SHAH ALAM - Keengganan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Pas mengadakan pilihan raya berserentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di enam negeri pada tahun ini, sebenarnya memberi kelebihan besar kepada UMNO-BN untuk merampasnya pada tahun hadapan.
Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, mengambil contoh negeri Kelantan, sebarang implikasi kemenangan UMNO-BN di peringkat Pusat pastinya akan memberi kelebihan kepada UMNO negeri untuk mengulanginya di peringkat Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Jelas beliau, meskipun UMNO Kelantan menghormati sebarang keputusan kerajaan negeri Kelantan, parti itu sebenarnya mempunyai kelebihan ruang dan masa tambahan untuk menambat hati rakyat negeri berkenaan sekiranya PRN diadakan berasingan.
Selain negeri Kelantan, dua kerajaan negeri dipimpin Pas yang dijangka tidak akan membubarkan DUN pada tahun ini adalah Kedah dan Terengganu, manakala tiga negeri ditadbir kerajaan PH pula terdiri daripada Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
"Kita menghormati sebarang keputusan kerajaan negeri Kelantan, sekali pun mereka enggan membubarkan DUN seiringan dengan pembubaran Parlimen.
"Namun, saya sebenarnya melihat keputusan itu bukan menguntungkan Pas pun, sebaliknya memberi kelebihan kepada UMNO kerana kita masih lagi diberi ruang dan masa untuk bergerak memenangi hati rakyat.
"Begitu juga dengan kerajaan negeri pembangkang lain. Sekiranya PRN diadakan berasingan, UMNO-BN boleh ambil keputusan ini untuk kerah keseluruhan jentera parti di seluruh negara mendekati rakyat, sekali gus meyakinkan mereka bahawa UMNO-BN sahaja yang mempunyai rekod pencapaian yang terbukti cemerlang sejak sekian lama," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan keputusan pembubaran Parlimen pada Isnin bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan dalam tempoh 60 hari.
Selain itu, Naib Presiden UMNO itu turut menggesa kerajaan negeri membubarkan DUN masing-masing serentak pembubaran Parlimen.
Bagaimanapun, katanya, DUN di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor tidak perlu dibubarkan.
Namun begitu, kerajaan PH di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mengumumkan mereka tidak akan membubarkan DUN seiringan dengan pembubaran Parlimen kerana bimbang dengan ancaman banjir yang dijangka melanda negara disebabkan fasa peralihan Monsun Timur Laut (MTL).
Pendirian itu turut disusuli kerajaan negeri Pas di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang membuat keputusan berkenan demi memfokuskan dahulu terhadap usaha kebajikan rakyat, termasuk membuat persiapan menghadapi banjir.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut senada dengan Ahmad Jazlan dan menyifatkan sebarang perkembangan berita kerajaan negeri Pas dan pembangkang enggan mengadakan PRN berserentak dengan PRU15 bakal memberi laba politik besar kepada UMNO-BN.
Ujarnya, terdapat dua sebab mengapa UMNO-BN bakal memperoleh manfaat besar daripadanya iaitu yang pertama UMNO-BN senang untuk mengerahkan seluruh jentera parti ke semua negeri yang belum mengadakan PRN, bagi mendekati rakyat secara agresif.
Selain itu, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu turut berpandangan keputusan kerajaan negeri PH dan Pas itu berisiko untuk diketawakan rakyat, sekiranya tiada banjir besar berlaku sepanjang tahun ini.
"Kalau sudah selesai PRU15 dan negeri-negeri tradisi BN, bila ada PRN negeri dalam tempoh enam bulan lagi, senang untuk gerakan jentera parti yang sudah selesai, berkempen ke negeri-negeri belum selesai.
"Ini formula kejayaan (PRN) Melaka dan Johor, Satu Malaysia berkampung di sana.
"Kedua, kalau PRU15 diadakan awal November dan tiada banjir besar berlaku, pastinya negeri-negeri yang sibuk tak nak pilihan raya atas alasan banjir akan diketawakan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pembangkang DUN Selangor, Datuk Rizam Ismail kecewa dengan keputusan kerajaan negeri pembangkang enggan membubarkan DUN dan menyifatkannya bukti 'ketidakstabilan dan ketidaksefahaman politik negara yang perlu dibetulkan'.
Tambahnya, bila kerajaan negeri pembangkang mengadakan PRN berasingan, secara tidak langsung kos mengadakan pilihan raya akan meningkat dan situasi ini tidak baik untuk kemampanan kewangan negara bagi mendepani jangkaan cabaran ekonomi dunia mencabar tahun hadapan.
"Kalau pembangkang guna alasan takut banjir untuk elak PRN, alasan itu juga tidak kukuh kerana ancaman banjir disebabkan fasa peralihan MTL boleh memberi implikasi negatif sehingga bulan Mac tahun hadapan, bukan sekadar hujung tahun sahaja.
"Pembangkang sepatutnya berhenti untuk bermain politik. Tetapi kalau mereka berdegil hendak adakan juga PRN berasingan, saya cukup yakin dan percaya negeri Selangor akan ditawan semula UMNO-BN kerana rakyat negeri ini sudah menyaksikan begitu banyak kepincangan dan kegagalan kerajaan sedia ada," tegas Rizam.
Klik di sini untuk terus membaca