SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu berbincang dengan Jemaah Menteri untuk menghadap dan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum mengumumkan pembubaran Parlimen. Menteri di Jabatan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak perlu berbincang dengan Jemaah Menteri untuk menghadap dan memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum mengumumkan pembubaran Parlimen.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak menafikan bahawa dari sudut perundangan dan Perlembagaan Persekutuan, memang wujud keperluan Perdana Menteri mengadakan perbincangan dengan kabinet terlebih dulu sebelum membubarkan Parlimen.

Bagaimanapun Wan Junaidi berkata, Ismail Sabri tidak berbuat demikian kerana secara tradisinya tiada seorang pun Perdana Menteri pernah berbincang dengan Jemaah Menteri mengenai bila tarikh pembubaran Parlimen.

Malah Wan Junaidi berkata, sejak tahun 1957 tidak pernah ada seorang Perdana Menteri berbincang dengan Jemaah Menteri kerana beliau bukan memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya beliau berbincang dengan Seri Paduka Baginda untuk membubarkan Parlimen.

"Mana pernah ada seorang Perdana Menteri pun yang bertemu Yang di-Pertuan Agong dan menyatakan kepada Seri Paduka Baginda bahawa 'saya mahu menasihatkan Tuanku supaya membubarkan Dewan Rakyat'. Mana pernah berlaku begitu? Kalau dia (Perdana Menteri) tidak menasihati macam itu bermakna Perdana Menteri memohon Yang di-Pertuan Agong, jadi beliau tidak perlu akur dengan syarat ditetapkan oleh Perlembagaan.

Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin.

"Jika Perdana Menteri memohon perbincangan dengan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan atau tidak Parlimen, ia bukan bersifat nasihat dan tidak terkongkong dengan syarat ditetapkan oleh Perlembagaan.

"Justeru itu, soal pembubaran Parlimen adalah bukan nasihat sebaliknya suatu perbincangan dan persetujuan bersama dicapai antara Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Wan Junaidi berkata demikian ketika ditanya sama ada Perdana Menteri mengadakan perbincangan dengan Jemaah Menteri sebelum beliau mengumumkan pembubaran Parlimen.

Melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung pada jam 3 petang, Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Isnin selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda bertindak menurut budi bicara Seri Paduka Baginda dengan memperkenankan permintaan supaya Parlimen Ke-14 dibubarkan.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, dalam Perlembagaan Persekutuan pun tidak pernah menyebut Perdana Menteri wajib mengadakan perbincangan sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen.

"Kalau dilihat di bawah Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan menyebut yang mentadbir negara ini adalah Yang di-Pertuan Agong menerusi Jemaah Menteri yang dilantik selepas pelantikan Perdana Menteri terlebih dahulu. Apabila Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dilantik mereka perlu berbincang cara mentadbir dan hala tuju sesebuah kerajaan.

"Jadi Jemaah Menteri akan bertindak sebagai penasihat kepada Yang di-Pertuan Agong. Nasihat itu hendaklah disampaikan oleh Perdana Menteri atau mana-mana anggota Jemaah Menteri diarahkan oleh kabinet," katanya.

Bagaimanapun, Wan Junaidi mengesahkan bahawa Perdana Menteri pernah memaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat minggu bahawa beliau akan mengadakan perbincangan sekali lagi dengan Yang di-Pertuan Agong bagi memohon pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

"Saya ada dengar Perdana Menteri pernah kata beliau akan berbincang semula (isu pembubaran Parlimen) dengan Yang di-Pertuan Agong tetapi saya tidak pasti anggota Jemaah Menteri lain dengar atau tidak. Sama ada orang lain (Ahli Jemaah Menteri lain) dengar atau tidak bukan masalah saya.

"Malah, ada orang (Menteri Kabinet) bertanya adakah Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat? Perdana Menteri menjawab tiada pada masa itu. Tetapi apa yang berlaku hari ini adalah cerita lain atas budi bicara dan perbincangan Perdana Menteri dengan Seri Paduka Baginda semalam (Ahad)," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca