SHAH ALAM - Tindakan Malaysia untuk berkecuali dalam cadangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) membahaskan isu pelanggaran hak asasi manusia ke atas puak Muslim Uighur merupakan keputusan yang tepat.
Penganalisis politik dan hubungan antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, antara faktor utama Malaysia bertindak sedemikian adalah untuk menjaga hubungan perdagangan-komersial terbesar negara di samping tidak mahu mengeruhkan persahabatan baik dengan negara China.
"Dalam konteks hubungan antarabangsa, pendirian berkecuali itu adalah pendekatan terbaik yang mana kita tidak mengambil keputusan untuk bersetuju mahupun tidak bersetuju dengan isu tersebut untuk menjaga kepentingan kedua-dua pihak.
"Isu ini amat sensitif dan melibatkan negara lain yang juga merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia. Oleh itu, kita membantu tetapi bukan dalam konteks untuk menghentam China,” katanya kepada Sinar Premium.
Menurutnya, Malaysia seboleh-bolehnya cuba untuk mengelakkan diri dari campur tangan dalam isu domestik negara lain untuk mengelakkan implikasi besar kepada negara kita.
"Dalam perhubungan antarabangsa ini, kita sentiasa mengutamakan pendekatan berbaik dengan semua negara. Kita masih memperjuangkan isu hak asasi manusia namun pendekatan yang kita ambil tidak perlu terlalu menjurus ke arah penentangan secara terang-terangan,” katanya.
Pada 7 Oktober lalu, Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) menolak usul bagi perbahasan tentang dakwaan mengenai pencabulan hak asasi manusia oleh China terhadap minoriti umat Islam Uighur di Xinjiang.
Pengundian yang melibatkan 47 negara anggota menyaksikan Malaysia bersama 11 negara lain mengambil pendirian berkecuali sementara 19 negara menolak serta 17 negara menyokong.
Pendirian Malaysia untuk berkecuali itu telah menimbulkan reaksi pelbagai pihak termasuklah Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mempertikaikan tindakan kerajaan yang mempunyai peluang untuk berbahas, namun berkeputusan untuk berkecuali.
Dalam pada itu, Mohd Azizuddin berpandangan keputusan berkecuali Malaysia dalam tuntutan untuk diadakan siasatan PBB ke atas puak Muslim Uighur di China bukanlah untuk menafikan pembelaan mereka atau menutup mata dalam isu ini.
"Malaysia antara 11 negara yang mengambil pendirian berkecuali dan isu ini lebih kepada isu dalaman negara China. Malaysia hanya berkepentingan di atas faktor Islam dengan orang Uighur sahaja.
"Malaysia sentiasa melihat isu ini sebagai isu penting, namun kita tidak mahu menjadi ‘player’ yang mengambil pendirian untuk menyokong atau tidak melihat kepada kepentingan kita dengan negara China sebagai rakan dagangan utama,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca