SETIAP kali pembentangan bajet pasti majoriti mata rakyat tertumpu kepada apa yang dijanjikan kerajaan secara langsung kepada mereka. Siapa untung bergantung di pihak mana anda berdiri dan perspektif mana anda melihat. Jumaat lepas kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

SETIAP kali pembentangan bajet pasti majoriti mata rakyat tertumpu kepada apa yang dijanjikan kerajaan secara langsung kepada mereka. Siapa untung bergantung di pihak mana anda berdiri dan perspektif mana anda melihat.

Jumaat lepas kerajaan Keluarga Malaysia telah membentangkan Bajet 2023 dengan peruntukan 372.3 bilion bagi perbelanjaan negara pada tahun hadapan.

Sejumlah RM272.3 bilion adalah peruntukan bagi belanja mengurus, RM95 bilion untuk belanja pembangunan dan RM5 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19. RM2 bilion pula disediakan sebagai simpanan luar jangka.

Seperti kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, bajet ini ‘tiada seumpamanya’ kerana ia merupakan peningkatan ketara berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM332 bilion dan Bajet 2021 (RM322).

Mungkin kerana ia adalah bajet sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) - yang boleh berlaku pada bila-bila masa sehingga tamat tempoh akhir Julai 2023 - maka ia dibentangkan secara sangat menyeluruh dan menyentuh hampir kesemua lapisan masyarakat.

Kumpulan 40 peratus rakyat berpendapatan terendah negara (B40) dan miskin tegar merupakan penerima paling besar apabila kerajaan memperuntukkan bantuan tunai melebihi RM10 bilion di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).

Kerajaan turut menaikkan had pendapatan bulanan isi rumah yang layak menerima bantuan JKM daripada RM900 kepada RM1,169. Ini melibatkan 450,000 isi rumah dan perbelanjaan sebanyak RM2.5 bilion. Kumpulan ini turut menerima subsidi bil elekrik sehingga RM40 sebulan.

Bagi BKM pula ia akan memberi manfaat kepada 8.7 juta penerima dengan peruntukan RM7.8 bilion yang merupakan peningkatan ketara berbanding Bantuan Sara Hidup 2020 (zaman Pakatan Harapan) dengan lima juta penerima dan peruntukan RM5 bilion.

Pelaksanaan BKM turut ditambah baik dengan tahap pertama isi rumah berpendapatan bulanan kurang RM2,500 dan menanggung lima orang anak atau lebih, layak menerima BKM sebanyak RM2,500 setahun. Ini diikuti isi rumah beberapa kategori lain menerima antara RM1,000 hingga RM2,000 setahun.

Bantuan kepada ibu atau bapa tunggal juga dinaikkan kepada RM500 untuk seorang anak dengan maksimum sehingga RM3,000 setahun.

Selain bantuan kepada isi rumah berpendapatan rendah, anak-anak sekolah turut mendapat faedah besar daripada bajet ini.

BANTUAN UNTUK GENERASI MUDA

Saban tahun ibu bapa perlu menyediakan belanja persiapan sesi baru persekolahan agak besar terutama bagi yang mempunyai ramai anak.

Menyedari kesukaran ini kerajaan telah menaikkan Bantuan Awal Persekolahan dari RM100 kepada RM150 bagi setiap murid tanpa mengira had pendapatan ibu bapa. Ini membabitkan peruntukan RM825 juta.

Satu lagi kejutan ialah keputusan kerajaan menaikkan kadar dalam Rancangan Makanan Tambahan (RMT) daripada RM2.50 kepada RM3.50 seorang untuk Semenanjung; dan RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kenaikan ini akan memberi memanfaatkan kepada 800,000 murid dan membabitkan peruntukan RM777 juta. Ini akan memastikan pelajar miskin mendapat makanan berkhasiat di sekolah.

Sesuai dengan bajet sebelum PRU15, kerajaan turut menyediakan insentif kepada kumpulan berpendapatan sederhana tinggi dan berpendapatan tinggi (M40 dan T20) melalui penyelarasan cukai pendapatan.

Lebih sejuta penjawat awam turut mendapat bantuan kewangan sehingga maksimum RM2,500 mengikut kelayakan.

Antara insentif yang diumumkan ialah bantuan khas kewangan Gred 56 ke bawah sebanyak RM700, bantuan Aidilfitri RM600 dan kenaikan tambahan RM100 gaji bulanan bagi Gred 11 hingga 56.

Malah sejuta pesara kerajaan turut menerima bantuan Aidilfitri sebanyak RM350.

Namun, pihak paling untung ialah UMNO dan Barisan Nasional. Daripada sebuah parti yang kalah dalam PRU14, mereka kini memimpin kerajaan dan membentangkan Bajet 2023 dengan cemerlang di mata rakyat biasa.

Ahli UMNO yang mengecam kumpulan wakil rakyat mereka dalam kerajaan sebagai pengkhianat dan ejen parti lain mungkin perlu bermuhasabah diri, dan bertanya apa kelebihan mereka ada untuk memasuki PRU15 sekiranya yang membentangkan Bajet 2023 ialah Pakatan Harapan, bukannya kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca