PEMBUBARAN Parlimen sudah muktamad dan kini hanya menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan tarikh keramat Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal menyaksikan rakyat kembali melaksanakan hak memilih kepimpinan baharu negara.
Umum pasti maklum, sudah tiga kali baton jawatan Perdana Menteri bertukar tangan dalam tempoh sepenggal.
Mengimbas kembali PRU14, Pakatan Harapan (PH) mencipta sejarah apabila berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah mentadbir negara lebih 60 tahun.
Namun usia kerajaan PH yang ketika itu diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri hanya bertahan 22 bulan. Ia ditumbangkan pada 22 Februari 2020 hasil Langkah Sheraton yang menyaksikan Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan.
Bagaimanapun pada 16 Ogos 2021, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan selepas hilang majoriti sokongan ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan juga tidak mendapat sokongan parti politik.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kemudian mengangkat sumpah selaku Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 21 Ogos 2021 sehinggalah Parlimen dibubarkan pada Isnin.
Sedihnya, tidak hanya rakyat, malah Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan kekecewaan dengan perkembangan politik semasa dan baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.
Hakikatnya, dengan pelaksanaan PRU15 pun belum tentu boleh menjamin kestabilan selagi wujudnya ahli politik rakus yang memanipulasi keadaan untuk kepentingan diri dan parti masing-masing.
"Sebenarnya ahli politik yang sengaja menjadikan keadaan tenat sehingga Parlimen terpaksa dibubarkan pada ketika yang tidak sepatutnya, dengan ramalan banjir besar yang akan melanda negara dalam waktu terdekat ini, selain proses pemulihan negara yang perlu diberi perhatian kerajaan yang memerintah.
"Dengan masih adanya golongan ahli politik ini di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas PRU15, keadaan politik negara tidak terjamin akan menjadi stabil,” kata Felo Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong kepada Sinar Premium.
Menyentuh tentang ahli politik rakus yang membelakangkan kepentingan rakyat, Kok Seong menegaskan inilah masanya rakyat menolak golongan ahli politik berkenaan.
Dengan penolakan itu katanya, baharulah negara dapat diperintah oleh kerajaan yang terdiri daripada pemimpin yang boleh diharapkan untuk menjaga kebajikan rakyat dan lain-lainnya.
Tambah beliau, walaupun mandat dipulangkan kepada rakyat, tidak dapat dinafikan kemungkinan ramai yang tidak akan keluar mengundi.
"Ini kerana rakyat rata-ratanya bukan sahaja tidak lagi mempercayai ahli politik yang telah menyelewengkan mandat mereka malah rakyat kini amat benci kepada ahli politik yang sanggup mengkhianati sistem demokrasi itu sendiri, sehingga berlakunya ketidakstabilan politik yang sangat tenat," tambahnya.
Kok Seong berkata, selain tidak menjamin kestabilan politik, PRU15 juga belum pasti dapat menampilkan satu parti politik yang dominan untuk membentuk kerajaan secara tunggal, melainkan melalui gabungan sebilangan parti sebagai satu gerakan kebangsaan.
"Apabila ini berlaku, kekhuatiran rakyat bahawa keadaan politik negara akan kembali tidak stabil bukan sahaja berasas walaupun sudah ada perundangan yang melarang ahli politik bertukar parti politik dengan sewenang-wenangnya, tetapi ianya didapati tidak seutuh itu untuk tujuan pembentukan kerajaan.
"Kemungkinan politik negara kembali tenat tetap ada, yakni tidak dapat disingkirkan sepenuhnya,” katanya.
Bagi Penolong Profesor Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, naratif ketidakstabilan ini direka untuk memberi justifikasi bahawa pilihan raya patut diadakan.
"Realitinya, ada jaminan dari PH untuk tidak mengganggu gugat kedudukan kerajaan yang ada pada ketika ini. Untuk itu, tiada jaminan bahawa kerajaan yang akan datang akan juga stabil.
"Prasyarat kestabilan adalah politik yang matang, bukannya berapa jumlah kerusi yang ada pada kerajaan yang mentadbir,” katanya.
Ditanya adakah beliau mempunyai prediksi parti mana yang mungkin menyerlah dalam saingan PRU15, Tunku Mohar berpandangan, kemungkinan strategi UMNO membubarkan Parlimen ini memakan diri jika rakyat marah dan mengundi parti selain UMNO.
"Dalam keadaan semasa, ada kemungkinan keputusan PRU15 nanti menghasilkan Parlimen tergantung di mana tiada satu gabungan pun yang mendapat majoriti yang mudah.
"Jika ini terjadi, pembentukan gabungan selepas PRU15 yang akan menentukan komposisi parti yang mentadbir,” katanya sambil menambah pembubaran Parlimen pada ketika negara sedang bersiap menghadapi musim banjir adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab.
Klik di sini untuk terus membaca