[DIKEMAS KINI] SELEPAS lebih 30 bulan, dibayangi pelbagai nama antaranya kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 21 Ogos 2021, sebagai Perdana Menteri... Klik di sini untuk terus membaca

[DIKEMAS KINI] SELEPAS lebih 30 bulan, dibayangi pelbagai nama antaranya kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 21 Ogos 2021, sebagai Perdana Menteri kesembilan, menamatkan teka-teki mengenai tarikh pembubaran Parlimen, sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Dewan Rakyat akhirnya dibubarkan. Tiga hari selepas Belanjawan 2023, yang terbesar dari segi peruntukan, dibentangkan oleh Menteri Kewangan, ketika ramai beranggapan ia tidak perlu dilakukan dengan tergopoh-gopoh.

Lebih awal berbanding pengalaman ketika tahun 1999 yang membolehkan PRU diadakan pada November 1999. Ketika itu Parlimen dibubarkan sembilan hari selepas Belanjawan 2000 dibentangkan.

Kali ini pengumuman pembubaran Parlimen dibuat pada cuti umum ganti di kebanyakan negeri. Dibubarkan ketika sebahagian besar anggota Dewan Rakyat sedang menuju ke ibu negara untuk mengambil bahagian dalam perbahasan belanjawan, yang menyediakan peruntukan lebih RM370 bilion, mulai Selasa.

Mandat semasa kerajaan Pusat, yang silih berganti sebanyak tiga kali, tinggal lagi sembilan bulan untuk berakhir.

Ismail Sabri sendiri yang menekankan perubahan tiga kerajaan dan pelantikan tiga Perdana Menteri dalam perutusan khasnya itu menegaskan bahawa dirinya mengambil jalan untuk kembali kepada rakyat bagi mengakhiri cakap-cakap banyak pihak mengenai keabsahan atau ketidaksahihan status kerajaan sedia ada, yang beliau sebahagian daripada anggota kerajaan dibentuk susulan Langkah Sheraton pada penghujung Februari 2020.

Pokoknya beliau sudah memutuskan untuk kembali kepada rakyat selepas parti beliau mahu PRU diadakan pada tahun ini.

TIDAK TERDUGA

Sesungguhnya ini juga kali pertama tempoh mandat semasa, mengambil kira sejak selesainya PRU14 pada 9 Mei 2018, landskap politik dan pilihan raya disaksikan dengan begitu banyak perkembangan yang tidak diduga sama sekali.

Pertamanya sudah tentu kejatuhan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada awal tahun 2020, susulan Langkah Sheraton yang menyaksikan sejumlah wakil rakyat termasuk anggota kabinet meninggalkan kerajaan yang dibentuk susulan tsunami rakyat 52 bulan yang lalu pada Mei 2018. Keadaan itu membawa kepada perubahan kerajaan di beberapa negeri terutama di Kedah, Johor, Perak seterusnya di Melaka.

Keduanya, tempoh semasa juga menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) tergempar di Sabah (September 2020), Melaka (November 2021) dan Johor (Mac 2022).

Tidak dapat dinafikan negara pernah menyaksikan pilihan raya tergempar sebelum ini, tetapi ini kali pertama dalam jumlah yang banyak. Kemungkinan besar ketiga-tiga negeri tersebut tidak mengadakan pilihan raya baharu. Malah perkara itu juga ditekankan oleh Ismail Sabri dalam perutusan beliau.

Pun begitu, kerajaan negeri terbabit boleh mengadakan semula PRN bersama PRU peringkat Parlimen jika mahu. Bagaimanapun mereka tidak akan berbuat demikian dan tidak akan mengambil risiko dengan mengambil kira ketidaktentuan politik semasa.

Ketiganya, ketika Ismail Sabri disebut-sebut akan mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan pembubaran, sebanyak enam negeri dilaporkan tidak akan mengikut langkah kerajaan Persekutuan dalam menetapkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jika pendirian itu menjadi benar, bermakna ini kali pertama dalam sejarah negara kebanyakan negeri akan mengadakan pilihan raya berasingan.

Lazimnya pilihan raya berasingan DUN dan Dewan Rakyat hanya berlaku di Sabah dan Sarawak. Sabah telah mengubah dasar itu sejak PRU pada 2004. Dua tahun yang lalu Sabah telah mengadakan PRN tergempar dan kemungkinan besar tidak akan mengadakan PRN semula bersama Parlimen kali ini.

Keempatnya, beberapa undang-undang berkaitan dengan pilihan raya dan wakil rakyat turut telah dipinda dan digubal bagi memperkasakan sistem pilihan raya. Ini termasuk dasar Undi18 dan pendaftaran pengundi secara automatik serta undang-undang melarang lompat parti.

Teka-teki seterusnya adalah bila hari pengundian dan berapa lama tempoh kempen mengundi bakal disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)?

Undang-undang semasa membolehkan SPR menyediakan 11 hari, tempoh minimum, untuk berkempen sebelum hari pengundian. Lazimnya SPR memerlukan dan akan mengambil masa lima hingga enam minggu untuk menetapkan tarikh pengundian — proses terakhir dalam pilihan raya.

Apakah kita bakal menyaksikan pilihan raya ekspres bagi mengelakkan impak musim tengkujuh dan banjir dalam SPR memenuhi tanggungjawab mandatori sebagai badan pengurusan pilihan raya?Yeah, sebaik habis PRU kita boleh saksikan Piala Dunia Fifa 2022!

* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca