PADA 6 Oktober lalu, seorang bekas sarjan polis, Panya Khamrab dengan bersenjatakan pistol, senapang patah dan pisau bertindak melepaskan tembakan sekali gus menyebabkan lebih 30 orang terbunuh kebanyakannya kanak-kanak selain mencederakan 12 orang lagi dalam kejadian amuk di wilayah timur laut Thailand.
Dia membunuh 23 kanak-kanak di sebuah taska di bandar Uthai Sawan, 500 kilometer dari timur laut Bangkok, kira-kira jam 12.30 tengah hari waktu tempatan untuk mengambil seorang anak lelakinya tetapi melepaskan tembakan dan membunuh setelah gagal menemui anaknya itu.
Dalam kejadian itu, Panya, 34, kemudian balik ke rumahnya di daerah Na Wang, sejauh lima kilometer dari taska berkenaan dan membunuh isteri dan seorang anak lelakinya berusia tiga tahun sebelum mengakhiri nyawanya.
Sebelum kejadian, bekas sarjan tersebut hadir di sebuah mahkamah di Nong Bua Lam Phu atas dakwaan memiliki sebiji pil methamphetamine tetapi lelaki tersebut diminta datang semula pada Jumaat bagi menerima hukuman ke atasnya.
Panya digantung tugas pada Januari lalu kerana memiliki pil tersebut selepas mengaku dakwaan yang dikemukakan kepadanya sebelum dipecat dalam bulan Jun lepas daripada perkhidmatan polis.
Menurut ibunya seperti diceritakan oleh Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Torsak Sukwimol, anak wanita berkenaan kelihatan tertekan selepas meninggalkan mahkamah tersebut pada Khamis lepas manakala bedah siasat menunjukkan bahawa Panya tidak mengambil dadah dalam tempoh 72 jam sebelum serangan itu berlaku.
Ibunya itu memberitahu media tempatan bahawa anaknya berhutang dan mempunyai masalah ketagihan dadah.
Seorang jurucakap polis wilayah yang dilaporkan media tempatan menyatakan bahawa Panya telah membunuh sembilan orang, menggunakan senjata api ketika dalam perjalanan ke rumahnya dengan menaiki kenderaan pikap.
Kejadian pembunuhan yang dilakukan oleh seorang penyerang dan melibatkan ramai mangsa jarang berlaku di Thailand tetapi pada tahun 2020, seorang askar negara berkenaan menembak mati 29 orang dalam satu peristiwa amuk selama 17 jam sehingga mencederakan lebih ramai mangsa lagi sebelum anggota tentera berkenaan ditembak mati oleh komando.
Dalam insiden tembakan besar-besaran pada tahun 2020 itu, ia berlaku disebabkan oleh pertikaian hutang antara askar bersenjata tersebut, Sarjan Mejar Jakrapanth Thomma dengan seorang pegawai kanan sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai terhadap tentera.
Bagaimanapun, dalam kejadian tembakan terbaharu itu, ia berlaku selepas kerajaan Thailand membenarkan penjualan dan amalan menanam ganja untuk tujuan perubatan sejak Jun lalu dan menjadikannya sebagai negara Asia pertama berbuat demikian.
Namun, dalam kes tembakan tersebut, pelakunya itu terlibat dengan kesalahan memiliki pil methamphetamine yang menurut Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijual pada harga rendah di jalanan di Thailand.
Menurut laporan tempatan, sebiji pil itu berharga hanya 10 baht (RM1.23) untuk dibeli bagi tujuan borong tetapi harga jalanan untuk pil tersebut adalah antara 20 dan 25 baht (RM2.45 hingga RM3.06).
Statistik yang dipetik oleh berita tempatan menunjukkan bahawa pada tahun 2021, pihak berkuasa negara itu telah merampas sebanyak 272 juta tablet methamphetamine; 8,691 kilogram (kg) methamphetamine kristal dan 484 kg heroin.
Dalam tempoh yang sama, seramai 144,110 orang telah ditahan atas kesalahan berkaitan dengan dadah.
Menyedari bahawa tindakan yang boleh dilakukan oleh penagih dadah, Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha, telah mengarahkan supaya usaha memerangi narkotik dilakukan termasuk penekanan diberikan kepada rawatan pemulihan dadah.
Arahan itu dibuat pada Isnin menerusi jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri yang berkata dalam satu kenyataan bahawa Prayuth telah mengarahkan polis untuk segera membanteras dadah haram dan membawa para penggunanya untuk menerima rawatan pemulihan.
Perdana Menteri mengarahkan gabenor-gabenor wilayah untuk mengukuhkan rancangan pencegahan dadah untuk menangani masalah di kawasan masing-masing, kata kenyataan berkenaan sambil menambah kerajaan sentiasa mengambil serius tentang usaha bagi membanteras dadah.
Parti pembangkang, Pheu Thai pula menyatakan ia sedang bersedia untuk membuka sesi luar biasa Parlimen selepas kejadian pembunuhan taska tersebut berlaku.
Pheu Thai sebelum ini diasaskan oleh penyokong setia bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra yang terkenal dengan tindakan kerasnya bagi membanteras dadah sehingga menyebabkan kira-kira 2,500 orang maut telah mengkritik kerajaan semasa kerana tidak melakukan usaha yang secukupnya untuk menangani masalah dadah.
Usaha-usaha untuk menangani masalah dadah itu kini mendapat perdebatan di Thailand selepas tragedi berdarah berlaku di timur laut negara tersebut disebabkan oleh tindakan kejam seorang anggota polis berpangkat sarjan yang juga merupakan seorang pengguna pil methamphetamine. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca