JABATAN Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) akan bermula November ini dan dalam tempoh peralihan MTL itu banyak lokasi di seluruh Malaysia menghadapi kemungkinan bencana banjir. Disebabkan... Klik di sini untuk terus membaca

JABATAN Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) sebelum ini menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) akan bermula November ini dan dalam tempoh peralihan MTL itu banyak lokasi di seluruh Malaysia menghadapi kemungkinan bencana banjir.

Disebabkan itu, MET Malaysia merasakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak wajar dilakukan tahun ini khususnya dalam keadaan perubahan iklim yang sedang berlaku.

Pun begitu, atas faktor mahukan sebuah kerajaan yang kukuh, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa Isnin, selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memberi laluan kepada PRU15.

Pembubaran kira-kira sembilan bulan sebelum penggal Parlimen Ke-14 berakhir pada 15 Julai 2023 itu sekali gus menjawab segala teka-teki dan spekulasi berlegar sejak beberapa minggu lalu mengenai pelaksanaan PRU15.

Mengambil kira jangkaan MTL yang diramal bermula pertengahan bulan November ini, Yang di-Pertuan Agong bertitah agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan PRU15 dalam tempoh terdekat.

Dan mahu tidak mahu, Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini menolak pelaksanaan PRU15 atas sebab MTL terpaksa akur mempersiapkan jentera bagi merampas kembali tampuk pemerintahan di Putrajaya.

Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, PH telah mengambil langkah bersiap siaga sekiranya banjir berlaku ketika berlangsungnya PRU15.

"Fenomena banjir sudah bermula di Penampang, Sabah dan perkara seperti ini mendatangkan kesan kepada harta dan nyawa rakyat.

"Walaupun PH sebelum ini menyatakan dengan tegas bahawa kami tidak bersetuju PRU15 diadakan pada musim banjir, tetapi kita terpaksa harunginya setelah pembubaran Parlimen diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Saya berharap insiden banjir tidak berlaku pada hari mengundi namun sekiranya peristiwa tidak diingini itu berlaku, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memaklumkan prosedur awal jika tempat mengundi banjir atau terpaksa bertukar menjadi Pusat Pemindahan Sementara,” katanya kepada Sinar Premium.

MTL dijangka bermula pada pertengahan November 2022 dan berakhir pada Mac 2023.

Dalam tempoh ini, empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan dan boleh mendatangkan banjir dijangka berlaku semasa fasa aktif MTL iaitu dari November 2022 hingga Januari 2023.

Di Kelantan, Terengganu dan Pahang, episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku antara November hingga Disember 2022. Manakala, mulai Disember 2022 hingga Februari 2023, episod hujan lebat berterusan dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, hujan lebat berterusan juga boleh berlaku di negeri pantai barat sekiranya luruan monsun kuat dan atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara dan kebanyakan tempat dijangka menerima jumlah hujan bulanan pada paras purata pada MTL 2022/2023.

"Apakah persediaan SPR? Apabila PRU betul-betul perlu diadakan semasa musim banjir, jangan mengekang gerak kerja ahli, parti dan aktivis politik untuk memenangkan satu pihak dan SPR wajib menyatakan apakah perancangannya menghadapi PRU di musim banjir,” kata Fahmi.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga menegaskan SPR wajib menyatakan langkah-langkah yang akan diambil dan tidak menjadikan banjir alasan untuk memastikan jumlah pengundi itu kurang atau mengekang kebebasan berpolitik seperti yang terjadi semasa pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong pada minggu lalu memberi perkenan pembatalan Proklamasi dan Ordinan Darurat bagi tiga kawasan pilihan raya, iaitu Parlimen Grik di Perak, Batu Sapi di Sabah serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya juga di Sabah.

Pembatalan itu membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sepatutnya diadakan pada 2020, tetapi ditangguhkan bagi mengekang penularan Covid-19, dilaksanakan serentak dengan PRU kali ini.

Seiring peningkatan jumlah daftar pemilih SPR bagi PRU15 susulan pengenalan Undi 18 dan daftar pemilih automatik, tempoh mengundi rasmi juga dilanjutkan sehingga jam 6 petang, berbanding 5 petang pada pilihan raya sebelum ini.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen akan menjadi pertaruhan parti-parti politik, dengan saingan kali ini dijangka menyaksikan pertembungan banyak penjuru di satu-satu kerusi.

Pilihan raya DUN pula dijangka menyaksikan hanya 116 DUN, iaitu di Pahang, Perlis serta Perak menyertai proses bersekali peringkat Persekutuan.

Ia berikutan tiga negeri dikuasai PH, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, selain tiga lagi negeri ditadbir Pas, iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, sebelum ini memutuskan untuk mengadakan pilihan raya DUN masing-masing tahun depan.

Enam negeri berkenaan menyumbang keseluruhan 245 kerusi DUN.

Bagi 239 lagi kerusi DUN di Sabah, Sarawak, Johor dan Melaka pula, kesemuanya tidak akan dipertandingkan memandangkan negeri itu baru selesai mengadakan pilihan raya negeri.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, PH akan mengadakan mesyuarat untuk menangani masalah berkaitan bagi mencapai kejayaan sama seperti pada PRU14 lalu.

Pada PRU14 iaitu 9 Mei 2018, BN yang menguasai pentadbiran negara lebih 60 tahun tewas selepas gagal memperoleh majoriti mudah atau 112 daripada 222 keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat.

Ketika itu, PH dianggotai PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menang selepas memperoleh 113 kerusi Parlimen, disusuli penyertaan Parti Warisan (Warisan) kemudiannya yang menang di lapan kerusi Parlimen, menjadikan keseluruhan 121 kerusi dimenangi gabungan itu dan sekutunya.

"Kita terpaksa menghadapi PRU dalam apa keadaan sekalipun kerana pilihan untuk membuat PRU semasa banjir adalah pilihan BN khususnya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Dari satu sudut, saya berasa kecewa dengan sikap segelintir pihak yang tidak mementingkan rakyat dan deritanya akan ditanggung oleh rakyat dalam suasana banjir ini.

"Kita harap bahawa rakyat sedar ini adalah keputusan yang dibuat oleh UMNO-BN dan menunjukkan sikap mereka bahawa mereka memang tidak mengambil berat tentang rakyat dan mementingkan kedudukan dan jawatan sahaja,” kata Khalid yang juga penyandang kerusi Parlimen Shah Alam.

Khalid turut meletakkan harapan agar rakyat mengambil kira dan memilih PH sekiranya menginginkan sebuah kerajaan yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat.

"Rakyat sudah dapat menikmati pengalaman berada di bawah pemerintahan PH, PN dan BN dan mereka boleh menilai bahawa PH bersungguh-sungguh dalam usaha melaksanakan agenda reformasi dan membawa kebaikan kepada rakyat biarpun terdapat kelemahan.

"Biarpun PH tidak mampu melakukan agenda itu secepat mana yang kami inginkan, namun hala tuju parti ini sangat jelas dan tidak ada salah guna kuasa, penyelewengan mahupun rasuah semasa pemerintahan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca