SHAH ALAM - Bajet 2023 disifatkan tidak mempunyai beberapa pelan penting untuk negara terutama pelan subsidi bersasar apabila kerajaan mengurangkan peruntukan subsidi kepada rakyat.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dalam Bajet 2023 kerajaan mengumumkan subsidi berjumlah RM55 bilion iaitu lebih rendah berbanding subsidi RM80 bilion pada 2022.
"Apakah mekanisme pelan subsidi bersasar oleh kerajaan sekiranya itu adalah rancangan kerajaan untuk tahun 2023 nanti, jelas ia tidak dimaklumkan dalam belanjawan ini,” katanya.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat membentangkan Bajet 2023 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Bersama dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM372.3 bilion.
Tambah Aimi Zulhazmi, Bajet 2023 juga tidak mengetengahkan pelan pembangunan yang menjadi pemangkin ekonomi negara khususnya dalam sektor pembinaan.
"Walaupun kita mempunyai projek mega yang dalam pembinaan seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Projek Laluan 2 Aliran Transit Massa (MRT3) dan Lebuhraya Trans Borneo tetapi yang dikehendaki adalah projek-projek mega yang baharu dan menjadi pemangkin utama kepada industri pembinaan negara.
Menurutnya, apa yang diumumkan hanyalah pengecualian duti setem untuk rumah pertama dan sedikit pengurangan cukai kepada kategori rumah yang berharga rendah.
"Industri perumahan negara akan terus dibelenggu oleh kenaikan harga barang-barang binaan, kekurangan tenaga buruh terutama pekerja asing dengan pembekuan permit,” ujarnya.
Jelasnya, dengan peningkatan belanjawan sebanyak RM40 bilion yang begitu banyak, kerajaan juga tidak memaklumkan apakah sumber-sumber baharu yang bakal menjadi pendapatannya bagi tahun 2023, apa lagi dengan kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan yang dijangka menjejaskan kutipan pendapatan kerajaan.
Ujarnya, kerajaan juga dilihat tidak mempunyai perancangan untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) atau menaikkan cukai korporat dan cukai pendapatan individu.
Dalam pada itu, Aimi Zulhazmi berkata, sektor pendidikan terus menjadi kementerian yang terbesar menerima peruntukan belanjawan seperti tahun-tahun sebelumnya, namun hanya lima sekolah baharu yang diperuntukkan untuk dibina pada 2023.
"Infrastruktur sekolah juga memerlukan pelaburan dan peruntukan yang lebih dengan pertambahan penduduk negara yang pesat, jelas sewaktu pandemik selama dua tahun, kita boleh menganalisis kekurangan infrastruktur pendidikan negara kita.
"Sektor kesihatan pula menerima pertambahan peruntukan namun masih lagi terhad dengan apa yang perlu dibuat pada infrastruktur kesihatan negara, contohnya hanya ada satu hospital besar awam untuk keseluruhan negeri Perlis, walaupun tidak ramai penduduk, namun ia penting dari aspek menarik pelabur asing dengan penyediaan infrastruktur kesihatan yang baik,” ulasnya.
Ujarnya lagi, Bajet 2023 juga tidak menunjukkan apakah perancangan kerajaan dalam menangani kehidupan hari tua nanti apatah lagi dengan penurunan ketara dalam simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berikutan pengeluaran sewaktu pandemik.
Tegasnya, kerajaan tidak mengemukakan pelan bagaimanakah untuk meningkatkan kembali simpanan melalui badan seperti KWSP, KWAP (Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan sebagainya.
"Begitu juga tentang usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat dalam waktu terdekat ini, masih belum ada usaha ke arah itu walaupun ia seharusnya dilaksanakan bagi mencapai hasrat pendapatan RM10,000 untuk setiap isi rumah pada 2030.
"Kerajaan juga perlu menjelaskan pelan menaikkan semula Ringgit Malaysia (RM) yang terjejas sejak Mac lalu. Walaupun tanggungjawab ini diamanahkan kepada Bank Negara Malaysia, namun kerajaan haruslah bersama-sama membantu memantapkan kembali kewangan negara terutama menguatkan kembali RM," katanya.
Beliau turut berpendapat, persoalan peningkatan jumlah pencen untuk penjawat awam juga perlu dikaji dan diperbetulkan strukturnya.
Ini kerana, kata Aimi Zulhazmi, kerajaan kini terbeban dengan jumlah pesara awam dan komitmen kewangan yang bertambah selain penambahan purata umur rakyat Malaysia kepada 75 tahun.
Klik di sini untuk terus membaca