BAJET 2023 mencipta sejarah tersendiri dengan peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu RM372.3 bilion.
Bajet kali ini turut memperlihatkan satu bajet yang komprehensif meliputi semua golongan terutama B40 dan M40.
Bajet kali ini juga memberi satu nafas baharu kepada sektor hartanah dengan tiga langkah strategik utama yang memberi kesan langsung kepada rakyat seperti diumumkan Jumaat lepas.
Pertamanya ialah pengecualian duti setem pada surat cara pindah milik antara ahli keluarga yang hanya dikenakan pada kadar RM10. Ini merupakan langkah tepat terutama bagi mengelak berlaku masalah isu pusaka.
Dengan kadar ini, ibu bapa atau keluarga terdekat boleh melaksanakan hibah kepada ahli keluarga dengan penjimatan kos duti setem. Sebelum ini, isu duti setem yang dikenakan secara penuh atau pengecualian 50 peratus memberi bebanan kepada keluarga melaksanakan hibah secara kasih sayang tanpa sebarang balasan.
Seterusnya adalah pengecualian duti setem bagi hartanah telah ditingkatkan dari 50 peratus kepada 75 peratus untuk harga rumah bernilai RM500,000 sehingga RM1 juta bagi meningkatkan keupayaan rakyat untuk memiliki rumah pertama.
Ini bertepatan kerana ia memberi penjimatan kepada pembeli yang tidak perlu mengeluarkan wang tunai yang besar untuk bayaran duti setem.
Malah hasil penjimatan duti setem ini boleh digunakan oleh pemilik untuk keperluan menduduki rumah baharu itu nanti. Insentif ini juga mampu memberi kesan positif kepada isu perumahan sedia ada yang tidak terjual di pasaran ketika ini.
PEMBINAAN PPR
Bajet kali ini yang turut memperuntukkan kepada pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebanyak RM367 juta dengan mensasarkan 12,000 unit adalah langkah yang baik dan positif bagi memastikan golongan B40 mampu memiliki rumah.
Namun, seperti sebelum ini, isu-isu pelaksanaan perlu ditambah baik terutama dari segi menyemak semula syarat kelayakan pemohon. Banjaran pendapatan pemohon perlu ditingkatkan agar komitmen yang ditanggung dapat turut diteliti walaupun tergolong dalam kategori M40. Ini berlaku pada projek sebelum ini yang terlalu rigid kepada had pendapatan semata-mata tanpa melihat tanggungan dan lokaliti kehidupan seseorang pemohon itu.
Kerajaan meneruskan usaha dengan memberi jaminan syarikat kredit perumahan untuk golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap, juga melegakan masyarakat. Sejumlah RM3 bilion diperuntukkan kali ini untuk meningkatkan jaminan pinjaman. Seperti yang kita sedia maklum, pandemik Covid-19 menyebabkan ramai orang menjalankan perniagaan dan pekerjaan seperti e-hailing yang tidak mempunyai bukti pendapatan.
Dengan peruntukan berkenaan, ia memberi peluang kepada golongan ini untuk mampu memiliki rumah melalui pinjaman tersebut.
Dengan situasi yang dihadapi ketika ini, mereka agak sukar untuk mendapat pinjaman dari bank konvensional disebabkan tiada bukti pendapatan.
Walau bagaimanapun, di sebalik pengumuman tersebut, ia mampu memberi kesan jangka pendek dan sederhana dalam pemulihan sektor hartanah. Bajet kali ini tidak menggariskan satu langkah jangka panjang yang diperlukan dalam pasaran hartanah. Pasaran hartanah kini berdepan dengan dua isu utama iaitu peningkatan kos pembinaan yang menyumbang kepada kenaikan harga hartanah dan berlaku isu jumlah hartanah tidak terjual yang tinggi.
Walaupun hal yang berlaku adalah di luar kawalan kerajaan, namun masyarakat dan pemain industri mengharapkan tahun 2023 akan menjadi saksi kepada keupayaan sektor hartanah pulih daripada kelesuan Covid-19.
Kerajaan sudah sedaya upaya menyuntik insentif dalam Bajet 2023. Tinggal kini adalah bagaimana ia dilaksanakan oleh agensi terlibat dan digunakan sebaiknya oleh masyarakat. Usaha ini akan menjadi sia-sia sekiranya tidak ada kerjasama daripada semua pihak.
*Dr Muhammad Azwan Sulaiman ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Kolej Pengajian Alam Bina (KAB), UiTM, Shah Alam.
Klik di sini untuk terus membaca