BINAAN paling terkenal dalam sejarah dunia iaitu Tembok Besar China terus kukuh selepas 2,300 tahun daripada pembinaannya yang pertama. Lokasi pelancongan terkemuka itu menerima seramai 10 juta pengunjung setahun bersamaan 80,000 orang... Klik di sini untuk terus membaca

BINAAN paling terkenal dalam sejarah dunia iaitu Tembok Besar China terus kukuh selepas 2,300 tahun daripada pembinaannya yang pertama.

Lokasi pelancongan terkemuka itu menerima seramai 10 juta pengunjung setahun bersamaan 80,000 orang sehari.

Pertama kali penulis tiba di Tembok Besar China ini, berbaur perasaan di hati. Semestinya teruja dan bercampur dengan keluhan kecil apabila mendengar mitos masyarakat China bahawa panjang tembok ini mencecah sehingga 21,000 kilometer (km). Ketinggiannya pula hingga lapan meter.

Namun, pada tahun 2009, satu tinjauan arkeologi baharu yang menggunakan teknologi maju melaporkan panjang keseluruhan Tembok Besar China, menjangkau 8,851.8 km.

Tembok besar ini juga merupakan bangunan terpanjang yang pernah diciptakan oleh tangan manusia sendiri. Pembinaannya telah bermula pada abad ketujuh sebelum masihi (SM) lagi.

Namun begitu, tidaklah penulis dan rakan-rakan berjalan sejauh itu. Sebulan pun belum tentu habis. Penulis hanya berjalan sehingga tiga km sahaja kerana tidak mempunyai masa yang mencukupi.

TEMBOK KEMEGAHAN

Menurut pemandu pelancong, untuk mendapatkan pengalaman yang memuaskan, perlu mengambil masa sehingga sehari untuk mendaki dan menikmati suasana yang menarik. Ini kerana, tembok ini dikelilingi oleh gunung-ganang dan juga hutan.

"Ada juga tembok besar yang dibuka dan mempunyai pemandangan menarik pada waktu malam. Pengunjung boleh berkelah dan tidur di tempat yang telah disediakan,” tambahnya.

Tembok Besar China ini pernah ditutup sementara semasa dunia diserang pandemik Covid-19. Namun ia telah dibuka semula kepada pelancong pada 24 Mac lalu.

"Selalunya, kalau anda jumpa rakyat China sedang mendaki Tembok Besar China ini, ia adalah senaman bagi mereka. Namun bagi pelancong, ia adalah untuk menambah pengetahuan,” ujarnya lagi.

Berdasarkan sejarah, tembok ini dibina semasa Dinasti Qin (221-206 SM), kemudian disambung oleh dinasti lain bagi memastikan ia dapat disiapkan dengan sepenuhnya.

Ia telah dibina oleh para petani pada ketika itu. Dan lebih menyedihkan, di sebalik kemegahan tembok besar yang tersenarai dalam tujuh benda ajaib dunia ini, ia juga telah meragut banyak nyawa ketika pembinaannya.

Dikatakan, kira-kira 40,000 orang telah tewas untuk membina tembok itu sahaja. Sehingga ada yang memberikan nama ‘Kubur Terpanjang di Bumi’.

Namun begitu, bahagian tembok yang paling terkenal sehingga hari ini adalah hasil binaan oleh Dinasti Ming (1368 -1644).

"Bahagian dalam tembok ini berisi tanah yang bercampur dengan batu-bata. Jadi, ia akan menjadi lebih kukuh dan mampat. Bahagian atasnya dibuat jalan utama untuk pasukan berkuda.

"Ia lebih kukuh dan tahan lebih lama. Fungsi utama tembok ini ialah untuk menahan serangan puak-puak nomad dari utara,” kata pemandu pelancong yang petah berbicara memberitahu sejarah tembok itu dari pelbagai aspek.

Pemandu pelancong ketika memberikan informasi kepada wartawan.

PERTAHANAN

Selain daripada pertahanan, Tembok Besar China ini turut mempunyai sebab lain pembinaannya. Antaranya adalah termasuk kawalan sempadan, membenarkan pengenaan duti ke atas barang-barang yang diangkut di sepanjang Jalan Sutera, menggalakkan perdagangan serta kawalan imigresen dan emigrasi.

Ciri-ciri keselamatan dan pertahanan Tembok Besar China ini telah dipertingkatkan dengan pembinaan menara pengawal, stesen garrison, keupayaan isyarat melalui asap atau api sekali gus sebagai koridor pengangkutan.

Hari ini, sistem pertahanan Tembok Besar China secara amnya diiktiraf sebagai salah satu kejayaan seni bina yang paling mengagumkan dalam sejarah selain diumumkan salah satu warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 1987.

Kubu yang dikenali sebagai Tembok Besar China ini secara sejarah mempunyai beberapa nama yang berbeza dalam bahasa Cina dan Inggeris. Antaranya adalah Tembok Panjang dan Tembok Panjang 10,000 Batu.

Walau bagaimanapun, nama 10,000 batu itu adalah kiasan yang membawa maksud tidak terkira atau tidak terukur.

Seterusnya, menjelang abad ke-19, nama Tembok Besar China telah menjadi standard dalam bahasa Inggeris dan Perancis, walaupun bahasa Eropah lain seperti Jerman terus merujuknya sebagai Tembok China.

Selain itu, Tembok Besar China ini juga mempunyai banyak laluan. Ia mempunyai lima lorong iaitu Juyongguan, Badaling, Mutianyu, Jinshanling dan Simatai. Juyongguan adalah laluan paling dekat dengan Beijing.

"Badaling paling digemari kerana terdapat muzium dan tempat membeli-belah. Mutianyu pula berada di pergunungan. Di situ mempunyai pemandangan yang indah,” kata pemandu pelancong.

Tembok Besar China ini juga merentasi 15 wilayah di China Utara. Beberapa wilayah ini ialah Heilongjiang, Jilin, Liaoning, Mongolia Dalam, Beijing, Tianjin, Hebei, Shandong, Henan, Shanxi, Shaanxi, Gansu, Ningxia, Qinghai dan Xianjing.

*Nazrin Zulkafli merupakan wartawan Sinar Harian yang kini sedang menyertai program Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) di Beijing, China.

Klik di sini untuk terus membaca