"AHH, akhirnya kami rasa lega sedikit. Banyak perkara terpaksa diselesaikan sebelum Parlimen dibubarkan. Kini keadaan agar jelas, tenang.” Ia antara pandangan beberapa rakan perkhidmatan awam sebaik sahaja Bajet 2023 dibentangkan oleh... Klik di sini untuk terus membaca

"AHH, akhirnya kami rasa lega sedikit. Banyak perkara terpaksa diselesaikan sebelum Parlimen dibubarkan. Kini keadaan agar jelas, tenang.”

Ia antara pandangan beberapa rakan perkhidmatan awam sebaik sahaja Bajet 2023 dibentangkan oleh Menteri Kewangan, kelmarin.

Arus teka-teki dan spekulasi Parlimen akan dibubar tatkala Bajet 2023 dijadualkan untuk dibentangkan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membayangi politik negara.

Pada masa sama, ramai pegawai menteri dilaporkan sudah mula mengosongkan pejabat masing-masing.

Dua hari sebelum Bajet 2023 spekulasi tersebar luas, mengatakan bajet tahunan tidak akan dibentang pada saat-saat akhir dan pembubaran Parlimen akan berlaku lebih awal berbanding sesi belanjawan.

Ketidaktentuan ini mencemaskan banyak pihak, termasuk perkhidmatan awam dan sektor korporat di sebalik tumpuan kepada kehadiran musim tengkujuh dan kemungkinan banjir yang diramal lebih buruk tahun ini.

Pun begitu, wajah Bajet 2023 sudah jelas.

Ia adalah peruntukan terbesar dalam sejarah dengan penambahan RM40 bilion berbanding Bajet 2022. Tengku Zafrul mencipta sejarah sebagai Menteri Kewangan yang membentangkan belanjawan terbesar iaitu RM372.3 bilion.

Ia adalah kenaikan hampir seratus peratus berbanding Belanjawan 2010 yang memperuntukkan RM191 bilion.

Jumlah itu juga lebih RM200 bilion berbanding Belanjawan 2000 yang menyediakan RM78.03 bilion, dibentangkan pada 29 Oktober 1999, sembilan hari sebelum Parlimen dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-10 diadakan pada bulan berikutnya. Belanjawan pertama tidak diluluskan ekoran pembubaran Parlimen.

Persekitaran yang sama dijangka berlaku kali ini. Malah, ada yang meramalkan ia akan dibubarkan pagi kelmarin, sekali gus sesi pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan tidak akan berlaku, ketika hampir kesemua ahli Parlimen (kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara) sudah berhimpun di ibu negara untuk mengikuti pembentangan Tengku Zafrul.

Kesemua keadaan ini tidak pernah disaksikan meskipun spekulasi mengenai pembubaran Parlimen bukan sesuatu yang asing dalam landskap politik dan pilihan raya negara.

DESAKAN

Di sebalik desakan agar diadakan PRU ke-15 (PRU15) pada November tahun ini, sebahagian anggota kabinet mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong agar tidak diberi perkenan untuk pembubaran. Ini pun kali pertama dalam sejarah.

Tarikh pembentangan belanjawan kali ini diawalkan tiga minggu. Ini satu kelainan ketika menjelang musim pilihan raya negara.

Tengku Zafrul berpandangan pembentangan semula Bajet 2023, jika berlaku pembubaran Parlimen, akan dibuat mengikut kerangka berdasarkan keadaan ekonomi ketika ini.

Jelas beliau, tidak timbul isu pembentangan semula belanjawan berkenaan akan menyebabkan proses penyediaan bajet yang dibentangkan sia-sia. Sama ada suka atau tidak, kita perlu menerima bahawa Bajet 2023 adalah ‘bajet pilihan raya’.

Mana-mana kerajaan akan merangka belanjawan tahunan mereka sedemikian rupa sebagai tawaran kepada pengundi. Ia tawaran awal parti yang memerintah untuk memastikan mereka kekal berkuasa.

Mengambil kira aspek itu, kerajaan cuba membawa satu belanjawan untuk menawan hati pengundi.

Peruntukan terbesar dalam sejarah dengan senarai tawaran atau goodies dan insentif yang cukup lumayan untuk pengundi luar bandar dan kawasan pedalaman.

Secara purata, setiap individu perlu memperoleh manfaat secara langsung atau tidak langsung dalam lingkungan RM11,000.

Kementerian Kewangan disifatkan telah membentangkan satu belanjawan komprehensif.

"Maka, terhasilnya satu dokumen yang natijahnya lengkap lagi tuntas mewakili cetusan hati sanubari lapisan rakyat,” kata Tengku Zafrul dalam ucapan pembentangan.

Adakah ia bakal diterjemahkan dalam bentuk undi? Ketika teka-teki dan desakan PRU15 berterusan, persoalan seterusnya adalah sama ada Bajet 2023 yang ‘berisi’ ini perlu dan wajar dikorbankan daripada diluluskan, dijangka bulan depan.

Kerajaan mempunyai dua kelebihan - menyantuni rakyat dengan memberi tumpuan kepada soal menguruskan kemungkinan banjir dengan efektif dan merealisasikan pelaksanaan Bajet 2023 mulai awal tahun depan tanpa memfokus kepada pembubaran sekarang.

Hayat mandat semasa ada masa sembilan bulan. Perdana Menteri tidak perlu tergopoh-gopah.

* Dr G Manimaran ialah pengamal media dan penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca