SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) paling ideal adalah 11 hari dengan mengambil kira ia wajar dipercepatkan susulan Malaysia diramal memasuki Monsun Timur Laut bermula pertengahan November ini.
Tempoh 11 hari itu juga dilihat berpadanan untuk semua parti bertanding merancang kempen masing-masing dalam keadaan semua pihak perlu berjaga-jaga kemungkinan berlakunya banjir.
Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga perlu memastikan tarikh pengundian ditetapkan sebelum pertengahan bulan depan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, hak pengundi dan parti bertanding perlu diambil kira dalam penetapan tarikh penting itu nanti.
"Walaupun ‘kesempitan waktu’, tidak wajar untuk SPR terlalu memendekkan tempoh berkempen.
"Semangat demokrasi tetap perlu disuburkan dengan memberi ruang secukupnya kepada parti politik dan calon-calon bertanding untuk berkempen.
"Pada pandangan saya, jika tidak mampu memanjangkan tempoh berkempen sehingga dua minggu, SPR wajar mencari jalan untuk sekurang-kurangnya memberi masa selama 11 hari,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah perlu tempoh kempen dipendekkan dan bilakah waktu ideal untuk PRU15 diadakan.
"Hari Sabtu atau hujung minggu adalah hari paling ramai orang bercuti kecuali sebahagian pekerja dalam sektor swasta.
"Melihat pelbagai faktor yang ada, mungkin 12 November adalah tarikh agak sesuai untuk ditetapkan sebagai hari pembuangan undi PRU15,” katanya.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15 selepas memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Pada PRU14 , SPR menetapkan tempoh kempen selama 11 hari.
Tempoh kempen PRU
PRU14 (2018) - 11 hari
PRU13 (2013) - 15 hari
PRU12 (2008) - 13 hari
PRU11 (2004) - 8 hari
PRU10 (1999) - 9 hari
Klik di sini untuk terus membaca