SHAH ALAM - Pakar ekonomi berpandangan, pengurangan perbelanjaan pengurusan subsidi dalam Bajet 2023 bukanlah muktamad dan ia tidak bermakna jumlah itu tidak akan naik pada tahun depan.
Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menjelaskan, perbelanjaan subsidi itu bergantung kepada keperluan semasa.
"Ia bergantung kepada situasi semasa, kalau memerlukan, ia akan naik juga pada tahun depan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen yang menyifatkan Bajet 2023 sebagai peruntukan hanya membantu golongan elit terutamanya kontraktor kerajaan dan taikun.
Wong Chen berkata, berlaku kenaikan sangat tinggi bagi perbelanjaan pembangunan kerajaan iaitu RM97 bilion.
Ujar Ahli Parlimen Subang itu lagi, ia berbeza dengan perbelanjaan pengurusan subsidi, di mana berlaku pengurangan RM17 bilion jika dibandingkan tahun lalu.
Ahmed Razman turut memberikan sebab-sebab lain mengapa berlakunya pengurangan perbelanjaan pengurusan subsidi dalam Bajet 2023.
"Ada orang kata bahawa isu harga barangan naik yang berlaku sekarang ini mungkin akan berkurangan sedikit pada tahun depan. Ada sebab mengapa harga barang naik, sebab gangguan rantaian bekalan. Jika gangguan rantaian bekalan itu sudah dapat diatasi, mungkin harga barang akan berkurangan.
"Itu sebab kali ini nampak berkurangan (perbelanjaan subsidi), ini kerana kita jangkakan dengan kenaikan OPR itu, harga inflasi dapat dikawal dan pada masa sama jika ada keperluan untuk menambah subsidi, tidak ada masalah. Kerajaan boleh tambah pada bila-bila masa,” jelasnya.
Menyentuh mengenai peningkatan perbelanjaan pembangunan, Ahmed Razman memberitahu, ia adalah bagi meneruskan projek yang tertangguh pada tahun ini.
Selain itu katanya, fokus kerajaan tahun depan adalah untuk menyelesaikan projek mega seperti Jalinan Digital Negara (Jendela), Lebuh Raya Pan Borneo dan Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang ketika ini di peringkat pembinaan.
"Sebab pertama peningkatan perbelanjaan pembangunan ialah tahun ini ia ditangguhkan dan kedua, banyak projek mega yang masih lagi dalam kemajuan.
"Tetapi kita ambil maklum bahawa tidak ada projek mega baharu tahun depan, semua untuk meneruskan yang sedia ada,” katanya.
Tambah Ahmed Razman, peningkatan perbelanjaan pembangunan tersebut juga akan memberi kesan berganda kepada semua pihak.
"Kesan berganda ini bermakna apabila syarikat kontraktor mendapat kontrak tersebut, dia akan membayar gaji kepada pekerjanya dan membantu ekonomi tempatan.
"Ada limpahan kepada rakyat tempatan dari segi pewujudan pekerjaan dan melibatkan industri-industri sampingan. Lagi tinggi belanja pembangunan, lagi tinggi limpahan itu,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, disebabkan peruntukan perbelanjaan pembangunan yang tinggi itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi yang bertanggungjawab perlu mempertingkatkan penguatkuasaan mereka.
"Perkara ini bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dan rasuah yang datang daripada duit tersebut,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca