SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa mulai Isnin, menimbulkan seribu satu persoalan dalam kalangan rakyat dan pengundi atas pagar. Manakan tidaknya, sebelum ini... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa mulai Isnin, menimbulkan seribu satu persoalan dalam kalangan rakyat dan pengundi atas pagar.

Manakan tidaknya, sebelum ini Naib Presiden UMNO itu bersungguh-sungguh mempertahankan pendiriannya enggan membubarkan Parlimen biarpun Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Perhimpunan Agung UMNO dan Presidennya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mendesak Ahli Parlimen Bera berkenaan berbuat demikian, sejak Mac lalu lagi.

Bagaimanapun, beberapa hari lalu, Ismail Sabri dilihat bersungguh-sungguh mahu mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon pembubaran Parlimen sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.

Hisommudin

Pengarah Eksekutif Pusat Kajian ILHAM Centre, Hisommudin Bakar melihat punca utama Perdana Menteri membuat keputusan drastik berkenaan adalah kerana tekanan daripada parti diwakilinya sendiri termasuk MKT, pemimpin Top 5 dan Presiden UMNO sendiri.

Hisommudin berkata, Ismail Sabri terpaksa berbuat demikian kerana jika tidak beliau mungkin akan dikenakan tindakan disiplin dan menerima nasib sama seperti dialami oleh bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (dipecat dari MKT) dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail, yang digantung keahliannya.

Malah, apa yang berlaku kepada Tajuddin dan Mohd Yusof sebenarnya memberi amaran dan isyarat jelas kepada Ismail Sabri bahawa beliau mungkin menerima nasib sama jika enggan patuh kepada arahan Presiden dan parti.

"Saya juga difahamkan ramai Ahli Parlimen BN yang dulunya menyebelahi Ismail Sabri ketika beliau diangkat menjadi Perdana Menteri kini sudah berpaling tadah dan tunduk kepada keputusan parti demi mendapatkan watikah, seterusnya bertanding pada PRU15 nanti.

"Justeru itu, satu-satu pilihan Ismail Sabri adalah dengan membubarkan Parlimen bagi menyelamatkan dirinya daripada dipecat daripada jawatan Naib Presiden dan ahli UMNO.

"Jadi Ismail Sabri terpaksa memohon pembubaran Parlimen daripada Yang di-Pertuan Agong, demi 'survival' atau kelangsungan hayat politiknya, boleh bertanding di peringkat Parlimen dan jika ada rezeki mungkin diangkat sebagai Perdana Menteri sekali lagi selepas PRU15," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Beliau berkata, satu lagi faktor kenapa Ismail Sabri berbuat demikian adalah kerana beliau melihat BN mempunyai peluang lebih besar untuk menang jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat, berbanding tahun depan.

Katanya, BN juga berharap pola sama seperti berlaku pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor berterusan pada PRU15 nanti.

Sementara itu, Hisommudin berkata, sekiranya BN menang PRU15 nanti, tidak semestinya mereka dapat membebaskan Zahid Hamidi yang kini berdepan dengan perbicaraan kes Yayasan AkalBudi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara di Kajang dengan mudah.

"Saya rasa dari segi teknikal bukan mudah untuk UMNO membebaskan Najib dari penjara biarpun menang PRU15, namun mereka boleh menyusun dan merancang untuk membebaskan dan memberi pengampunan kepada tokoh tertentu kerana kuasa berada di tangan mereka.

"Sebagai orang awam, saya juga melihat tindakan pembubaran Parlimen ini adalah untuk memberikan ruang masa kepada Ahmad Zahid untuk bernafas sementara menunggu keputusan mahkamah tinggi, pada akhir November nanti," katanya.

SUASANA MEMIHAK KEPADA BN

Senada dengan Hisommudin, pensyarah Politik Dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, antara punca utama Perdana Menteri berbuat demikian adalah kerana beliau yakin BN boleh menang jika PRU15 diadakan sekarang susulan pakatan pembangkang lemah dan tidak bersatu hati.

Mohd Azizuddin berkata, BN juga dilihat masih mempunyai momentum untuk menang jika PRU15 diadakan sekarang berbanding jika ia berlaku pada tahun depan.

Mohd Azizuddin

"Jika ikutkan keputusan parti dan ucapan Presiden UMNO, Ismail Sabri adalah 'poster boy' BN, jadi jika mereka menang, Ahli Parlimen Bera itu wajib menuntut janji dibuat Presiden UMNO, sebelum ini. Kalau orang lain naik jadi Perdana Menteri selepas BN menang, maka bermakna mereka mungkir janji yang dibuat sebelum ini," katanya.

Mohd Azizuddin juga, menolak kemungkinan tindakan pembubaran Parlimen akan memudahkan usaha BN untuk mendapatkan pengampunan dan mempercepatkan usaha pembebasan Ahli Parlimen Pekan.

"Tidak semestinya jika BN menang ia akan memudahkan proses pengampunan dan pembebasan Najib kerana saya difahamkan bekas Perdana Menteri itu sudah berbuat demikian baru-baru ini.

"Jadi itu bukan persoalan utama, apa yang penting dan kenapa Perdana Menteri memilih untuk membubarkan Parlimen sekarang adalah kerana BN mahu menang PRU15 dan kembali berkuasa," katanya.

TEKANAN DARIPADA PRESIDEN UMNO

Penganalisis Politik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berpandangan, keputusan Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa pada Isnin, adalah kerana faktor luaran dan dalaman UMNO sendiri termasuk tekanan daripada Presiden UMNO.

Awang Azman berkata, walaupun wujud tekanan daripada pemimpin tertinggi UMNO (Ahmad Zahid; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta dua Naib Presiden iaitu Mohamed Khaled dan Datuk Seri Mahdzir Khalid) supaya Ismail Sabri membubarkan Parlimen sejak Julai lalu, namun ahli Parlimen Pekan itu tidak berbuat demikian atas sebab tertentu.

Awang Azman

"Ini kerana kuasa Perdana Menteri adalah untuk menasihati Agong supaya perkenan membubarkan Parlimen. Jadi apabila beliau memohon perkenan maka kita kena hormat kuasa Agong untuk membenarkan pembubaran Parlimen.

"Kita juga kena ingat bahawa Perdana Menteri adalah dari UMNO jadi apa-apa berlaku pihak yang akan menyokong beliau adalah daripada partinya sendiri bukannya Pas atau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).

"Jadi Perdana Menteri perlu akur kepada keputusan UMNO, Perhimpunan Agong, MKT dan Top 5 supaya Parlimen dibubarkan secepat mungkin. Ini adalah bukan keputusan individu tetapi parti UMNO secara menyeluruh," katanya.

Dalam pada itu, Awang Azman juga menyangkal dakwaan bahawa Ismail Sabri membuat keputusan memohon pembubaran Parlimen kerana takut dikenakan tindakan disiplin dan mungkin digantung daripada UMNO.

"Saya tidak fikir begitu kerana Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tidak dikenakan tindakan disiplin biarpun lantang mengkritik Presiden UMNO.

"Sebagai seorang Ahli UMNO, saya melihat Ismail Sabri kena bertindak selaras dengan keputusan dan pendirian parti mahu Parlimen dibubarkan secepat mungkin," katanya.

Beliau berkata, satu lagi faktor kenapa Ismail Sabri memilih untuk membubarkan Parlimen sekarang bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan dalam masa terdekat adalah kerana sedar peluang BN menang adalah cerah.

"Perdana Menteri dan BN berani memohon Agong memberi perkenan supaya Parlimen dibubarkan adalah kerana mereka percaya pakatan pembangkang dalam keadaan lemah dan tidak bersatu seperti Gerakan Tanah Air (GTA), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Warisan Malaysia yang tidak boleh bekerjasama dengan PH.

"Sekiranya mereka boleh bersatu dan bekerjasama maka peluang BN untuk menang dan kembali berkuasa menjadi semakin tipis. Begitu juga jika kempen Ayuh Malaysia digerakkan oleh PKR selesai maka ia memberikan impak besar kepada keputusan PRU15 nanti. Jadi keputusan Ismail Sabri membubarkan Parlimen tepat kerana PH belum bersedia sepenuhnya.

"Perdana Menteri dan BN juga mungkin berbuat demikian kerana bimbang lebih banyak fakta dan pendedahan mengejutkan terutama berhubung skandal pembekalan kapal tempur pesisir (LCS) oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan pembelian meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan didedahkan kepada umum oleh pembangkang jika PRU15 lambat diadakan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca