SAYA tidak akan mengulas secara khusus mengenai Bajet 2023 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu selain mengatakan, seperti biasa, ia berjanji memperbaiki kebajikan rakyat jelata. Sebaliknya saya hendak bincang mengenai berbagai-bagai... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA tidak akan mengulas secara khusus mengenai Bajet 2023 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu selain mengatakan, seperti biasa, ia berjanji memperbaiki kebajikan rakyat jelata.

Sebaliknya saya hendak bincang mengenai berbagai-bagai jenis hantu jembalang yang merompak dan merosakkan ekonomi serta kewangan negara.

Rompakan ini bermula sebelum dan selepas belanjawan diluluskan oleh Parlimen.

Katakan ada menteri, ketua setiausaha kementerian atau pengarah belanjawan yang korup. Salah seorang atau kesemua mereka ada kesempatan dan kemampuan untuk cadangkan ‘projek buat duit’.

Mereka boleh suruh kroni mereka buat cadangan dan mereka masukkan projek itu dalam permohonan belanjawan atas dasar rundingan terus. Kos sebenar dalam RM100 juta tapi mohon RM125 juta sebab RM25 juta untuk poket mereka sendiri.

Kontraktor wajib buat untung. Kalau tidak gulung tikar. Jadi dia belanja kurang daripada RM100 juta. Apa yang rakyat jelata dapat adalah jalan raya yang berlubang selepas sebulan digunakan atau rumah bocor sebaik saja diduduki.

Akibat rompakan sistematik dan sistemik kewangan negara melalui rasuah, pecah amanah dan penyelewengan itulah menyebabkan keberkesanan belanjawan menjadi lemah.

Sejak kebelakangan ini jarang sekali kita dengar menteri dan pentadbir kanan bercakap mengenai prestasi belanjawan kecuali Ketua Juruaudit Negara melalui laporan tahunannya. Hatta ahli ekonomi bebas pun semakin jarang bincang hal ini.

Jadi kita tidak tahu secara terperinci apa yang terjadi dengan belanjawan yang beratus bilion yang diperuntukkan setiap tahun itu.

Yang kita tahu, banyak kontrak dibagi, duit dibelanjakan tetapi hasil tak ada macam cerita kapal tempur pesisir dan banyak lagi.

Tidak hairanlah macam kata Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, bagi setiap satu ringgit hasil yang dijana oleh negara, 16 sen digunakan untuk membayar faedah hutang kerajaan. Itu belum lagi bayar balik pokok.

Macam mana tidak jadi macam itu kalau kerajaan terus memboroskan hasil cukai dan dividen syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ke atas pengurusan dan berhutang untuk pembangunan.

PERSEMBAHAN KHAS MAKHLUK HALUS

Kemudian dalam kerajaan ada segala macam hantu raya, jembalang dan toyol yang mencuri, merompak dan menggelapkan duit itu.

Sehingga Jun 2022, jumlah hutang dan tanggungan kerajaan pusat berjumlah RM1.42 trilion atau bersamaan dengan 82 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi sebuah negara dalam kategori pendapatan menengah atas, nisbah hutang itu adalah tinggi.

Jumlah itu pasti akan meningkat dengan pembentangan Bajet 2023 yang diuar-uarkan sebagai terbesar dalam sejarah atau lebih tepat belanjawan pilihan raya.

Pemahaman mengenai kebocoran belanjawan negara dan kesannya kepada rakyat jelata mungkin lebih mudah difahami kalau saya ambil 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai contoh.

Kita ibaratkan 1MDB ini sebagai hantu raya yang kehilangan tuan. Walaupun tuannya sudah masuk penjara, tapi hantu raya ini masih terpaksa dijamu acak yang mahal-mahal kalau tidak ia akan mengamuk.

Yang jadi mangsa rakyat jelata. Tapi sebelum itu, kita kena faham yang apabila kita bincang berkenaan 1MDB, kita tidak boleh dipisahkan syarikat ini daripada SRC International Sdn Bhd. SRC asalnya anak syarikat 1MDB.

Apabila 1MDB dan SRC sudah ketandusan duit, kerajaan ambil alih melalui Kementerian Kewangan. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, masuk jel pasal dia curi duit SRC.

Hantu raya 1MDB yang Najib wujudkan itu bukan macam hantu raya biasa yang cukup dengan acak sebiji dua telur, ayam panggang dan pulut kuning.

Kalau kita faham keasyikan sesetengah orang Melayu dengan hantu jembalang, kita akan tahu yang acak atau ancak ini adalah persembahan kepada makhluk halus.

Misalnya, tahun lalu kerajaan terpaksa guna duit cukai rakyat jelata sebanyak RM1.7 bilion untuk bayar faedah hutang 1MDB saja. Yang paling malang adalah RM459 juta daripada jumlah itu adalah peruntukan pembangunan. Itu Ketua Juruaudit Negara yang kata.

Kesimpulannya, belanjalah sebesar mana pun dan bagilah segala mak nenek slogan kepada belanjawan, faedahnya tidak akan sampai kepada rakyat jelata seperti dijanjikan selagi hantu raya, jembalang dan toyol berkeliaran dalam kerajaan dan pentadbiran awam.

Lebih banyak tuan kepada hantu raya, jembalang dan toyol wajib dihadapkan ke muka pengadilan dan dihumban ke dalam penjara bagi mengubati maladi kewangan negara dan sebagai amaran dan teladan.

Kalau tidak, perbelanjaan kerajaan akan terus bocor, hutang negara menggunung dan janji manis kepada rakyat jelata akan bertukar menjadi racun.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca