PASTI ramai yang menanti debaran jam tiga petang hari ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seakan-akan memberi bayangan mengenai pembubaran Parlimen. Persoalannya apa yang akan terjadi selepas Parlimen dibubarkan?... Klik di sini untuk terus membaca

PASTI ramai yang menanti debaran jam tiga petang hari ini apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seakan-akan memberi bayangan mengenai pembubaran Parlimen.

Persoalannya apa yang akan terjadi selepas Parlimen dibubarkan?

Sejurus pengumuman dilakukan oleh Perdana Menteri, kerajaan sementara akan berkuat kuasa. Bagaimanapun, tiada peruntukan untuk kerajaan sementara dalam Perlembagaan Malaysia.

Ini bermakna kerajaan ketika ini secara automatik menjadi kerajaan sementara, melainkan Perdana Menteri menyerahkan tampuk pemerintahannya kepada menteri lain untuk menggantikannya seperti yang berlaku pada tahun 1959.

Sekiranya Parlimen dibubarkan, ini juga bermakna hanya tiga negeri yang dikuasai BN akan turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Perlis, Perak dan Pahang.

Tiga negeri dikuasai Pas pula iaitu Kelantan, Kedah dan Terengganu, parti itu telah membuat ketetapan tidak akan membubarkan DUN pada tahun ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan keputusan itu dibuat bagi membolehkan segala usaha ditumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pertengahan November hingga Mac 2023.

Tiga negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH), iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak akan membubarkan DUN masing-masing, sekiranya Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat.

Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Negeri Sembilan.

"Majlis Presiden mengambil maklum laporan Jabatan Metereologi yang berkata bahawa fenomena La Nina dan monsun Timur Laut hingga ke awal tahun depan bakal menyaksikan jumlah taburan hujan yang tinggi serta kemungkinan berlaku hujan lebat dan banjir di kebanyakan negeri.

"Majlis Presiden turut mengambil maklum bahawa Kerajaan-Kerajaan Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang telah mempertingkat tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi musim banjir di negeri masing-masing sesuai dengan prinsip mengutama nasib rakyat berkait nyawa dan harta benda.

Perdana Menteri dijangka mengumumkan pembubaran Parlimen dalam tempoh 48 jam ini.

"Oleh itu, Majlis Presiden menerima pendirian Menteri-Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang bahawa Dewan-Dewan Undangan bagi negeri-negeri tersebut akan dibubarkan pada tahun 2023, pada satu tarikh yang akan diumum kelak,” kata Anwar sebelum ini.

Bagi Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka, empat negeri ini sudah pasti tidak akan membubarkan DUN kerana telah selesai Pilihan Raya Negeri sebelum ini.

Dari segi pentadbiran negara pula, kakitangan awam termasuk semua pihak berkuasa seperti polis akan terus berfungsi seperti sedia ada dan Ketua Setiausaha Negara akan terus menerajui jawatan sebagai Ketua Perkhidmatan Awam.

Bagaimanapun, memandangkan Parlimen telah dibubarkan, tiada undang-undang baharu akan diluluskan dan tiada dasar baharu akan ditandatangani oleh mana-mana Menteri.

Semua Rang Undang-Undang (RUU) akan ditangguhkan dan tidak akan ada persidangan kedua-dua Dewan Tinggi dan Rendah Parlimen.

Bagi Bajet 2023 pula, ia perlu dibentangkan semula kerana kerajaan baharu tidak terikat dengan bajet yang dibentangkan oleh kerajaan terdahulu.

Keseluruhan proses dari bacaan pertama akan diulang apabila kerajaan baharu telah dibentuk selepas pilihan raya berakhir.

Dari segi kementerian, tidak akan ada penyerahan kontrak baharu atau projek kerajaan kerana semuanya perlu melalui Parlimen.

Anugerah dan projek yang telah diluluskan sebelum Parlimen dibubarkan akan terus dijalankan dan tidak akan terganggu dengan pembubaran tersebut.

Janji-janji kerajaan seperti geran untuk perniagaan atau gajet untuk pelajar sekolah masih terpakai dan boleh diteruskan sekiranya ia telah diluluskan dan ditandatangani oleh menteri, sebelum pembubaran Parlimen.

Perasmian acara seperti pembukaan Klinik Kesihatan baharu oleh Perdana Menteri sementara atau menteri yang telah dipersetujui dan ditandatangani sebelum pembubaran masih boleh dijalankan supaya tidak mengganggu perkhidmatan yang berterusan untuk rakyat.

Bagi perkhidmatan awam pula, semuanya berjalan seperti biasa dan apa sahaja dasar pentadbiran yang hanya perlu ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara boleh diteruskan.

Tidak akan ada pemberhentian perkhidmatan awam di bawah kerajaan sementara malah kerajaan sementara akan berfungsi tanpa gangguan sehingga Perdana Menteri seterusnya dilantik mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Setelah negara melantik Perdana Menteri baharu iaitu selepas melalui proses pilihan raya, maka berakhirlah kerajaan sementara dan bermulanya era kerajaan baharu.

Klik di sini untuk terus membaca