PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan pembubaran Parlimen berkuatkuasa Isnin adalah bertujuan untuk menoktahkan suara-suara yang mempertikaikan keabsahan kerajaan.
Melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung tepat jam 3 petang tadi, Ismail Sabri menegaskan kini mandat dipulangkan kepada rakyat.
"Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.
"Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan BN selepas lebih 60 tahun menguasai Putrajaya.
Bagaimanapun selepas 22 bulan memerintah, PH yang ketika itu diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, ditumbangkan pada 22 Februari 2020 hasil gerakan Langkah Sheraton yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan baharu.
Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.
Perkara itu dimaklumkan beliau pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya, yang turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi, termasuk televisyen dan media sosial.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.
Ismail Sabri kemudiannya mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 21 Ogos 2021.
"Parlimen Penggal Ke-14 melakarkan warna suram kepada landskap politik negara. Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama. Ini memberi dampak memburuk terhadap sosiopolitiko-ekonomi,” kata Ahli Parlimen Bera itu.
Melalui perutusan khas itu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menjelaskan telah menghadap Yang di-Pertuan Agong mengenai pembubaran Parlimen Ke-14.
Katanya, selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan, supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan pada Isnin, 10 Oktober 2022.
"Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.
Sementara itu katanya, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Klik di sini untuk terus membaca