MALAYSIA, antara 10 negara tertinggi di dunia menggaji pekerja asing. Mereka boleh terdiri daripada pekerja asing dengan izin, pekerja asing tanpa izin (Pati), pelarian dan pemohon suaka politik.
Peranan pekerja asing diakui amat penting untuk negara. Tenaga mereka menjadi keperluan dalam sektor-sektor kritikal di Malaysia khususnya 3D (Dirty, Dangerous and Demanding).
Pekerja asing sering jadi pilihan utama majikan kerana dianggap berdisiplin, setia, rajin, kos efektif dan berkomitmen tinggi. Umumnya, mereka terlibat dalam salah satu daripada enam sektor ditentukan pihak kerajaan iaitu pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, pembuatan dan pembantu rumah.
Namun, keberadaan golongan berkenaan dalam landskap negara turut memberi pelbagai kesan negatif. Antara kesan utama adalah ancaman kesihatan kerana kebanyakan warga asing khususnya Pati berisiko menyebarkan pelbagai jenis penyakit seperti tibi, taun dan kusta dalam kalangan penduduk tempatan.
Malah, berlaku pencerobohan terhadap tanah kerajaan dan persendirian untuk penempatan haram serta rumah setinggan, selain amalan penempatan berpindah-randah mengikut pekerjaan, khususnya dalam sektor pembinaan hingga merosakkan estetika muka bumi kawasan terlibat termasuk menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan.
Kesan lain, berlakunya pencemaran alam sekitar melalui pembakaran hutan untuk penempatan, pertanian dan penternakan, pembuangan sampah merata-rata, pencemaran udara, pembuangan sisa pepejal serta kumbahan ke dalam sistem pengairan dan takungan air.
Dari segi estetika, apabila cuti umum panjang, ribuan pekerja asing mengambil kesempatan bersiar-siar di ibu kota, namun budaya pengotor mereka terserlah.
Sampah termasuk pelitup muka bertaburan di merata tempat meskipun tong sampah disediakan mencukupi dan ramai juga dilihat meludah sesuka hati di kali lima, stesen bas mahupun di pusat beli-belah. Natijahnya, kebanyakannya tidak mempunyai kesedaran terhadap kebersihan, maka tidak hairanlah keadaan sekitar ibu kota lebih kotor daripada biasa pada hari kelepasan am.
Malah, penduduk mendakwa sikap tidak bertanggungjawab penghuni warga asing yang membuang sampah sesuka hati menjadikan kehidupan mereka di situ kurang selesa. Walaupun tidak mengganggu penduduk tempatan, namun sikap sebahagian warga asing didakwa pengotor apabila hidup dalam per-sekitaran busuk dan meloyakan.
Apatah lagi, dengan cara hidup warga asing terutama dari negara tertentu yang gemar mengunyah sirih dan kemudian meludah ke lantai menjadikan kawasan sekitar kotor. Lebih membimbangkan terdapat warga asing sering bertindak membuang sampah dari tingkat atas blok pangsapuri sehingga mencetuskan kemarahan penduduk.
Selain membuang sampah di tangga, warga asing turut membuang alat-alat elektrik yang rosak, sirih dan botol arak di lorong-lorong pejalan kaki. Terdapat juga rungutan bahawa warga asing turut berkumpul di taman permainan kanak-kanak hampir setiap petang dan meninggalkan sampah-sarap selepas bersurai menyebabkan longkang di situ sering tersumbat.
Akibat sikap pengotor mereka, terdapat kawasan didiami dilabel sebagai kawasan hotspot demam denggi. Hakikatnya, pencemaran alam sekitar berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab golongan berkenaan yang beranggapan sampah akan diurus pihak pembersihan, selain sikap pengotor diri sendiri.
Justeru, pihak majikan seharusnya memastikan pekerja mereka sentiasa berdisiplin memelihara kebersihan, sama ada di tempat kerja atau asrama.
Sikap tidak bertanggungjawab warga asing boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 80 Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM250,000. Tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 76 akta sama kerana kesalahan melonggokkan sampah tanpa kebenaran.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca