SHAH ALAM - Pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat susulan pembubaran Parlimen pada Isnin memberi kelebihan kepada UMNO dan BN untuk kembali membentuk kerajaan selepas pilihan raya. Pengarah Eksekutif Ilham Centre,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat susulan pembubaran Parlimen pada Isnin memberi kelebihan kepada UMNO dan BN untuk kembali membentuk kerajaan selepas pilihan raya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, perkembangan terbaharu itu dilihat memberi cabaran besar kepada blok pembangkang termasuk Perikatan Nasional (PN) yang ketika ini dilihat masih belum bersedia untuk menghadapi PRU15 pada tahun ini.

Katanya, ketidaksediaan itu bukan sahaja membabitkan isu pembahagian kerusi malah turut meliputi penyelesaian konflik antara parti gabungan dan pembinaan naratif baharu bagi meyakinkan pengundi.

"Saya melihat bahawa BN melakukan perkara yang sama mereka lakukan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor di mana pembubaran (Dewan Undangan Negeri) dilakukan dalam kerangka yang disusun mereka.

"Jadi bagi saya BN ada sedikit kelebihan berbanding parti lain dalam merencana persiapan PRU dari segi jentera dan naratif. Itu memberi tamparan hebat kepada pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Hisomuddin berkata, dengan senario peratusan keluar mengundi rendah yang berlaku dalam dua PRN terakhir sebelum ini, peluang pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) untuk bersaing di 71 kerusi kawasan pengundi majoriti Melayu di Semenanjung yang merupakan kubu kuat UMNO juga bakal terjejas.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terlalu awal untuk membuat jangkaan terhadap kadar peratusan pengundi pada PRU15 memandangkan ia berkait rapat dengan emosi pengundi.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. -Foto Bernama

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, perpecahan dalam blok pembangkang ketika ini sememangnya menjadi kelebihan kepada BN untuk masuk ke dalam PRU15 dengan lebih yakin.

Ujarnya, PRU15 dalam masa terdekat juga dilihat mampu menghalang pembangkang mendapatkan momentum terbaik untuk menggunakan naratif salah guna kuasa membabitkan pimpinan daripada BN bagi meraih sokongan pengundi.

Pada masa sama, beliau berkata, pelaksanaan PRU15 yang dijangka diadakan sebelum pertengahan November iaitu sebelum negara memasuki musim tengkujuh juga dilihat bakal menangkis dakwaan bahawa BN mahu mengadakan pilihan raya ketika musim banjir.

Dalam pada itu, Awang Azman berkata, masih terlalu awal untuk menjangkakan BN mempunyai keupayaan untuk menubuhkan kerajaan yang kukuh secara bersendiri.

"BN yakin sekurang-kurangnya mereka boleh menang 80 kerusi dan untuk membentuk kerajaan, saya kira parti yang nampak boleh dijadikan rakan mereka ialah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kalau GPS, saya kira mereka boleh memang sekurang-kurangnya 23 hingga 24 kerusi dalam PRU15,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca