HARI ini kita masih memakai pelitup muka gara-gara pandemik Covid-19 yang menyerang negara pada awal tahun 2020. Pada waktu yang sama berlaku ‘penjajaran politik’ yang mengubah spektrum arena kepimpinan institusi politik. Beberapa hari... Klik di sini untuk terus membaca

HARI ini kita masih memakai pelitup muka gara-gara pandemik Covid-19 yang menyerang negara pada awal tahun 2020.

Pada waktu yang sama berlaku ‘penjajaran politik’ yang mengubah spektrum arena kepimpinan institusi politik.

Beberapa hari kemudian, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan.

Selepas hampir 31 bulan, kita masih melihat keadaan yang sama. Walaupun PKP sudah tidak ada dan masing-masing bebas untuk bergerak, langkah yang diambil adalah dengan penuh waspada.

Ada juga kelonggaran untuk menggunakan ‘topeng’ yang sebelum ini dilarang dibuka, tetapi kini ia menjadi pilihan di tempat tertentu.

Apakah pilihan yang sama wujud dalam arena politik tanah air?

Di sebalik penggunaan pelitup ini, ia juga telah membawa kepada sifat sebenar beberapa aktor politik yang dilabel sebagai ‘haiwan politik’ dalam bidang sains politik.

Politik adalah seni segala kemungkinan dan politik angka menjadi idaman mana-mana parti politik untuk mendominasi.

Malahan, bertopengkan gerakan politik ini, ia memenuhi aspirasi ‘tidak ada musuh atau kawan yang tetap tetapi hanyalah kepentingan’.

Topeng di belakang gerakan dan strategi menguasai pemikiran politik. Rundingan dan negosiasi masih berterusan.

Apakah ada kolaboratif politik yang ‘luar biasa’ bertopengkan niat dan keinginan untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan sehingga kompromi dipersembahkan untuk menyekat pemimpin tertentu daripada bangkit dan topeng digunakan untuk menjadi ‘musuh dalam selimut’.

Ada juga yang menyelam di beberapa kolam baik secara terbuka ataupun tanpa pengetahuan umum.

Ada yang terendam terlalu lama tinggal ‘nyawa-nyawa ikan’ akhirnya mencari talian hayat untuk bernafas.

Tapi, inilah politik. Mereka yang jahil akan bertanggapan mana perginya ‘prinsip’; ada sebahagian akan merasa mual dan kecewa; namun pernahkah terlintas politik adalah ‘permainan strategis yang handal bersilat dalam gelanggang’ yang penuh plot, penceritaan, tikam dan bunuh serta sentiasa boleh menimbulkan keraguan untuk menang. Siapa yang mahu kalah dalam permainan ini?

Malahan, kesangsian ke atas topeng yang dipakai menyebabkan ada yang akan tergelincir atau diminta berundur. Defisit kepercayaan turut mengungguli beberapa kepimpinan.

Apakah pilihan raya umum kali ini bakal menyaksikan beberapa Presiden parti tidak bertanding?

Adakah PRU kali ini menjadi antiklimaks selepas perubahan sokongan 2018 dan seterusnya masing-masing boleh tidur selimut yang sama kerana matlamat menghalalkan cara. Adakah topeng kepalsuan ini akan terbongkar tidak lama lagi?

Pengkhianatan dan oportunis bakal menguasai PRU15. Kelesuan politik boleh menentukan sikap pengundi tetapi waktu yang sama inilah wajah politik yang sebenar.

Adakala topeng berubah warna. Adakala topeng mengaburi watak paras di sebaliknya andai kata kita tidak ambil peduli dan meletakkan emosi dari kewarasan dalam politik.

PURA-PURA, PUAK-PUAK

PRU15 penting untuk melahirkan keadaan yang lebih stabil dan menentu. Kita perlu bertanggungjawab agar apa sahaja keputusan kita; ia ada nilai kejujuran dan keazaman untuk menjadi pemangkin kepada pembaharuan dan perubahan yang perlu berlaku dalam transisi proses penstrukturan dan penginstitusian negara ini. Hak datang dengan cabaran dan pelbagai congakkan.

Kebolehupayaan kita menjadi watak yang berperanan dengan nilai budaya tinggi akan membawa kepada usaha merealisasikan pembentukan negara-bangsa yang lebih ampuh dan kukuh.

Walau kita terasa didera memakai topeng namun demi keselamatan, proses pemulihan dapat kita hayati. Begitu juga dengan arena politik.

Walau ada yang merasakan permainan ini akan berlanjutan, namun untuk kita menghentikan sandiwara topeng berpura-pura dan berpuak-puak, kita mesti akur adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan kemungkaran tidak berlaku walau kita daif dan sudah bosan dengan kepincangan sekian lama.

Sama-sama kita buka topeng yang berwajah-wajah ini dan serikan dengan rupa paras yang tidak sempurna tetapi tahu nilai keperluan, kemanusiaan serta keinsanan dan melihat peluang ini adalah untuk membina semula apa yang kehilangan beberapa tahun lalu.

*Profesor Dr Sivamurugan Pandian Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca