ISU tempoh giliran menunggu yang begitu panjang sehingga mencecah 130 tahun untuk menunaikan haji antara perkara yang menjadi kegusaran umat Islam di Malaysia ketika ini. Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk... Klik di sini untuk terus membaca

ISU tempoh giliran menunggu yang begitu panjang sehingga mencecah 130 tahun untuk menunaikan haji antara perkara yang menjadi kegusaran umat Islam di Malaysia ketika ini.

Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, kebimbangan itu berasas kerana sebelum sampai ke tempoh giliran, mereka mungkin sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Melihat perkara tersebut sebagai isu yang perlu diberi penelitian lebih lanjut oleh TH yang bertanggungjawab untuk mengurus dan menyediakan perkhidmatan haji secara komprehensif dan sistematik demi kebajikan jemaah haji Malaysia itu, Nik Mohd Hasyudeen melontarkan tiga cadangan bagi menyelesaikan perkara berkenaan.

Selain tempoh menunggu yang panjang, beliau turut menyentuh mengenai pemberian subsidi yang pada pandangannya perlu diteliti kembali melalui penyelesaian penuh hikmah.

Ikuti wawancara eksklusif wartawan, Nurul Huda Husain bersama Nik Mohd Hasyudeen di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam baru-baru ini.

Nik Mohd Hasyudeen memberi tiga syor memendekkan waktu menunggu tunai haji.

SINAR HARIAN: Mungkin Datuk boleh kongsikan serba sedikit mengenai pengalaman bersama TH?

NIK MOHD HASYUDEEN: Sebelum ada TH, umat Islam di Malaysia tidak ada tempat untuk menabung sebab kita kena ingat pada tahun 40-an, 50-an, tidak ada institusi kewangan yang beroperasi dengan cara yang patuh syariah. Jadi, disebabkan perkara itu mereka menabung di rumah.

Menabung dalam bentuk membeli tanah, membeli binatang ternakan. Jadi, apabila sampai giliran menunaikan haji, mereka terpaksa jual kesemua harta dan apabila kembali ke tanah air daripada mengerjakan haji mereka menjadi miskin.

Jadi, seorang tokoh dan ikon tersohor negara, Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz atau Ungku Aziz memerhatikan perkara itu dan beliau telah membuat penyelidikan.

Hasilnya beliau telah mencadangkan penubuhan satu institusi di mana bakal-bakal haji boleh menabung dan apabila cukup (wang) mereka pergi mengerjakan haji dan bila kembali mereka tidak menjadi miskin seperti dahulu.

Inilah idea asal penubuhan TH dan idea ini telah diterima oleh kerajaan. Masa itu Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan orang yang saya kenal terlibat secara langsung untuk menubuhkan TH adalah (Akauntan bertauliah Melayu pertama) Tan Sri Hanafiah Hussin.

Alhamdulilah beliau masih hidup lagi. Pernah kita (semasa saya menjadi CEO TH) bawa beliau ke TH untuk ceritakan pengalaman beliau dan orang yang turut terlibat adalah (Perdana Menteri kedua), Tun Abdul Razak, jadi maknanya penubuhan TH adalah hasil usaha pelbagai pihak.

Dan satu rahsia yang mungkin ramai tidak tahu sebenarnya badan pertama yang ditubuhkan dinamakan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji Malaya bukan TH seperti yang kita ada sekarang.

Perbadanan ini fungsinya adalah untuk menabung sahaja dalam tahun 1962-1963 (dan) semasa ia ditubuhkan tidak ada lagi kerja-kerja haji. Pengurusan haji masih dilaksanakan oleh sheikh-sheikh haji sama ada di Pulau Pinang atau Singapura.

Jadi, apabila perbadanan ini ditubuhkan masa itu hendak kutip RM1 pun satu perkara yang besar sebab itulah kerajaan memberi jaminan jika rakyat menabung dan hendak keluarkan duit untuk pergi haji, kerajaan akan jamin pengeluaran itu.

Tapi apa yang berlaku apabila hendak bentuk sistem untuk mengira jumlah simpanan pendeposit? Maka, seorang pesara Pos Malaysia telah diambil berkhidmat. Ini kerana beliau mempunyai pengalaman sebab Pos Malaysia pada masa itu mempunyai bank dan sekarang ini dikenali Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pesara Pos Malaysia itu seorang Cina, bukan Islam tetapi ini menunjukkan bahawa untuk mencapai aspirasi negara demi kebaikan rakyat, pelbagai pihak telah bergabung untuk menjayakan TH.

Jadi, saya rasa penubuhan TH pada 1969, penabungan dan urusan haji digabungkan menjadi Lembaga Urusan Tabung Haji, kemudian berlaku perubahan seperti sekarang.

Jadi, daripada situ rakyat Malaysia sudah tiada masalah lagi menabung, dapat mengerjakan haji tetapi lama-kelamaan seperti mana benda-benda lain, kos untuk mengerjakan haji meningkat.

Sehinggalah dalam tahun 2001 apabila kerajaan pada masa itu memberikan dana sebanyak RM500 untuk setiap jemaah haji dan itulah kali pertama dan kali terakhir subsidi diberikan.

Selepas itu subsidi datang daripada keuntungan pelaburan duit pendeposit dan sebahagiannya digunakan untuk menampung (kos jemaah haji).

Jadi, kita kena tengok pada asalnya sebelum ada TH, selepas ditubuhkan Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji Malaya dan kemudiannya wujudnya Lembaga Urusan Tabung Haji, nenek, moyang kita, mereka kena mengumpulkan duit yang secukupnya untuk membayar kos haji mereka.

Cuma sejak tahun 2001 dan selepas itu ada unsur subsidi maknanya kos haji dengan bayaran haji mula ada perbezaan. Kemudian seterusnya apabila bayaran haji sudah hampir mencapai RM10,000 ia dikekalkan sehinggalah musim haji tahun ini, barulah dinaikkan.

Ada jemaah yang kena bayar lebih RM3,000 dan ada golongan B40 itu hanya alami kenaikan lebih kurang RM1,000 tetapi sebagaimana yang kita tengok dalam maklumat yang dikeluarkan TH apabila ia mengumumkan prestasi sepanjang tahunnya, kos haji untuk musim baharu ini adalah lebih RM28,000. Jadi, menunjukkan kos haji yang tinggi.

TH melakar satu lagi kebanggaan apabila seramai 200,000 rakyat Malaysia membuka akaun di TH dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan jumlah deposit sebanyak RM88.09 bilion, iaitu paras tertinggi sejak 59 tahun penubuhannya. Mungkin Datuk boleh ulas lebih lanjut kejayaan ini?

Kita kena syukur kepada ALLAH SWT di atas keyakinan rakyat Malaysia kepada TH. Selaku sebuah institusi penting, TH mempunyai tiga tanggungjawab.

Pertamanya menjadi tempat menabung kepada bakal haji untuk mengerjakan haji. Kedua, kena melaporkan dana yang dikumpul itu dengan cara yang penuh tanggungjawab dan ketiga adalah menguruskan operasi haji.

Jadi, tiga perkara ini merupakan tonggak TH dan alhamdulillah dengan peningkatan pendeposit itu, maknanya dalam keadaan ekonomi yang sedang kita hadapi ini keyakinan kepada TH masih kukuh dan pada pandangan saya, kebelakangan ini tidak ada lagi komen-komen negatif tentang TH.

Jadi, sekiranya TH dibenarkan beroperasi secara profesional kita telah tengok rekodnya daripada awal hingga sekarang, operasi haji insya-ALLAH antara yang terbaik di dunia dan dari segi penabungan juga seperti mana yang disebut tahun-tahun sebelum ini peningkatan pendeposit itu ada dan juga isu kewangan sudah disusun kembali khususnya pada tahun 2018 dan sekarang saya rasa TH dapat beroperasi dengan kedudukan yang lebih teguh.

Selain kepercayaan pendeposit yang dilihat semakin meningkat kepada TH. Apakah aspek lain yang mungkin turut menyumbang kepada kejayaan ini?

Kalau kita lihat ada dua tiga perkara yang telah dilakukan pada tahun 2018 antaranya kerajaan telah membantu dengan membeli aset TH yang dikira sakit dengan mengeluarkan sukuk.

Jadi, dengan itu kedudukan kewangan TH menjadi lebih kukuh dan kemudian dalam beberapa tahun kebelakangan ini TH telah dapat membayar pengagihan keuntungan dalam sekitar lebih tiga peratus. Bila bayaran dibuat secara konsisten ini memberikan keyakinan kepada rakyat Malaysia bahawa TH sudah kembali seperti biasa.

Tetapi dari segi peratusan keuntungan kita kena tengok juga kepada suasana pasaran sekarang yang mencabar, malah kalau kita ingat tahun 2020-2021, satu dunia tutup disebabkan pandemik Covid-19.

Saya rasa macam pembayaran 2021 sebanyak 3.10 peratus itu merupakan satu angka yang kita boleh anggap baik juga dalam keadaan yang sukar ketika itu. Jadi, perkara-perkara ini menyebabkan rakyat yakin dengan TH.

Nik Mohd Hasyudeen pernah memimpin TH pada tahun 2019 hingga 2021.

Kita boleh kata TH sudah berada di landasan yang betul sekarang ini?

Ya, kalau dulu ada isu dari segi kedudukan kewangan, (tetapi) perkara itu telah diselesaikan oleh kerajaan.

Operasi haji pun sudah bermula kembali tahun ini walaupun bilangan jemaahnya tidak ramai tetapi dari segi keseluruhannya nampaknya TH sudah kembali seperti biasa.

Difahamkan ada pendeposit yang daftar haji perlu menunggu sehingga 130 tahun disebabkan faktor kuota dan keadaan ini sememangnya menimbulkan kerisauan ramai pihak kerana menganggap dalam tempoh menunggu yang lama itu mereka mungkin sudah meninggal dunia. Komen Datuk?

Ada beberapa perkara yang menyebabkan tempoh menunggu ini panjang. Pertamanya, seperti sekarang kalau kos RM28,000 tetapi jemaah hanya bayar RM13,000, maknanya ramailah orang yang mampu untuk mengerjakan haji (jika hanya perlu bayar RM13,000).

Jadi, disebabkan itu tentunya orang yang berdaftar makin lama makin panjang sedangkan kalau sekiranya kita menaikkan lagi bayaran sehingga hampir kos sebenar seperti mana nenek moyang kita lakukan (sebelum wujudnya subsidi), mungkin jumlah senarai menunggu makin pendek.

Keduanya dari segi untuk mendaftar haji, sekarang ini hanya diperlukan RM1,300 sahaja (untuk daftar haji) dan ini sebenarnya kalau tidak salah saya ialah kos untuk hotel pada ketika itu (sejak berpuluh tahun lalu), namun sehingga kini jumlahnya masih dikekalkan. Apabila sudah mendaftar secara automatik mereka boleh masuk ke dalam barisan menunggu (giliran untuk menunaikan haji).

Ketiga ialah tidak ada had umur untuk mendaftar, sebagai contoh ibu bapa boleh mendaftar anak-anak untuk menunaikan haji, walaupun masih belum baligh dan seumpamanya.

Inilah perkara-perkara yang mungkin 20 tahun dahulu tidak memberi kesan kepada tempoh masa menunggu tetapi sekarang bagi saya ini merupakan satu isu.

Sama seperti mana Ungku Aziz tengok tentang macam mana perlu umat Islam menyimpan untuk menabung, mengerjakan haji. Jadi, sekarang ini menabung sudah tidak ada masalah tetapi tentang bagaimana kita hendak uruskan tempoh menunggu yang panjang sebab kita takut nanti apabila terlampau panjang anak-anak muda misalnya mungkin tidak ada motivasi untuk menabung (di dalam TH) sebab bagi mereka apa guna hendak menabung kalau terlalu lama sehingga di luar jangka hayat mereka.

Apakah Datuk melihat ada kaedah atau cadangan yang mungkin boleh diteliti oleh TH bagi menyelesaikan isu berkenaan?

Ada jalan sebenarnya untuk selesaikan isu ini. Pertamanya adalah bayaran haji sepatutnya sama dengan kos haji yang dibayar oleh TH (kos sebenar).

Generasi terdahulu seperti nenek dan moyang kita membayar kos yang sebenar (tanpa subsidi). Mengapa cucu cicit atau generasi hari ini menganggap bahawa mereka wajib diberikan subsidi? Kita kena faham ALLAH SWT hanya mewajibkan haji kepada orang yang mampu atau istito’ah.

Kedua, bayaran untuk mendaftar haji mungkin kena sesuaikan dengan keadaan sekarang atau bergantung kepada polisi berkenaan subsidi misalnya, katakanlah kita hendak semua orang bayar harga yang sepatutnya, jadi mungkin bayar 80-90 peratus daripada itu barulah masuk dalam senarai.

Sebagai contoh bagi mendaftar haji, seorang pendeposit perlu mempunyai deposit yang hampir sama dengan bayaran haji. Katakan 80 peratus. Jika kos haji sebenar seperti sekarang ialah RM25,000, deposit yang perlu ada ialah RM20,000.

Ketiganya, kalau orang itu belum diwajibkan mengerjakan haji mungkin dia kena tunggu sampai sudah baligh barulah mendaftar. Hanya orang Islam yang sudah menanggung beban agama dibenarkan mendaftar haji. Mungkin kita boleh tetapkan mereka yang berumur 15 tahun ke atas.

Saya yakin sekiranya syarat-syarat di atas digunakan, tempoh menunggu untuk mengerjakan haji akan menjadi pendek dan berada di dalam jangka hayat seorang pendeposit. Barulah tujuan menubuhkan TH tercapai. Jadi, inilah yang saya cuba sarankan.

Pada pandangan Datuk adakah cadangan ini perlu dipertimbangkan segera oleh TH?

Saya serahkan kepada pihak yang ada kedudukan dalam TH. Kita hanya sekadar membangkitkan isu dan saya rasa kalau usaha itu dibuat dengan profesional, saya rasa benda ini boleh diselesaikan.

Cuma salah satu sebab mengapa saya cuba memaklumkan kepada masyarakat isu ini adalah kerana saya dapati ramai rakyat Malaysia tidak begitu mengenali TH.

Mereka hanya tahu tentang TH dalam dua keadaan sahaja, yang pertama bila TH isytihar bayaran keuntungan dan nombor dua, musim haji.

Tetapi tentang apakah TH itu sendiri, apakah cabaran TH, macam mana TH hendak selesaikan masalah, ramai orang biasanya tidak faham dan kadang-kadang di sinilah mereka memberi pandangan tidak tepat dengan data dan fakta yang ada.

Jadi, sebab itu saya cuba hendak ceritakan dari segi keadaan sebenar supaya bila perkara ini dibincangkan dan saya rasa ini mungkin memerlukan penjelasan yang tuntas khususnya oleh orang-orang yang berautoriti.

Sebabnya ia melibatkan subsidi dan subsidi ini melibatkan orang yang bila sudah biasa dengan perkara itu hendak meninggalkannya akan menjadi perkara yang tidak senang bagi mereka.

Tetapi dalam masa yang sama orang yang menunggu walaupun mampu tetapi mereka diam sedangkan mereka mempunyai hak juga. Jadi, sebab itulah saya rasa kalau benda ini kita bincang dengan baik secara adik-beradik, secara orang Islam yang bertanggungjawab, insya-ALLAH boleh diselesaikan.

Ada pandangan penganalisis ekonomi yang mencadangkan beberapa kaedah untuk mengurangkan beban kewangan TH antaranya menilai kembali pemberian subsidi secara pukal. Apa pandangan Datuk?

Sebab itulah saya cadangkan bahawa untuk menyelesaikan isu ini kita tidak boleh mengambil pandangan sembarangan tetapi kita kena buat secara kolektif.

Mungkin kena ada usaha dari segi memanggil ulama serta profesional duduk dan berbincang mengenai perkara ini sebab (dalam hal haji ini) ia ada dua dimensi.

Satu dimensi hukum, satu dimensi lagi adalah kewangan kerana apabila kos haji semakin meningkat keupayaan hendak menampung dari segi TH juga mungkin ada kesan tetapi yang penting sekali isu yang sebenarnya ialah isu menunggu.

Jadi, saya rasa ia perlu penjelasan dari segi syariah kalau orang agama melihat data fakta yang ada dan berasa apa yang dibuat sekarang ini betul, maka tidak ada masalah sebab itu telah ditetapkan dari segi hukum.

Tapi kalau ada pandangan baharu dan kemungkinan banyak, mungkin ada peratusan tertentu daripada kumpulan tertentu, yang lain tu kalau ada duit boleh pergi, jadi benda ini kena dibincangkan dengan lebih sistematik.

Jadi, apa yang saya bangkitkan ini adalah sekadar untuk pemerhatian saya dan bagi saya ini tidak berbeza dengan apa yang Ungku Aziz buat, cuma yang Ungku Aziz buat lebih sistematik dari segi kertas kerjanya, cuma sekarang ini bagi saya isu ini kalau tidak kita tangani, ia akan menjadi lebih lama dan lama, jadi minat khususnya anak-anak muda untuk menabung itu mungkin pudar dan kita tidak mahu mereka jauh daripada agama kita.

Ada pandangan yang mengatakan subsidi haji sukar untuk diselesaikan kerana ada kaitan politik. Apa pandangan Datuk mengenai perkara itu?

Sebab itu bagi saya sekiranya masyarakat diberikan maklumat yang tepat, mereka tidaklah begitu beremosi dengan isu-isu sebegini.

Jadi saya rasa kaedah yang terbaik ialah kita cuba selesaikan isu ini dengan penuh profesional dan berdasarkan fakta, hukum, ilmu dan sebagainya.

Saya rasa inilah penyelesaian yang dikehendaki Islam supaya kita tidak ‘berbalah’ sebab dalam Islam penyatuan ummah ini penting.

Saya rasa tidak perlu ada pihak yang hendak menyalahkan atau disalahkan. Kalau kita kenang kembali seperti semangat Ungku Aziz, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan semua yang terlibat untuk tubuhkan TH, mengapa kita tidak boleh dalam semangat yang sama untuk memperkukuhkan lagi TH bagi mencapai matlamat iaitu orang yang menabung dan orang dapat menunaikan haji.

Jadi bagi saya ini satu perkara yang tidak kontroversi dari segi konsep tapi dari segi pelaksanaannya perlu hikmah supaya semua pihak berpuas hati.


INFO

Nama: Nik Mohd Hasyudeen Yusoff

Pengalaman dalam TH: Dilantik CEO TH mulai 1 September 2019 - 5 Mei 2021

Umur: 57 tahun

Kelayakan akademik: Ijazah Sarjana Muda Perniagaan, Curtin University of Technology, Australia.


Klik di sini untuk terus membaca