OGOS lalu, ketika saya kalut membuka dompet untuk mengeluarkan wang bagi membayar harga beberapa naskhah buku, seorang kawan yang bersama saya secara sinis berkata, "Sekarang ni zaman cashless, bos. Yang guna duit tunai ni orang zaman purba saja.”
Dua tiga minggu lepas ketika hendak mengisi minyak di sebuah stesen, saya ternampak dia berdiri di tepi salah satu pam, kelihatan menggelabah.
Sebaik ternampak saya, dia meluru datang.
"Kad saya ada masalah. Cip rosak agaknya, tak boleh proses. Bagi saya pinjam sekejap lima enam puluh ringgit. Nak isi minyak,” katanya.
"Tak ada tunai. Sekarang ni zaman cashless, bos,” saya menyakat. Tetapi kerana saya ini orang budiman, saya hulurkan juga jumlah yang dia minta.
Saya sempat jeling sekejap duit itu. Saya tahu, perginya tidak akan kembali...
Sebenarnya bagi saya cashless bukan benda baharu.
Zaman bekerja sebagai mat despatch dahulu ia menjadi sebahagian daripada hidup saya.
Hanya ejaannya berbeza. Ia ditulis ‘cash less’. Maksudnya pula bukan tanpa tunai, tetapi kurang tunai.
Itulah yang saya alami pada pertengahan bulan. Kalau hujung bulan terus ‘no cash’.
Sekarang ini setelah cashless menjadi budaya, saya turut mengamalkannya. Tetapi sebagai persediaan, saya bawa juga sedikit wang tunai.
Tidak seperti sebahagian orang yang bergantung pada kad dan perbankan dalam talian semata-mata sehingga ada yang tidak pernah menyentuh not ringgit atau syiling selama berminggu-minggu, berbulan-bulan.
Cara hidup tanpa tunai ini bermula pada awal 1990-an apabila penggunaan perbankan elektronik kian meluas.
Tetapi penggunaannya ketika itu sangat terbatas. Hanya lebih sedekad kemudian barulah berkembang seiring dengan perkembangan teknologi internet.
Ketika itu muncullah pengantara-pengantara bayaran seperti Paypal dan Apple Pay mengiringi kad-kad elektronik dan perbankan dalam talian.
Peningkatan urusan tanpa tunai secara langsung menyebabkan pengedaran wang fizikal (not dan syiling) berkurangan sedikit demi sedikit.
Menurut laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi tahun 2019, jumlah mata wang fizikal dalam edaran di seluruh dunia dianggarkan bernilai AS$5.2 trilion (RM24.2 trilion) manakala Boston Consulting Group pula menganggarkan AS$27.5 trilion (RM128.4 trilion) lagi beredar dalam bentuk elektronik dan digital.
Demikianlah besar perbezaannya dan jurang itu terus melebar.
Bukan mustahil suatu masa nanti wang kertas dan syiling hanya boleh dilihat di muzium.
Memang diakui berurusan tanpa tunai banyak manfaatnya. Contohnya, ketika era pandemik Covid-19 tempoh hari, ia membantu kita mengurangkan risiko bersentuhan.
‘Tanpa tunai’ membolehkan kita bebas ke mana-mana tanpa risau wang kita dirompak.
Jika dompet tercicir sekalipun, kita tidaklah perlu menggelabah sangat. Kalau setakat kad bank sahaja yang ada di dalamnya, kita boleh minta pihak berkenaan nyah aktifkan. Kawan rakan hendak meminjam pun, susahlah sedikit.
Memanglah akan ada yang bagi nombor akaun supaya ‘tolong transfer kejap’, namun risiko untuk memberi pinjam itu tidaklah sebesar ketika membawa wang tunai.
Bagi yang berniaga, transaksi tanpa tunai menjimatkan banyak perkara. Tidak perlu membilang duit, tidak perlu sorok-sorokkan, tidak perlu membawanya ke bank untuk disimpan dan kemudian pergi lagi untuk mengeluarkannya.
Kalau menggunakan wang tunai kemudian mengharapkan daya ingatan semula jadi untuk mengingati apa yang dibeli dua hari lepas, Albert Einstein pun belum tentu mampu.
Itu kebaikannya. Yang buruk pun banyak. Antaranya, ia menyukarkan kita mengawal nafsu. Nampak yang itu hendak, nampak yang ini teringin.
Maklumlah ketika membayar kita tidak terasa mengeluarkan wang yang banyak. Lain jika bayar secara tunai. Hendak hulurkan lima ratus pun terketar-ketar.
Bekalan elektrik terputus, tiada akses internet atau akses tidak lancar, terminal pembaca kad rosak, sistem tergendala, peranti rosak atau hilang, adalah keburukan lain yang terdapat dalam urusan tanpa tunai.
Selain itu ia menyulitkan kelompok tertentu seperti golongan berusia lanjut dan mereka yang tidak celik teknologi. Yang lebih buruk lagi, ia mendedahkan bukan sahaja butiran akaun kita, tetapi juga data peribadi di ruang siber yang berisiko diceroboh oleh penjenayah-penjenayah licik sebagaimana banyak terjadi sekarang.
Namun itulah hakikat hidup. Kebaikan dan keburukan sentiasa datang bersama. Pandai-pandailah menilai dan memilih. Walau apa pun ingat satu perkara: biar hidup tanpa tunai tapi jangan tak tunaikan apa yang ALLAH suruh. Berdosa tau. #dush!
*Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca