PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) empat tahun lalu dianggap sebagai paling cemas dan dramatik. Hari ini, dengan lebih 21 juta pengundi layak untuk mengundi bagi menentukan mandat baharu ketika PRU15 berlangsung, ciri-ciri unik dan dramatik bakal muncul.
Satu pusingan debaran sudah pun berakhir pada Isnin. Debaran seterusnya adalah mengenai tarikh PRU15 terutama tarikh penamaan calon dan hari mengundi.
Di sebalik penantian tarikh itu, PRU15 dijadual berlangsung menjelang pertengahan bulan depan bakal memperlihatkan beberapa kelainan. Apa pun PRU perlu diadakan dalam 60 hari, sebelum 10 Disember.
Salah satu keunikan, PRU15 akan menyaksikan pelaksanaan Undi 18 di peringkat kebangsaan sejak ia digubal pada Julai 2019. Ini kali pertama ia akan dikuatkuasakan di peringkat Pusat.
Sebelum ini, ia hanya dilaksanakan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu. Malah, PRU15 juga akan menyaksikan ruang bagi mereka yang berusia 18 tahun untuk bertanding.
Malah, PRU15 akan memperlihatkan kesan pendaftaran pemilih secara automatik – jumlah pemilih meningkat lebih 51 peratus. PRU15 terdiri daripada lebih 21 juta pengundi berbanding PRU14.
Pada Julai lalu, Parlimen telah meluluskan undang-undang melarang antilompat parti, secara langsung mengakhiri penantian lebih tiga dekad.
Buat masa sekarang, meskipun undang-undang itu tidak lengkap dan sempurna sepenuhnya, sekurang-kurangnya boleh dilaksanakan di peringkat nasional ketika peringkat negeri belum memulakan langkah ke arah itu.
Malah, PRU15 bakal dicorakkan dengan kehadiran pelbagai gabungan, dalam jumlah yang banyak. PRU14 memperlihatkan dua gabungan utama iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Senarai itu bakal ditambah dengan kemunculan Perikatan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah dan Gerakan Tanah Air.
Pada masa yang sama, empat negeri kemungkinan besar tidak termasuk dalam persaingan PRU15 iaitu Sarawak, Sabah, Johor dan Melaka. Bagaimanapun, DUN keempat-empat negeri itu boleh dibubar jika mahu, tetapi peluang itu terlalu tipis.
Malah, enam negeri yang ditadbir oleh PH dan PAS dilaporkan tidak akan mengikut langkah pusat membubarkan DUN masing-masing.
Ini juga julung kali lima PRU menggunakan bilangan kerusi Parlimen yang sama dan DUN bagi negeri-negeri di Semenanjung.
PRU15 juga merupakan pilihan raya pertama susulan perubahan kerajaan persekutuan sebanyak tiga kali. Dalam pada itu, PRU mungkin mencecah RM1 bilion, berbanding RM1 juta pada tahun 1959.
Di sebalik segala keunikan dan kelainan itu, negara juga tidak pernah menyaksikan Istana Negara mengeluarkan kenyataan media mengatakan Yang di-Pertuan Agong kecewa susulan suasana politik semasa dan tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri bagi memulangkan mandat rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.
Bagaimanapun baginda bertitah agar SPR mengadakan PRU15 dalam tempoh terdekat.
Apakah kemungkinan ada ruang jika pengundi terpaksa mengharungi banjir besar sebagaimana disaksikan pada tahun lepas dan 2013?
Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk menangguhkan PRU15 ke satu tarikh yang lebih bersesuaian jika berlaku banjir semasa proses pengundian.
Perkara sama pernah dikuatkuasakan dengan menangguhkan pelaksanaan pilihan raya kecil susulan krisis kesihatan yang melanda negara walaupun SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting pilihan raya.
Masih ada ruang untuk mengelakkan pilihan raya waktu banjir. Kalau kita melihat kepada situasi semasa Covid-19, ada beberapa pilihan raya kecil walaupun SPR telah menetapkan tarikh, tetapi atas perkenan baginda, ia ditangguhkan kerana krisis kesihatan.
Kalau kita mengambil terjemahan kepada kemungkinan tersebut pada hari ini, jika SPR menetapkan tarikh pilihan raya katakan pada awal bulan November, kemudian musibah banjir berlaku dan impaknya tidak dapat dielakkan.
Pada tahun 2020, baginda berkenan mengisytiharkan darurat terhadap kerusi Parlimen Gerik dan Batu Sapi, Perak dan DUN Bugaya, Sabah dan Melor, Kelantan berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi memasyhurkan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(No 2) 2020 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 3) 2020 di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri ketika itu berkata, jemaah menteri berpandangan kedua-dua pilihan raya kecil terbabit perlu dielakkan atas faktor ancaman kesihatan awam, ekonomi dan ketenteraman awam selepas mengambil iktibar penularan Covid-19.
Sudah ada kes teladan dalam menjamin keselesaan dan keselamatan semua pihak pemegang taruh, sekali gus memenuhi prinsip fundamental sistem demokrasi dan demokratik. Drama kekal berterusan!
* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir
Klik di sini untuk terus membaca