SHAH ALAM - Bajet 2023 yang dibentangkan di Parlimen Jumaat lalu bukan dikhaskan untuk membantu golongan B40 dan M40 tetapi disifatkan sebagai peruntukan kepada golongan elit.
Justeru Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammed Abdul Khaled berpandangan, pembubaran Parlimen yang diumumkan pada Isnin ibarat satu hikmah ekoran bajet berkenaan akan dibentangkan semula oleh kerajaan baharu kelak.
"(Pembubaran Parlimen) Buat sekarang atau selepas ini, tiada beza kerana paling penting adalah pembuat dasar. Pembuat dasar buat belanjawan yang baik, (akan) baik untuk rakyat.
"Kalau kita lihat skop yang lebih luas, (Parlimen) dibubarkan ada kebaikan juga kerana bajet ini lebih mementingkan kepada orang yang paling kaya, yang banyak mendapat manfaat.
"Bajet ini walaupun nampak macam membantu kepada orang susah (tetapi) orang susah dapat sikit, bukan juga M40, tetapi orang paling kaya dapat banyak,” katanya dalam program Wacana Sinar edisi 368 bertajuk ‘Akhirnya mandat kembali kepada rakyat’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Turut diundang menjadi panelis adalah Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Shah Alam, Dr Afif Baharudin dan Ketua Penerangan Muda, Luqman Long, manakala Ismail Adnan sebagai moderator.
Dalam pada itu Muhammed berkata, kerajaan yang bakal dipilih rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak diharap dapat membentangkan belanjawan yang lebih baik dengan memberi fokus kepada kumpulan B40 dan M40.
"Diharap kerajaan baharu nanti buat bajet (untuk) membantu orang susah, menjana pendapatan dan lihat kepada kedudukan dan implikasi kewangan negara,” katanya.
Sementara itu mengulas mengenai keadaan ekonomi negara yang dilihat bakal berdepan situasi kurang baik pada tahun hadapan, beliau menjelaskan, Malaysia mampu mengatasi keadaan tersebut dan pernah berjaya sebelum ini.
"Kenapa berjaya kerana kita ada pasukan yang baik, fokus kepada memulihkan ekonomi. Dahulu kita ada orang yang betul-betul menjaga duit dengan baik.
"Sebab itu pilihan rakyat kali ini adalah paling penting, seperti Presiden UMNO kata ‘the mother of all election’ adalah benar. Kena pilih orang yang betul-betul bagus, berintegriti, pandai dan berjiwa rakyat. Kalau ini tidak berlaku maka keadaan akan jadi lebih buruk lagi,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca