PADA Khamis lalu, jurucakap kerajaan Rusia, Maria Zakharova berusaha untuk meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan tentera negaranya akan menggunakan senjata nuklear dalam perang di Ukraine. Beliau memberitahu satu taklimat di Moscow... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Khamis lalu, jurucakap kerajaan Rusia, Maria Zakharova berusaha untuk meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan tentera negaranya akan menggunakan senjata nuklear dalam perang di Ukraine.

Beliau memberitahu satu taklimat di Moscow tentang pendirian Rusia tidak berubah dan negaranya tidak mahu memasuki perang nuklear.

Zakharova menyatakan demikian selepas tersebarnya spekulasi di Barat bahawa Rusia akan menggunakan senjata nuklear dalam perang di Ukraine selepas ia berjaya memperoleh empat wilayahnya melalui referendum pada bulan lalu.

Bagaimanapun, apakah jenis senjata nuklear yang dimiliki Rusia sehingga ia mencetuskan ketakutan negara Barat?

Menurut Persekutuan Saintis Amerika (FAS), Rusia sebenarnya mempunyai kepala peledak nuklear sebanyak 5,977 buah dan ia adalah yang terbesar di dunia berbanding Amerika Syarikat (AS) sebanyak 5,428 buah, Perancis pula memiliki 290 buah dan 225 buah dimiliki oleh United Kingdom (UK).

Pengarah Projek Maklumat Nuklear FAS, Hans M Kristensen dan Pembantu Penyelidik, Matt Korda menulis untuk Bulletin of the Atomic Scientists menyatakan sehingga awal tahun 2022, Rusia dianggarkan mempunyai kira-kira 4,477 buah simpanan kepala peledak nuklear.

Buletin itu juga menyatakan bahawa pada 23 Februari lalu sejumlah kenderaan penghantaran Rusia yang dikerahkan berhampiran Ukraine dianggap memiliki dwi-keupayaan sekali gus bermakna ia boleh digunakan untuk melancarkan sama ada senjata konvensional atau nuklear.

KECIL TAPI BERKUASA

Doktrin nuklear Rusia membenarkan penggunaan apa yang dikenali sebagai senjata nuklear taktikal yang memberikan letupan nuklear terhad dan digunakan dalam konflik konvensional untuk membuatkan musuh berundur daripada medan perang.

Namun, senjata nuklear strategik boleh mencapai sasaran yang lebih jauh sehingga ke AS.

Bagaimanapun, kira-kira 2,000 kepala peledak nuklear Rusia adalah senjata nuklear jarak dekat yang dikenali sebagai senjata taktikal dan disimpan di kemudahan penyimpanan di seluruh negara.

Ia adalah senjata nuklear yang jauh lebih kecil dan direka untuk digunakan di medan perang bagi menentang formasi tentera, kereta kebal atau pembentukan kubu.

Menurut seorang pakar pertahanan Britain, Jeneral Sir Richard Barrons memberitahu Sky News bahawa peluru berpandu Iskander yang dimiliki Rusia boleh menembak dengan kepala peledak seberat 480 kilogram (kg), dengan ketepatan kira-kira lima meter (m).

Ia boleh pergi sejauh 500km untuk mengenai sasaran dan boleh digunakan untuk menembak senjata nuklear.

Peluru berpandu Iskander milik Rusia mampu membawa senjata nuklear.

Peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang dimiliki Rusia mempunyai keupayaan untuk mencapai dan memusnahkan bandar-bandar utama global seperti London atau Washington.

Ia boleh mencapai kelajuan tertinggi sekitar 10 minit selepas pelancaran dan sebuah peluru berpandu itu boleh ditembak dari Rusia dan sampai ke UK dalam masa 20 minit sahaja.

Senjata tersebut juga boleh membawa kepala peledak nuklear dan salah sebuah dikenali sebagai peluru berpandu Sarmat.

Kebanyakan senjata nuklear pada masa kini boleh membawa pelbagai jumlah tenaga letupan bergantung pada situasi dan objektif ketenteraan.

Sebagai contoh, versi terkini bom nuklear B61 yang dibangunkan oleh AS boleh melepaskan 0.3, 1.5, 10 atau 50 kiloton tenaga letupan.

Sebagai perbandingan, bom Hiroshima mempunyai kekuatan kira-kira 15 kiloton.

PROVOKASI TERANG-TERANGAN

Menurut Nina Tannenwald iaitu pensyarah kanan dalam hubungan antarabangsa di Universiti Brown di AS, senjata nuklear akan menghasilkan awan cendawan dan bola api.

Ia akan membakar segala-galanya yang kelihatan dan mengeluarkan sejumlah besar radiasi menyebabkan tiada siapa yang patut berfikir bahawa senjata itu sebenarnya boleh digunakan.

Tannenwald menambah bahawa jika Rusia menggunakan senjata nuklear, ia mungkin akan menggunakan melalui sistem peluru berpandu Iskander yang sudah digunakan dengan senjata konvensional di Ukraine.

"Itu adalah pelancar mudah alih, bermakna mereka berada di atas trak dan mereka memandu, jadi anda mungkin dapat melihatnya,” katanya seperti dilaporkan Euronews Next.

Pavel Podvig iaitu seorang pakar dalam pasukan nuklear Rusia dan penyelidik kanan di Institut Penyelidikan Perlucutan Senjata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDIR) pula berkata, terdapat sangat sedikit senario di medan perang dengan senjata nuklear digunakan bagi tujuan taktikal.

Menurutnya, misi utamanya bukan menyerang sasaran tentera tetapi adalah untuk menunjukkan kesanggupan dan kesediaan bagi melakukan serangan serta membunuh ramai orang.

Desas-desus Rusia akan melancarkan senjata itu juga menyebabkan Presiden AS, Joe Biden memberi amaran bahawa dunia berdepan risiko bencana nuklear disebabkan ancaman penggunaannya.

Klik di sini untuk terus membaca