SHAH ALAM - Minggu ini menjadi detik mendebarkan kepada rakyat Malaysia apabila teka-teki mengenai sama ada pembubaran Parlimen akan berlaku dalam masa terdekat dijangka diketahui dalam beberapa hari ini. Sejak beberapa hari lalu, timbul... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Minggu ini menjadi detik mendebarkan kepada rakyat Malaysia apabila teka-teki mengenai sama ada pembubaran Parlimen akan berlaku dalam masa terdekat dijangka diketahui dalam beberapa hari ini.

Sejak beberapa hari lalu, timbul spekulasi yang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mungkin akan membuat pengumuman pembubaran Parlimen pada Jumaat selepas pembentangan Bajet 2023.

Bagaimanapun, ada pula pihak yang memaklumkan pengumuman pembubaran mungkin dibuat pada minggu pertama selepas belanjawan atau lebih tepat lagi minggu ini.

Lebih menguatkan lagi spekulasi itu, apabila beberapa pegawai lantikan politik di pejabat beberapa menteri sejak Rabu lepas sudah pun mula mengosongkan pejabat masing-masing.

Apatah lagi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid bersama-sama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta pemimpin ‘Top Five’ parti itu sebelum ini berpandangan, PRU15 wajar diadakan secepat mungkin bagi menjamin kemenangan menjadi milik Barisan Nasional (BN) kerana pembangkang dilihat tidak bersedia.

Menguatkan lagi teka-teki itu, apabila Ismail Sabri mengadakan mesyuarat tergempar bersama pemimpin ‘Top Five’ UMNO sejurus selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lalu, sebelum pembentangan Bajet 2023.

TIDAK TOLAK KEMUNGKINAN

Dalam pada itu, Pensyarah kanan, Politik Dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pembubaran Parlimen akan dibuat dalam masa terdekat jika semua anggota Jemaah Menteri sebulat suara bersetuju Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Mohd Azizuddin berkata, halangan utama sekarang adalah sehingga hari ini Jemaah Menteri belum membuat sebarang keputusan muktamad sama ada Parlimen perlu dibubarkan dalam masa terdekat atau tidak.

Malah, Mohd Azizuddin berkata, keadaan itu menjadi bertambah sukar apabila terdapat 12 ahli Parlimen daripada Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya tidak membubarkan Parlimen dalam masa terdekat kerana kebimbangan mengenai banjir.

"Justeru itu, semua 12 Menteri Kabinet daripada PN perlu menarik balik surat dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum ini bagi membolehkan Perdana Menteri menghadap baginda sekali lagi bagi memohon pembubaran Parlimen dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Bagaimanapun, tegas Mohd Azizuddin, biarpun Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong namun tidak semestinya baginda akan memberi perkenan membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

Mohd Azizuddin berkata, ini berdasarkan titah terbaharu, Yang di-Pertuan Agong, pada Ahad yang menggesa rakyat Malaysia terutama agensi kerajaan, bersiap siaga menghadapi banjir berskala besar yang diramalkan berisiko melanda negara bermula hujung bulan depan.

JUMPA AGONG LAGI

Sementara itu, Pensyarah Kanan, Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali berkata, beliau tidak menolak kemungkinan Ismail Sabri akan memohon menghadap Agong sekali lagi dalam masa terdekat.

Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana terdapat desakan kuat daripada pucuk pimpinan tertinggi parti terutama Presiden UMNO supaya kerajaan segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan secepat mungkin.

Mazlan berkata, soal pembubaran Parlimen adalah bergantung kepada kuasa budi bicara dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan.

"Kalau baginda perkenan permintaan UMNO yang disampaikan oleh Perdana Menteri, maka Parlimen akan dibubarkan, jika tidak maka tiada pembubaran Dewan Rakyat dalam masa terdekat. Agong juga minggu lalu sudah menerima taklimat daripada pihak berkuasa terutama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai kemungkinan berlaku banjir besar.

"Jadi saya fikir isu risiko banjir, mungkin akan mendapat pertimbangan Yang di-Pertuan Agong untuk sama ada memberi perkenan kepada permintaan pembubaran Parlimen,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan kenyataan Istana Negara petang Ahad, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka berangkat ke London, United Kingdom bagi mengadakan lawatan Khas, bermula hari ini hingga 16 Oktober.

Sementara itu, sebuah portal melaporkan, UMNO dijangka memanggil semua ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu untuk satu mesyuarat tergempar malam ini.

Klik di sini untuk terus membaca