SHAH ALAM - Langkah kerajaan mengurangkan kadar cukai pendapatan sebanyak dua mata peratusan bakal mewujudkan lebihan pendapatan khususnya kepada kumpulan M40 untuk berbelanja, kata pakar percukaian, Dr Veerinderjeet Singh.
Menurutnya, ini kerana dengan inisiatif tersebut, kumpulan berkenaan dijangka menerima pengurangan cukai sehingga RM1,000 berbanding tahun sebelumnya.
"Memang M40 akan dapat lebih sikit. Ini kerana kalau kita katakan seseorang yang pendapatan tahunannya RM70,000, selepas semua pelepasan, maka dia akan dapat pengurangan RM400 berbanding kadar sebelum ini.
"Bagi seseorang individu yang mempunyai pendapatan tahunan RM100,000, selepas pelepasan dia akan dapat pengurangan RM1,000 (berbanding tahun sebelumnya). Jadi, itu dikira tinggi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menerusi pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan bahawa kadar cukai pen-dapatan individu pemastautin dikurangkan dua mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai antara lebih RM50,000 hingga RM100,000.
Untuk banjaran bercukai lebih RM50,000 hingga RM70,000, Tengku Zafrul berkata, kadarnya akan diturunkan daripada 13 peratus kepada 11 peratus, sementara kadar bagi banjaran pendapatan bercukai lebih RM70,000 hingga RM100,000 pula diturunkan daripada 21 kepada 19 peratus.
Tambah Tengku Zafrul, dengan layanan khas cukai pendapatan itu, dianggarkan sebanyak RM800 juta tersedia sebagai lebihan pendapatan untuk dibelanjakan rakyat.
Veerinderjeet bagaimanapun berkata, lebihan pendapatan diperoleh daripada pengurangan kadar cukai itu tidak menjamin bahawa individu terlibat akan membelanjakannya semula ke dalam ekonomi negara.
Pada masa sama, Veerinderjeet turut berpandangan bahawa langkah mengurangkan kadar cukai pendapatan itu dilihat kurang bersasar kerana ia turut melibatkan kumpulan kelas berpendapatan tinggi.
Ujarnya, tindakan tersebut dilihat berpotensi memberikan sedikit kesan ke atas asas kutipan percukaian negara yang menurutnya ketika ini sememangnya tidak begitu besar.
Jelasnya, dengan mengambil kira perkembangan ekonomi global, pendirian kerajaan untuk berbelanja melalui inisiatif diperkenalkan dalam Bajet 2023 serta ketiadaan sebarang pengenalan cukai baharu berkemungkinan akan menyebabkan peningkatan defisit fiskal negara pada tahun depan.
Menurut Veerinderjeet, kesan pelaksanaan e-Invois secara berperingkat dan pengenalan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) dalam Bajet 2023 untuk perluasan asas cukai negara dijangka tidak begitu dirasai pada tahun depan kerana ia bersifat jangka masa panjang.
Klik di sini untuk terus membaca