bagi Malaysia adalah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan ia dinyatakan secara jelas dalam Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Perkara 40 menghendaki YDPA menjalankan fungsi Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Perkara 55 pula menjelaskan tiga kuasa utama YDPA iaitu memanggil sidang Parlimen, memprorog Parlimen dan membubarkan Parlimen.

Perkara 55(2) di atas tidak menyatakan YDPA perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan hal ini juga hanya terhad kepada memprorog dan membubar Parlimen.

Kuasa YDPA ini adalah melalui budi bicara Seri Paduka dan tidak memerlukan nasihat sebagaimana peruntukan spesifik dalam Perlembagaan Persekutuan. Jika pembubaran diperkenan, ia mesti diikuti dalam tempoh 60 hari pilihan raya umum (PRU).

Memprorog Parlimen masih belum lazim dicatatkan dalam sejarah perundangan negara seperti tindakan yang diambil Perdana Menteri Britain dan juga Raja James pada abad ke-16.

Peruntukan mengenai memprorog Parlimen ini masih belum diuji di mahkamah Malaysia dan tiada penghakiman dibuat mengenainya sebelum ini. Namun kuasa tersebut ada disebut dalam Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 55.

Isu nasihat jemaah menteri untuk membubar Parlimen ditimbulkan baru-baru ini. Namun, saya hanya ingin memberi pandangan berdasarkan pemahaman saya dalam undang-undang sahaja.

BUBAR PARLIMEN

Pembubaran Parlimen di Malaysia boleh berlaku secara automatik iaitu apabila tamat tempoh lima tahun.

Situasi kedua apabila Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti di Dewan Rakyat dan meminta YDPA membubarkan Parlimen.

Keadaan lain ialah apabila terdapat permintaan kepada YDPA untuk membubar Parlimen. Dalam keadaan ini YDPA boleh memberi perkenan ataupun menolaknya. Ia adalah prerogatif YDPA. Permintaan tersebut pula boleh dilakukan oleh Perdana Menteri sahaja.

Membubarkan Parlimen ini adalah budi bicara YDPA tetapi budi bicara tersebut bukanlah tiada batasan. Ia hanya boleh dilaksana setelah ada permintaan (bukan nasihat) daripada Perdana Menteri.

Saya tekankan di sini ‘permintaan daripada Perdana Menteri’ bukan nasihat daripada Perdana Menteri atau jemaah menteri. Oleh itu pada pandangan saya Perdana Menteri tidak berkewajipan mendapat nasihat jemaah menteri.

Namun saya tidak nafikan lazimnya secara konvensyen Perdana Menteri akan merujuk kepada jemaah menteri sebelum meminta Parlimen dibubarkan.

Beberapa peruntukan perlembagaan boleh dirujuk bagi memahami ini:

a. Perkara 55(2) dan (3) - kuasa YDPA membubar Parlimen:

*YDPA boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

*Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya.

b. Perkara 43(4) – contoh permintaan pembubaran Parlimen:

*Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh YDPA.

c. Perkara 40(2)(b) - cara bagaimana kuasa tersebut boleh dilaksana:

*YDPA boleh bertindak menurut budi bicaranya seperti berikut, iaitu:

(a) melantik Perdana Menteri;

(b) tidak memperkenan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja.

Oleh itu saya berpandangan YDPA tidak memerlukan nasihat daripada jemaah menteri untuk membubarkan Parlimen. Perdana Menteri pula tidak mempunyai obligasi undang-undang mendapatkan nasihat jemaah menterinya bagi membuat permintaan berkenaan.

Bagaimanapun YDPA mempunyai budi bicara memberi perkenan atau menolak permintaan Perdana Menteri tersebut.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca