HARI bencana dunia boleh bermula apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggunakan sebuah beg bola sepak nuklear yang dibawa oleh seorang anggota tentera AS dengan mengikutnya ke mana sahaja beliau pergi sehingga ke luar negara.... Klik di sini untuk terus membaca

HARI bencana dunia boleh bermula apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menggunakan sebuah beg bola sepak nuklear yang dibawa oleh seorang anggota tentera AS dengan mengikutnya ke mana sahaja beliau pergi sehingga ke luar negara.

Beg hitam itu kini menjadi semakin terkenal selepas media Barat mendakwa Rusia kemungkinan akan melancarkan serangan nuklear selepas ia menyerang Ukraine sejak 24 Februari lalu dan kini sudah berperang hampir lapan bulan di negara tersebut.

Satu-satunya petunjuk tentang kepentingan beg tersebut adalah ia tidak pernah ditinggalkan daripada seorang anggota tentera AS dan sentiasa berada di sisinya yang mengikut setiap langkah serta perjalanan Biden.

Sebagai contoh, apabila Biden pergi ke Puerto Rico, Florida, New York, New Jersey dan Maryland pada November ini beliau akan pergi bersamanya dengan beg bola sepak nuklearnya, menurut AFP.

Bagaimanapun, di dalam beg tersebut terdapat kod dan rancangan rahsia yang membolehkan seorang Presiden AS membenarkan serangan nuklear dilakukan oleh negara 'Uncle Sam' itu dan memilih daripada sejenis menu sasarannya di mana-mana sahaja di dunia.

Di Rumah Putih, Washington, Biden mempunyai Bilik Situasi yang selamat yang mana beliau boleh mengarahkan perang dan berkomunikasi dengan pemimpin-pemimpin tentera dari negaranya sendiri.

Perang Ukraine dibimbangi akan melibatkan penggunaan senjata nuklear. - Foto AFP

Baru-baru ini Biden berkata bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin mengancam dunia dengan menyatakan 'hari bencana' akan berlaku apabila tentera negera tersebut menggunakan senjata nuklear ketika berperang dengan Ukraine.

Sehubungan itu, jika AS melakukan tindakan balas, ia boleh dilancarkan dari tempat duduk belakang limosin Beast atau di dalam pesawat Air Force One atau kubu rahsia atau di mana sahaja Biden berada bersama dengan beg bola sepak nuklear.

Orang ramai telah melihat sekilas tentang beg bola sepak nuklear itu yang secara rasmi dikenali sebagai Beg Kecemasan Presiden sejak tersiarnya satu gambar menunjukkan ia dibawa di belakang Presiden AS ke-35, John F. Kennedy di rumah keluarganya di tepi pantai di Pelabuhan Hyannis, Massachusetts pada tahun 1963.

Seorang lagi anggota tentera dilihat mengikuti Presiden AS ke-40, Ronald Reagan pergi ke Dataran Merah, Moscow semasa sidang kemuncaknya dengan Setiausaha Agung Parti Komunis Rusia, ketika itu, Mikhail Gorbachev pada tahun 1988.

‘KOD EMAS’

Elemen penting lain yang boleh mencetuskan perang nuklear ialah sekeping kad bersaiz kad kredit yang dibawa oleh Presiden AS pada setiap masa dipanggil sebagai biskut yang mengandungi kod dikenali sebagai Kod Emas.

Melalui kad tersebut, Presiden boleh membuat arahan serangan nuklear.

Presiden perlu mengenal pasti dirinya dengan menggunakan kod biskut dan beliau boleh dan mungkin akan membincangkan pilihan dengan pihak atasan tentera.

Para penasihat tersebut kemudiannya dikehendaki menghantar serta melaksanakan perintah yang membenarkan penggunaan nuklear.

Pada 19 November 2021 merupakan hari yang bersejarah kerana Biden menjalani bius bagi membolehkannya menjalani prosedur kolonoskopi menyebabkan Naib Presiden AS, Kamala Harris menjadi wanita Amerika pertama yang berkhidmat sebagai ketua komander negara tersebut.

Sebelum ini, kumpulan penyokong Presiden AS ke-45, Donald Trump telah menyerang bangunan Capitol iaitu tempat wakil-wakil rakyat AS bersidang pada 6 Januari 2021 sehingga menyebabkan Naib Presidennya, Mike Pence terpaksa melarikan diri ke tempat selamat bersama seorang pembantu tentera yang memegang satu lagi beg sokongan bola sepak nuklear yang juga sentiasa mengiringi pengganti Presiden.

Bola sepak nuklear itu telah dicipta oleh Kapten Edward 'Ned' Beach, Jr. iaitu seorang pegawai kapal selam yang berkhidmat sebagai pembantu tentera laut kepada Dwight Eisenhower semasa beliau menjadi Presiden AS ke-34 dari tahun 1953 hingga 1961, menurut artikel Newsweek pada tahun 1991.

Beg itu telah diserahkan kepada setiap Presiden sejak Eisenhower dan penggantinya ketika itu, John F. Kennedy telah diberi taklimat mengenai tanggungjawab nuklear yang perlu dipikulnya.

Menurut agensi berita Bloomberg, jika Presiden AS memutuskan untuk membenarkan serangan nuklear dilakukan, seorang pegawai kanan tentera membaca dengan kuat kod cabaran yang mungkin merupakan beberapa huruf daripada abjad tentera.

Ia dikenali sebagai bola sepak nuklear kerana menurut laporan agensi berita AP pada tahun 2005 yang menyatakan nama tersebut muncul sebagai tindak balas kepada pelan perang nuklear pertama atau Pelan Operasi Bersepadu Tunggal (SIOP) yang dikenali dengan nama nama kod 'dropkick'.

Walau apa pun, beg bola sepak nuklear itu kini semakin menjadi tumpuan ekoran desas-desus Rusia akan melancarkan perang nuklear di Ukraine. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca