PEMBUBARAN Parlimen yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkuat kuasa Isnin memberi makna gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara rasminya telah dibuka.
Ismail Sabri melalui perutusan khas yang disiarkan secara langsung pada jam 3 petang Isnin mengumumkan pembubaran Parlimen dibuat selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberi laluan kepada PRU15.
Di pentas politik, beberapa pemimpin kanan baik dalam kerajaan mahupun pembangkang sudah mula menjalankan tugas masing-masing dalam usaha untuk meraih perhatian para pengundi.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki misalnya sejak awal pagi sudah mula melakukan kempen dengan mengajak rakyat supaya mengenang kembali saat Pakatan Harapan (PH) memerintah negara selepas berakhirnya PRU14 pada tahun 2018.
Kata Ketua Pemuda BN itu melalui kenyataan di Facebooknya bertajuk ‘Masihkah Kau Ingat’, mengajak orang ramai melihat kembali ‘pencapaian’ kerajaan PH antaranya kontroversi melibatkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Apa yang berlaku ketika PH memerintah dakwa Asyraf Wajdi adalah, sistem keadilan dicabuli, rakan taulan termasuk kes-kes melibatkan pemimpin utama PH ditarik atau dilepaskan, pendakwaan terpilih terhadap musuh politik dan proses keadilan mula dipertikaikan serta diragukan.
"Cukuplah sekali,” akhiri tulisannya.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli juga sudah memalu gendang PRU dengan memohon doa orang ramai supaya menolak calon dan parti yang menyeleweng dana rakyat.
Kata-kata Rafizi itu secara langsung merujuk kepada UMNO yang mana bekas Presiden UMNO dan juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Najib juga masih dalam perbicaraan berhubung dakwaan melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) manakala Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di peringkat bela diri di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.
"Berdoa supaya ALLAH buka hati rakyat Malaysia untuk menolak calon dan parti yang menyeleweng dana rakyat, tidak ada idea untuk menyelesaikan masalah rakyat dan culas dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan rakyat.
"Ini usaha kita dan sejak reformasi tercetus 1998 dahulu, setiap PRU telah berjaya mengembalikan sedikit demi sedikit kuasa kepada rakyat,” kata bekas Ahli Parlimen Ampang itu pada Isnin.
Rafizi juga memaklumkan pihaknya akan berusaha yang terbaik untuk meyakinkan rakyat memilih PKR dan PH bagi mendepani cabaran-cabaran negara yang dijangka lebih hebat tahun hadapan rentetan kemelut ekonomi dunia.
Di sisi lain Ismail Sabri melalui perutusan itu memaklumkan bahawa pembubaran Parlimen bertujuan untuk menoktahkan suara-suara yang mempertikaikan keabsahan kerajaan.
"Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.
"Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” katanya.
Pada PRU14 sebelum ini, PH berjaya menumbangkan BN selepas lebih 60 tahun menjadi kerajaan.
Bagaimanapun selepas 22 bulan memerintah, PH yang ketika itu diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, ditumbangkan pada 22 Februari 2020 hasil gerakan dinamakan Langkah Sheraton yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan baharu.
Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.
Perkara itu dimaklumkan beliau pada satu sidang media di pejabatnya di Putrajaya, yang turut disiarkan secara langsung di pelbagai platform telekomunikasi, termasuk televisyen dan media sosial.
Muhyiddin menegaskan, keputusan itu dibuat selepas hilang majoriti sokongan ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.
Ismail Sabri kemudiannya mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 21 Ogos 2021.
"Parlimen Penggal ke-14 melakarkan warna suram kepada landskap politik negara. Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama. Ini memberi dampak memburuk terhadap sosiopolitiko-ekonomi,” kata Ahli Parlimen Bera itu.
Kini tegas Ismail Sabri, segalanya terserah kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) untuk menentukan tarikh sebenar PRU15 bakal diadakan.
Klik di sini untuk terus membaca