SHAH ALAM - Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan pengundi berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada hari cuti, sama ada Sabtu atau Ahad. Bagaimanapun, terdapat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan pengundi berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada hari cuti, sama ada Sabtu atau Ahad.

Bagaimanapun, terdapat juga pengundi yang berpandangan hari bekerja lebih sesuai kerana mereka akan diberikan cuti khas atau kerajaan mungkin akan mengumumkan hari mengundi sebagai cuti umum, selain tidak mengganggu cuti hujung minggu bersama keluarga.

Penjawat awam, Ahmad Izzat Abd Halim, 26, berkata, hari Sabtu dilihat sesuai untuk mengadakan pengundian pilihan raya kerana ia memudahkan urusan semua pihak terutama golongan perantau yang mengambil masa perjalanan lama untuk pulang mengundi di kampung halaman.

Ahmad Izzat

"Pada pendapat saya, hari mengundi paling sesuai adalah pada hari Sabtu.

"Bukan itu sahaja, pengundi dalam kalangan perantau tidak perlu lagi untuk memohon cuti tambahan kerana pilihan raya berlangsung pada hari hujung minggu,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Seorang lagi penjawat awam, Muhamad Ameer Asyraff A Raman, 28, turut bersetuju dengan pandangan tersebut kerana rakyat perlu diberikan kelonggaran supaya dapat menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Muhamad Ameer

"Sebagai rakyat yang menunaikan tanggungjawab untuk memilih melalui pilihan raya, adalah lebih baik jika ia dapat diadakan pada hari Sabtu bagi memudahkan seluruh rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.

Peratusan mengundi

Sementara itu, jurugambar, Muhammad Azam Abdullah, 28, pula berkata, hari mengundi perlu ditetapkan pada hujung minggu bagi meningkatkan peratusan pengundi untuk keluar mengundi pada PRU15.

Muhammad Azam

"Pemilihan hari mengundi perlu ditetapkan seawal mungkin untuk memberi peluang dan ruang kepada rakyat merancang jadual mereka terutama melibatkan pengundi luar.

"Mengambil kira demografi semasa yang rata-rata akan melibatkan undi 18 yang baru sahaja mendaftar, kebanyakan terdiri daripada golongan belia dan mahasiswa, maka hujung minggu adalah pilihan terbaik bagi meningkatkan peratusan keluar mengundi,” jelasnya.

Bagaimanapun, pengurus jualan, Fetty Maria A Raman, 39, berpendapat, hari mengundi sesuai diadakan pada hari bekerja bagi membolehkan pekerja-pekerja mendapat cuti pelepasan daripada majikan.

Fetty Maria

"Kebanyakan pengundi melibatkan golongan kakitangan awam dan swasta. Jadi, pelepasan untuk pergi mengundi wajib diberikan oleh pihak majikan.

Pendapat sama turut dikongsi pegawai komunikasi korporat, Muhammad Amirul Helmy Yahya, 27, yang mengakui adalah lebih mudah untuk rakyat keluar mengundi pada hari bekerja kerana dibimbangkan akan mengganggu perancangan peribadi mereka jika PRU15 diadakan pada hujung minggu.

Muhammad Amirul

"Kebanyakan mereka sudah tentu mempunyai rancangan penting bersama keluarga dan rakan-rakan pada hujung minggu.

"Jadi, saya fikir rakyat Malaysia perlu diberikan kesempatan untuk mengundi pada waktu bekerja kerana ia memudahkan dan menggalakkan mereka untuk keluar mengundi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca