PADA Jumaat, Bajet 2023 telah selesai dibentangkan, dengan pihak media cuba memberi gambaran holistik yang lebih mudah difahami rakyat marhaen. Pada awal pembentangan, Menteri Kewangan telah memberi penerangan mengenai nilai-nilai utama... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Jumaat, Bajet 2023 telah selesai dibentangkan, dengan pihak media cuba memberi gambaran holistik yang lebih mudah difahami rakyat marhaen.

Pada awal pembentangan, Menteri Kewangan telah memberi penerangan mengenai nilai-nilai utama yang menjadi panduan kepada pengolahan bajet.

Ia adalah apa disebut sebagai ‘3R’. ‘R’ pertama bermaksud Responsive (Kepekaan), kedua, Responsible (bertanggungjawab) dan ketiga, Reformist (reformis).

Responsive ialah kepekaan terhadap cabaran dan masalah dihadapi. Responsible bertanggungjawab untuk memastikan anjakan positif dan kestabilan tahap kewangan negara, manakala Reformist untuk mengubah landskap pembangunan negara ke tahap lebih mampan.

Beliau turut memberi amaran bahawa tinjauan ekonomi dunia bagi tahun 2023 akan semakin tidak menentu dan mencabar, susulan konflik geopolitik, tekanan inflasi global, dasar monetari mengetat serta prospek pertumbuhan ekonomi yang lemah.

Gambaran bajet mulanya memberi petunjuk positif dengan jumlah untuk 2023 diumumkan adalah RM372.3 bilion. Ia jumlah paling tinggi dalam sejarah bajet negara iaitu 12.1 peratus melebihi Bajet 2022. Agak menggusarkan apabila pembentangan menyentuh peruntukan pertahanan, jelas sekali sektor tersebut tidak mendapat apa yang dihajati.

Hasrat Panglima Angkatan Tentera dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) agar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diberikan peruntukan 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk Bajet 2023 jelas tidak kesampaian.

Hanya 0.98 peratus diperuntukkan kepada sektor tersebut, satu jumlah jauh lebih kecil daripada diimpikan. Semakin berlanjutan bajet dibentangkan, semakin jelas mungkin apa dimaksudkan Menteri Kewangan apabila menyatakan keadaan geopolitik global semakin tidak stabil, dianggap oleh kementerian beliau sebagai ancaman kepada sektor kewangan dan ekonomi.

Memang benar tekanan ekonomi adalah antara punca sebahagian daripada konflik antara dua negara tercetus mengakibatkan berlaku pergolakan geopolitik. Perebutan kawasan cari gali minyak, sumber tenaga atau kawasan penangkapan hasil laut lazimnya berpunca daripada kehendak memenuhi hasrat kesejahteraan ekonomi rakyat.

Ia kemudiannya boleh bertukar menjadi perebutan kawasan atau wilayah, tuntutan bertindih dan jika tidak diselesaikan boleh membawa sengketa bersenjata. Dalam keadaan sedemikian, negara-negara yang telah bersedia, mempunyai kekuatan, aset ketenteraan secukupnya dan efektif, lazimnya akan mengambil sikap might is right (yang lebih kuat sentiasa di pihak benar).

Sikap itulah menyebabkan ketidaktentuan geopolitik global. Ia telah lama berlaku dan terkini adalah dalam isu pencerobohan Rusia ke atas Ukraine atau kebiadaban rejim Yahudi terhadap Palestin dan Lubnan.

Sebagai sebuah negara maritim, sejarah telah membuktikan kawasan perairan memainkan peranan kritikal sebagai benteng hadapan paling utama dalam mengekalkan kedaulatan negara merdeka.

Bagi pihak TLDM, dengan pelbagai ‘amaran’ dan rayuan diketengahkan panglimanya mengenai keadaan semasa aset dimiliki serta hakikat penurunan keupayaan kuasa tempur sejak beberapa tahun kebelakangan, Bajet 2023 jelas mengecewakan.

Kapal-kapal TLDM yang dahulunya digeruni mana-mana pihak yang cuba menceroboh kawasan perairan negara dengan sistem peluru berpandu canggihnya, kini terpaksa diturunkan taraf dan keupayaannya kepada aset rondaan serta bantuan sahaja.

Program Transformasi TLDM 15 ke 5 yang sepatutnya memberi taring berbisa telah lama tergendala, malah angkatan laut itu terpaksa menggunakan kembali aset-aset terpakai yang suatu masa dahulu telah diberikan kepada agensi lain.

TLDM terpaksa ‘menebal muka’ mengambil sikap ‘buruk siku’ untuk menampung kekurangan platform sedia ada. Tiga program utama memanjangkan hayat platform turut giat dilaksanakan yang dijangka menjangkau sehingga 2025 untuk diselesaikan, itu pun sekiranya peruntukan diperoleh.

Konsep 3R mahu ditonjolkan dalam Bajet 2023 sememangnya tepat sekali dalam konteks membangunkan semula kekuatan TLDM yang menjadi mangsa kepada pelbagai ketirisan, tiada akauntabiliti, salah laku, pengurusan tidak cekap dan pelbagai lagi.

Dalam keadaan senario politik agak tidak menentu, cakap-cakap pilihan raya dan pergelutan mahu mengambil hati pengundi, nasib TLDM mungkin telah didendangkan oleh Biduan Negara, Allahyarham Tan Sri SM Salim dalam rangkap pantun lagunya berjudul Tak Seindah Wajah.

Di manis gula semut binasa,

Kail berduri bersalut umpan,

Di manis kata insan terlena,

Kerana budi hamba terkorban.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca