RIO DE JANEIRO - Pokok tertinggi di hutan hujan Amazon akhirnya berjaya ditemui selepas perancangan selama tiga tahun, lima ekspedisi dan jungle trekking selama dua minggu.
Penemuan pokok gergasi setinggi bangunan 25 tingkat, angelim vermelho atau nama saintifiknya, Dinizia excelsa dibuat di kanopi Rizab Alam Semula Jadi Sungai Iratapuru di utara Brazil.
Spesimen itu dikatakan berukuran 88.5 meter (m) tinggi dan berdiameter 9.9m, sekali gus menjadikan ia sebagai pokok terbesar pernah dikenal pasti di Amazon.
Difahamkan, usaha pencarian pokok gergasi tersebut mula dibuat setelah ia pertama kali dilihat menerusi imej satelit pada 2019 di bawah projek pemetaan 3D.
Ia telah mencuri perhatian ahli akademik dan pencinta alam sekitar yang mula melancarkan ekspedisi menjejakinya pada tahun sama.
Tetapi, usaha tersebut berdepan beberapa kesukaran termasuk bentuk rupa muka bumi yang mencabar hingga menyebabkan kumpulan penyelidik berkenaan terpaksa berpatah balik.
Tiga ekspedisi lain ke kawasan terpencil di Lembah Jari yang terletak di sempadan antara negeri Amapa dan Para bagaimanapun berjaya menemui beberapa pohon gergasi lain termasuk pokok kacang tertinggi yang pernah direkodkan di Amazon iaitu setinggi 66m.
Pencarian angelim vermelho yang kekal misteri itu akhirnya membuahkan hasil ketika ekspedisi yang dilancarkan pada 12 hingga 25 September lalu.
Kumpulan penyelidik sanggup melalui perjalanan mencabar 250 kilometer (km) dengan menaiki bot menelusuri sungai berbahaya, selain berjalan kaki sejauh 20km merentasi hutan pergunungan.
Salah seorang daripada 19 anggota ekspedisi itu dilaporkan turut digigit labah-labah beracun, namun ia tidak mematahkan semangat mereka.
"Segala kesukaran yang kami hadapi sangat berbaloi. Ia adalah salah satu perkara yang paling menakjubkan pernah saya lihat.
"Anda berada di tengah-tengah hutan di mana manusia tidak pernah menjejakkan kaki,” kata jurutera hutan, Diego Armando Silva dari Amapa Federal University dengan nada teruja.
ANCAMAN PENEBANGAN HUTAN
Mereka turut mengumpulkan daun, tanah dan sampel lain untuk dianalisis bagi menentukan usia sebenar pokok tersebut yang dianggarkan berusia 400 hingga 600 tahun.
"Separuh daripada berat pokok gergasi di kawasan itu adalah karbon diserap daripada atmosfera yang merupakan asas untuk membantu dalam membendung fenomena perubahan iklim,” jelas Silva.
Walaupun ia tumbuh di kawasan terpencil, pokok gergasi berkenaan tetap berdepan ancaman.
Kayu angelim vermelho sangat bernilai kepada pembalak dan menyebabkan rizab Iratapuru diceroboh pelombong emas haram hingga mengakibatkan kemusnahan ekologi.
"Kami sangat teruja dengan penemuan ini. Ia adalah sangat penting ketika Amazon berdepan tahap penebangan hutan yang semakin membimbangkan,” kata Jakeline Pereira daripada kumpulan pencinta alam sekitar, Imazaon yang terlibat menganjurkan ekspedisi tersebut.
Sejak lebih tiga tahun lalu, purata penebangan hutan tahunan di Amazon telah meningkat sebanyak 75 peratus berbanding dekad sebelumnya.
Data terbaharu dikeluarkan Inisiatif Pengesanan Penebangan Hutan Dalam Masa Nyata (DETER) mendedahkan aktiviti tersebut mencipta rekod baharu pada September.
Imej satelit menunjukkan kawasan hutan seluas 1,455km persegi di Amazon yang bersamaan dengan 25 kali saiz Manhattan musnah pada bulan lalu.
Pentadbiran bekas Presiden, Jair Bolsonaro pernah dikritik kerana mengambil sikap sambil lewa menangani isu itu.
Pakar mendakwa, industri perniagaan tani telah memacu kemusnahan hutan berskala besar untuk dijadikan kawasan tanah ladang dan padang rumput.
2022 hanya berbaki tiga bulan lagi, namun ia mencipta rekod tahun kedua terburuk untuk kegiatan penebangan hutan melibatkan kawasan seluas 8,590km persegi di hutan hujan Amazon yang turut digelar sebagai ‘paru-paru bumi’. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca