SELEPAS lebih sebulan cuti sakit, saya masuk ke pejabat pada Isnin dengan perasaan yang berkobar-kobar untuk memulakan tugas. Dan tidak sampai 10 minit di pejabat, telefon bimbit saya pun berdering. Yang menelefon ialah Sdr Azmi Tarmizi,... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS lebih sebulan cuti sakit, saya masuk ke pejabat pada Isnin dengan perasaan yang berkobar-kobar untuk memulakan tugas.

Dan tidak sampai 10 minit di pejabat, telefon bimbit saya pun berdering. Yang menelefon ialah Sdr Azmi Tarmizi, Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri.

Beliau memohon kehadiran saya ke Aras 4, Kompleks Perdana Menteri di Putrajaya untuk satu pengumuman penting oleh Perdana Menteri sendiri.

Selepas beberapa hari diselubungi pelbagai teka-teki, desas-desus dan gosip mengenai pembubaran Parlimen, tidak syak lagi, hari ini adalah hari yang ditunggu-tunggu.

Namun begitu, apa saja boleh jadi. Mungkin pengumuman itu adalah tentang pembubaran dan mungkin juga tidak.

Teka-teki itu bagaimana pun terhakis dengan sendirinya sebaik sahaja saya dibawa naik ke Aras 4 dan bertemu dengan Sdr Azmi.

Beliau mengukirkan senyuman — tanda seolah-olah satu bebanan besar telah diangkat dari bahunya.

Ketibaan saya diikuti oleh Ketua-ketua Pengarang dan Pengarang Kanan daripada media yang lain.

Sebaik sahaja kami dibawa ke sebuah bilik mesyuarat khas bersebelahan dengan pejabat Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri, Datuk Ruhaidini Abd Kadir, kami dapati PM sudah pun duduk di atas kerusi dan sedang meneliti teks ucapan pengumuman yang bakal dibuat secara langsung pada jam 3 petang.

Beliau yang melihat wajah kami - wajah-wajah yang dikenalinya yang sering mengasaknya dengan soalan-soalan yang berat dan payah — turut tersenyum. Dengan wajah yang tersenyum itu, beliau memohon agar memberikannya kurang lebih 20 minit lagi untuk beliau menyemak teksnya. Kami akur dan berpindah ke bilik Dini.

Tidak lama kemudian, staf komunikasi pejabat PM yang kami semua memanggil dengan panggilan manja Nicky, masuk dan memberi signal masanya telah tiba dan mengiringi kami ke bilik sidang media PM.

Kami dimaklumkan bahawa PM akan membaca pengumuman khas tersebut tanpa mengambil sebarang pertanyaan. PM hanya mahu berbual dengan Ketua-ketua Pengarang dan Pengarang Kanan sambil minum kopi selepas pengumuman itu selesai.

Sejurus selepas kami melabuhkan punggung di atas kerusi yang disusun khas mengadap rostrum di mana beliau akan membacakan pengumumannya itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pun berjalan masuk sambil sekali lagi melemparkan senyumannya kepada kami semua.

Beliau kelihatan sangat selesa sekali, bergurau dan bersantai tanpa protokol, bertanya kepada stafnya bagaimana duduk letak tali lehernya agar kemas dan meminta segelas air dengan gelas yang lebih kecil agar tidak menghalang pandangan kamera.

YAB Perdana Menteri mengambil masa kurang daripada 20 minit membaca pengumumannya dengan inti pati terbesar ialah tentang persetujuan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permintaan membubarkan Parlimen Penggal ke-14 berkuat kuasa Isnin, 10 Oktober 2022.

Sebaik sahaja beliau selesai membacakan pengumumannya itu, dari wajahnya juga terpancar seolah-olah seperti satu bebanan besar turut diangkat daripada bahunya.

Tanpa melengahkan masa, beliau langsung mengajak kami semua duduk bersamanya. Pada saat itu, beliau menceritakan satu persatu tentang pelbagai kisah yang menarik. Sudah tentu, kebanyakannya adalah bersifat off the record — perkara yang tidak boleh ditulis tapi boleh didengar.

Setiap kisah yang diceritakan itu diselangi dengan gelak ketawa walaupun di satu sudut yang lain, ramai staf beliau yang menganggapnya bagaikan seorang ayah yang penyayang dan understanding mula menitiskan air mata.

Sebaik sahaja beliau terdengar suara yang mengatakan; "Bos, dia orang dah mula menangis.”Ismail langsung menoleh ke arah mereka dan berkata; "Buat apa menangis...saya masih PM sehingga kerajaan baharu angkat sumpah.”Kepada kami, beliau bersuara; "Saya orang parti...saya akur dengan kehendak dan kemahuan parti saya, melebihi kemahuan diri saya sendiri...selebihnya saya berserah kepada ALLAH SWT jua”.

Suasana hening...semua terdiam seketika mungkin mengenang kembali setahun penuh getir dan sepak terajang yang beliau lalui sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-9.

Lalu salah seorang daripada kami menyampuk; "Datuk Seri telah memberi yang terbaik dan melakukan apa yang perlu Datuk Seri lakukan...”

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca