PERSOALAN atau masalah orang Melayu memang kerap dibincangkan secara meluas dalam pelbagai peringkat tetapi sehingga kini masih belum menunjukkan sebarang petanda bahawa sebuah perubahan yang signifikan sedang berlaku. Baik semasa atau... Klik di sini untuk terus membaca

PERSOALAN atau masalah orang Melayu memang kerap dibincangkan secara meluas dalam pelbagai peringkat tetapi sehingga kini masih belum menunjukkan sebarang petanda bahawa sebuah perubahan yang signifikan sedang berlaku.

Baik semasa atau selepas dijajah dan memperoleh kemerdekaan, masalah orang Melayu masih berputar pada perkara-perkara yang hampir sama. Pendidikan, pekerjaan, pegangan ekonomi antara yang masih diperkatakan.

Tidak sedikit pemimpin Melayu yang pernah mengupas masalah orang Melayu ini secara tuntas.

Salah seorangnya adalah Datuk Onn Jaafar yang amat kritis membahaskan isu-isu orang Melayu semasa memimpin pelbagai penerbitan akhbar.

Namun begitu, walaupun dilanda pelbagai masalah yang belum selesai, apa yang boleh dianggap sebagai penyelamat yang membolehkan orang Melayu masih bernafas lega ialah kuasa politik dan memerintah masih di dalam genggaman orang Melayu.

Orang Melayu berpegang keyakinan bahawa kuasa memerintah ini akan kekal dan sukar digugat memandangkan negara ini majoritinya adalah orang Melayu.

Ditambah dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyebut dengan jelas dan tegas kedudukan atau keistimewaan orang Melayu. Maka bagi tempoh yang panjang, orang Melayu tidak gusar tentang risiko kehilangan kuasa politik untuk memerintah.

POLITIK NAUNGAN

Tetapi pemikiran begini ada risiko dan implikasi buruknya yang tersendiri.

Rasa selesa menyebabkan orang Melayu cukup mudah dicatur dan mengambil mudah dengan kesalahan yang dilakukan.

Konsep politik naungan yang dipraktikkan oleh UMNO menyaksikan bagaimana politik dan perniagaan menjadi saudara kembar yang hampir tidak mungkin dipisahkan.

Konsep ini mengukuhkan UMNO di persada kuasa sebagai kerajaan persekutuan dalam tempoh enam dekad. Hampir sukar orang Melayu boleh menjadi peniaga berjaya jika tiada kaitan dengan UMNO.

Barangkali, disebabkan konsep politik beginilah, walaupun kerajaan melancarkan pelbagai program ekonomi yang bertujuan untuk membantu rakyat tetapi hasilnya hanya dinikmati oleh pihak tertentu sahaja.

Adakah ini salah dari segi undang-undang atau tidak, persoalan ini terbuka dan perlu dibahaskan dalam kalangan cerdik pandai dalam negara ini.

Tetapi, hakikatnya, selepas enam dekad, sukar kita mengatakan orang Melayu berada pada tahap yang membanggakan. Malah muncul pelbagai masalah baharu yang menghambat orang Melayu.

Mungkin tidak ramai yang bersetuju tetapi menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui orang Melayu masih dibelenggu dengan kemiskinan.

Malah menurut beliau lagi, kemiskinan itu pula berpunca daripada banyak tanah yang terpaksa dijual kepada orang bukan Melayu.

Namun demikian, jika kita merujuk kepada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 22 September lalu, baginda bertitah dengan tegas meletakkan rasuah sebagai punca kemiskinan terus merebak.

Selain menatijahkan kemiskinan, rasuah juga, titah baginda, menyebabkan kemunduran terus melanda, pertumbuhan ekonomi terbantut, menghilangkan minat pelaburan asing, meningkatkan kos pentadbiran dan urus niaga.

Lebih memburukkan keadaan apabila hak rakyat untuk menikmati perkhidmatan kerajaan seperti kesihatan dan pendidikan juga dinafikan.

Bukan sesuatu yang menghairankan apabila kita melihat sebuah negara atau negeri memiliki kekayaan khazanah negara tetapi nasib penduduk tidak berubah malah infrastruktur awam seperti jalan raya, sekolah, jambatan dan sebagainya seolah-olah berada pada zaman pra-kemerdekaan.

Mengubah sesuatu yang dianggap sebuah norma tentulah menuntut komitmen yang cukup besar. Begitulah juga halnya dengan rasuah. Terpekik menolak rasuah sahaja tidak cukup untuk memastikan jenayah ini dihentikan.

Tetapi harus diingatkan, sikap sambil lewa dan mengambil mudah terhadap jenayah rasuah akan menyebabkan bukan sahaja rakyat tetapi juga negara berisiko musnah.

Demikian titah Sultan Nazrin yang menegaskan apabila tiada kesungguhan untuk membanteras rasuah, perlakuan rasuah akan tumbuh melebar, subur membesar, lalu diterima sebagai norma dan akhirnya meresap menjadi budaya, akhirnya memusnahkan sesebuah negara bangsa.

PECAH-BELAH

Justeru, langkah pemulihan wajar diambil segera. Sultan telah bertitah, maka giliran rakyat pula untuk menjunjung perintah.

Bagi menghadapi situasi yang cukup meruncing ini, tentulah orang Melayu dalam dilema kerana mereka menganggap perubahan hanya boleh dilaksanakan oleh golongan yang bergelar sebagai pemimpin sahaja.

Tetapi malangnya, kini orang Melayu saling berpecah-belah kerana perbezaan parti politik yang pelbagai ideologi walaupun dipimpin oleh mereka yang memiliki anutan agama dan bangsa yang sama.

Mendepani kesulitan dan krisis ini, para cendekiawan dalam negara perlu membantu rakyat membincangkan model kepimpinan baharu yang mempunyai kualiti untuk melakukan perubahan dan berwatak sebagai pendidik atau murabbi.

Watak seorang guru atau pendidik tentunya inginkan golongan yang dididik menjadi manusia yang berguna dan bermaruah serta boleh diharapkan untuk menjadi aset kepada negara.

Oleh itu, program celik politik perlu dilaksanakan untuk menyedarkan orang Melayu khususnya dan rakyat Malaysia amnya agar memiliki keupayaan untuk menilai dan memilih sekali gus mengangkat pemimpin yang berwibawa dan bermaruah demi menyelamatkan masa depan negara.

* Mohd Arif Juhani Abdul Rahman Ahli sekretariat Inisiatif Melayu Bermaruah (IMB)

Klik di sini untuk terus membaca