SHAH ALAM - Cadangan untuk menutup pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) merupakan keputusan yang tepat dan kerajaan harus mengambil pendekatan proaktif secepatnya.
Peguam, Norman Fernandez mencadangkan kerajaan untuk mengarahkan UNHCR memberhentikan operasi dan menutup pejabat itu selewat-lewatnya 31 Disember ini.
"UNHCR sudah tersasar jauh daripada tanggungjawab asal, sepatutnya mereka menguruskan penempatan pelarian yang ditindas ke negara ketiga. Oleh itu, saya cadangkan pejabat UNHCR ditutup pada 31 Disember dan mulakan tahun baharu dengan kerajaan mengambil alih tanggungjawab menguruskan pelarian dan pencari suaka dengan lebih bersistematik,” katanya kepada Sinar Premium.
Antara faktor mengapa pelarian tertarik untuk datang ke Malaysia adalah kerana wujudnya pejabat UNHCR yang membantu mereka mendapatkan apa yang mereka ingini di negara ini.
"Kebanyakan pelarian dari Bangladesh yang datang ke sini bukan kerana mereka ditindas tetapi atas dasar faktor ekonomi. Malah, pemegang kad UNHCR dari Indonesia turut datang ke Malaysia untuk meminta bantuan.
"Sepatutnya mereka yang datang atas faktor ekonomi tidak dibenarkan untuk tinggal di sini. Oleh itu, wajar untuk pejabat UNHCR segera ditutup dan sesiapa yang menggunakan alasan mereka adalah seorang pelarian namun datang dengan niat lain tidak boleh lagi diterima di negara ini,” katanya.
Dalam tempoh 18 tahun, UNHCR hanya mampu menempatkan 8,312 pelarian Rohingya di negara ketiga.
Menurut laporan, jumlah pelarian Rohingya di Malaysia pada masa ini dianggarkan lebih 200,000 orang iaitu jumlah terbesar di Asia Tenggara.
Norman berpandangan sekiranya kerajaan mempercepatkan penutupan pejabat UNHCR, kerajaan boleh memberi fokus yang sepenuhnya untuk menguruskan pelarian dan pencari suaka di sini dengan cara yang lebih cekap dan mengikut peraturan.
"Adalah lebih baik kerajaan Malaysia mengambil terus tugas UNHCR dan menguruskan penempatan negara ketiga untuk pelarian secara Goverment to Goverment (G2G).
"Saya yakin kerajaan boleh mengambil alih tanggungjawab ini dengan lebih baik berbanding UNHCR. Tidak ada mana-mana badan yang boleh mengkritik negara ini kerana syarat utama pelarian di sini adalah atas kebenaran dan ihsan kerajaan Malaysia,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca