Bunga layu di dalam taman, Bunga di taman di kawasan gurun, Warisan Melayu jangan ditinggalkan, Menjadi kebanggaan turun temurun. PELAN Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara (2021-2030) menyebut 'Merujuk kepada pelbagai... Klik di sini untuk terus membaca

Bunga layu di dalam taman,

Bunga di taman di kawasan gurun,

Warisan Melayu jangan ditinggalkan,

Menjadi kebanggaan turun temurun.

PELAN Strategik Pembangunan Industri Ukiran Kayu Negara (2021-2030) menyebut 'Merujuk kepada pelbagai kelebihan, potensi dan nilai estetika yang tinggi seni ukiran kayu negara maka ia sangat perlu dijaga dan dikembangkan demi kelangsungan pada masa akan datang'.

Maknanya, kita semua yang terlibat dengan kerja-kerja seni ini perlu memanfaatkan teknologi sedia ada agar pengukir kayu dapat terus kekal dalam tempoh jangka panjang sekali gus mengembangkannya secara berskala besar.

Ukiran kayu dihasilkan dengan meluakkan bahagian-bahagian kayu dengan menggunakan teknik-teknik asas sama ada ‘pahatan’ atau ‘rautan’ sehingga menghasilkan satu reka corak dengan gubahan yang cantik dan halus nilai keseniannya seperti Teknik Timbul Tanpa Silat dan Timbul Bersilat.

Seni ukir ini sebenarnya disusun mengikut reka bentuk, menjadi satu ragam hias yang sempurna, hasil luahan perasaan dan idea pengkarya yang mampu ditafsirkan bukan hanya dengan pancaindera tetapi dengan akal dan jiwa.

Gabungan antara reka corak, motif, ragam hias dengan gaya sobekan menepati konsep seni bina dalam konteks ukiran kayu Melayu.

Ukiran kayu menjadi seni yang cukup sinonim dengan identiti masyarakat Melayu, malahan ia telah wujud sejak berabad lamanya. Meskipun dianggap sebagai industri desa, namun ia berpotensi besar untuk dikembangkan ke peringkat global.

Seni ukiran kayu bukan sekadar perusahaan di belakang rumah tetapi perlu menjadi industri yang berpotensi berkembang mengikut peredaran waktu. Ukirannya meniti sempadan masa dan disesuaikan dengan pelbagai cita rasa dan keperluan semasa.

Jika dipasarkan secara meluas di pasaran antarabangsa, seni ukir Melayu diyakini mampu memberi pulangan yang berkali ganda. Kita bukan sahaja menerima pulangan keuntungan yang besar, bahkan nilai estetika seni Melayu akan dikenali seluruh dunia.

Ketika ini, walaupun terdapat kira-kira 500 orang pengusaha yang terlibat dalam pelbagai kapasiti industri ukiran kayu di seluruh negara, namun dianggarkan hanya 42 orang pengusaha sahaja yang aktif.

Kayu merupakan bahan semula jadi yang sangat sesuai dijadikan ukiran, selain digunakan sebagai komponen tambahan kepada produk lain serta banyak digunakan dalam pembuatan pelbagai alat perabot, selain dijadikan barang perhiasan yang berharga.

Ada di antara kita yang memang tidak memahami apakah sebenarnya ukiran kayu yang dikatakan berharga itu. Ada yang melihat seni ukiran tersebut sebagai biasa sahaja tanpa difahami akan nilai yang berharga di sebalik ukiran itu.

Apakah itu ukiran kayu yang sebenarnya? Ukiran kayu merupakan seni menyobek/mengoyak permukaan papan atau bongkah kayu bagi mencorakkan sesuatu motif.

Tukang ukir akan melahirkan ilham yang timbul kepada satu jisim yang nyata berdasarkan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian seperti budaya, kepercayaan dan keagamaan, pemikiran, sosial dan alam persekitaran.

Hari ini, masyarakat kita mula menghargai seni ukiran yang kian menjadi kecenderungan masyarakat. Mereka mulai memilih kelengkapan rumah yang diperbuat daripada seni ukiran kayu.

Malah ada dalam kalangan golongan elit Melayu yang begitu selesa membina rumah yang diperbuat daripada kayu di tengah-tengah bandar, dengan memasukkan elemen seni ukir yang menarik.

POTENSI BESAR

Perubahan cita rasa masyarakat kini yang lebih tertarik dengan seni ukiran kayu menjadikan seni warisan ini semakin mendapat tempat di hati rakyat.

Apa yang lebih penting ialah meningkatkan kemahiran pengukir kayu termasuklah meningkatkan produktiviti dan penggunaan teknologi seperti pemotong laser, alat kawalan berkomputer untuk ukiran dan pencetak 3D yang dapat membuka ruang lingkup lebih luas terhadap pengeluaran dan penggunaan kayu.

Industri ukiran kayu sebenarnya memiliki potensi sangat besar dan menjamin pulangan yang menarik, selain memiliki nilai estetika yang tinggi.

Justeru, Pelan Pembangunan Strategik Ukiran Kayu 2021- 2030 dirangka bertujuan untuk menggalakkan pengeluaran produk ukiran kayu secara besar-besaran bagi mewujudkan permintaan dan meningkatkan penjualan selain menghasilkan sumber pendapatan baharu dan lebih menguntungkan bagi pengukir kayu tempatan.

Nilai-nilai estetik yang ada pada ukiran kayu ini mula dinilai apabila langkah telah diambil bagi memulihara warisan tradisi kita. Bahan yang digunakan itu sendiri juga menggambarkan betapa kita kaya dengan hasil hutan.

Kayu seperti cengal, merbau, balau, seraya dan lain-lain lagi merupakan produk yang berkualiti dalam penghasilan ukiran kayu.

Corak yang terdapat pada ukiran ini adalah berbeza-beza di antara negeri-negeri ini. perbezaan ini adalah disebabkan oleh ilham pengukir itu sendiri serta pengaruh alam terutamanya flora dan fauna.

Corak-corak ini telah diwarisi secara turun temurun dari generasi ke generasi sehingga ke hari ini. Keasliannya tetap dapat dikekalkan sehingga kini. Begitulah hebatnya seni ukiran kayu Melayu yang dahulunya hanya menjadi penghias istana lama.

Sebenarnya seni ukiran kayu berbeza dengan seni pahatan. Sama ada seni pahatan atau seni ukiran kayu, ia termasuk di bawah kategori seni pahat tetapi tidak semua hasil pahatan termasuk di bawah seni ukiran kayu.

Seni ukiran kayu telah wujud seiring dengan reka bentuk seni rupa Melayu itu sendiri. Seni rupa pula menggambarkan kewujudan bentuk tiga dimensi yang diselaraskan dengan fungsi dan nilai estetika budaya tempatan. Selain daripada bahan yang bermutu, kualiti dari segi ukiran juga menjadi faktor utama.

Kehalusan pahatan oleh pengukir-pengukir kita menjadikan ia lebih sempurna. Dikatakan seni ukiran kayu mempunyai motif yang lebih rumit dan kompleks berbanding dengan seni ukiran batu, tanah, perak, tembaga, emas dan sebagainya.

Reka bentuknya yang menonjolkan ciri -ciri tempatan serta mencerminkan keunikan nilai dan motif seni etnik atau tradisional harus diketengahkan sebagai strategi pemasaran yang boleh menawan hati pembelinya.

Warisan yang ada ini perlu untuk kita sama-sama jaga. Jadikannya sebagai khazanah negara yang berpotensi besar untuk dimaju dan dikembangkan. Potensinya tidak harus dibiarkan hilang begitu sahaja.

* Penulis ialah Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB)

Klik di sini untuk terus membaca