SHAH ALAM - Terdapat lima faktor penting yang membawa kepada keperluan tiga kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dan enggan mengadakannya berserentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu berkata, pelaksanaan PRN berasingan dijangka akan memberi kelebihan kepada PH, sekali pun keputusan PRU15 berkemungkinan tidak memihak kepada koalisi itu berbanding BN atau Perikatan Nasional (PN).
Katanya, faktor pertama keputusan penangguhan PRN di tiga negeri dikuasai PH akan memanfaatkan koalisi itu adalah terdapat kemungkinan besar PH di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang akan meraih undi simpati daripada pengundi negeri itu sekiranya kerajaan Pusat dikuasai UMNO-BN.
"Kalau PH tidak menang PRU15, ketiga-tiga negeri ditadbir mungkin akan mendapat undi simpati rakyat pada PRN yang diadakan tahun hadapan.
"Rakyat Malaysia mahu amalan semak dan imbang dalam sistem demokrasi disuburkan. Oleh itu, mereka tidak mahu negeri-negeri dikuasai pembangkang akan turut dikuasai parti yang menguasai Putrajaya.
"Teori pemusatan kuasa kepada suatu parti akhirnya akan mengulangi kebobrokan pentadbiran kerajaan BN sebelum PRU14 dan merugikan rakyat," ujar bekas Ahli Jawatankuasa CEC DAP itu kepada Sinar Premium pada Rabu.
Tambah Ronnie Liu, faktor kedua mengapa PH perlu menangguhkan PRN adalah disebabkan naratif pelaksanaan PRU15 pada musim banjir bakal menjejaskan rakyat, telah memberi kesan besar kepada majoriti pengundi negara ini.
Ujarnya, PH akan dituduh mereka-reka cerita untuk mengelakkan PRN diadakan sekiranya koalisi itu membuat keputusan pusingan U dengan kembali membubarkan DUN berserentak dengan Parlimen tahun ini.
"Kalau PH kemudiannya buat pusingan U, di mana logiknya alasan PH enggan bubar DUN sebelum itu? Rakyat akan nampak kita mahu mereka-reka cerita," katanya.
Ronnie Liu turut menganggap sebarang keputusan pusingan U daripada PH dalam soal pembubaran DUN juga seolah-olah merendah-rendahkan kebijaksanaan Sultan Selangor selain cuba mengulangi tindakan politik yang bakal mengecewakan Raja-Raja Melayu di tiga negeri dikuasai koalisi itu.
"Kita memahami kekecewaan Yang di-Pertuan Agong disebabkan pelaksanaan PRU15 pada waktu ancaman banjir adalah tidak sesuai. Tetapi kalau kerajaan negeri PH mohon bubar DUN juga, tidakkah keputusan itu akan mengecewakan Sultan-Sultan negeri?
"Faktor keempat, dengan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shaari sudah menghadap Sultan Selangor dan menerima perkenan untuk meneruskan pentadbiran negeri sehingga tahun hadapan, sebarang keputusan pusingan U daripada PH Selangor pastinya akan merendah-rendahkan kebijaksanaan baginda," tegasnya.
Untuk faktor kelima, Ronnie Liu turut berkeyakinan langkah pengasingan PRN dan PRU sebenarnya mampu memberi impak positif kepada pelaksanaan sistem demokrasi negara yang subur.
"Kalau ikut demokrasi, walaupun langkah mengasingkan pelaksanaan PRN dan PRU akan melecehkan rakyat dan menyebabkan kos pelaksanaan pilihan raya lebih mahal, namun secara positifnya ia menguntungkan rakyat untuk jangka masa panjang.
"Dengan langkah itu, semua parti akan berasa lebih tertekan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat susulan tempoh pilihan raya semakin pendek di antara PRU dan PRN.
"Mana-mana parti yang menang PRU pastinya tidak boleh bersikap sombong dan angkuh terhadap rakyat sekiranya mereka tidak mahu dihukum dalam PRN kelak," kata Liu.
Bagaimanapun, Timbalan Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Hanizah Mohamed Talha memberi pandangan berbeza apabila beliau menyatakan tidak bersetuju sekiranya pelaksanaan PRU dan PRN diasingkan.
Tegasnya, PRN dan PRU secara logik harus dilaksanakan serentak susulan pengundi di negeri yang tidak diadakan PRN, akan tetap keluar mengundi untuk memilih ahli Parlimen baharu walau apa jua alasan dikemukakan parti pembangkang.
"Sebagai contoh, PH dan Pas menggunakan alasan ancaman banjir hujung tahun untuk menangguhkan keputusan pembubaran DUN di enam negeri ditadbir mereka.
"Hakikatnya, rakyat enam negeri berkenaan tetap perlu keluar mengundi untuk memilih ahli Parlimen pada PRU15. Daripada kita fokus pemilihan pemimpin peringkat Pusat sahaja, mengapa tidak adakan pilihan raya 2 dalam 1?
"Buat apa enam negeri ini hendak susahkan rakyat, lebih-lebih lagi ada pengundi luar yang kena berbelanja untuk pulang ke kampung halaman demi menunaikan tanggungjawab mengundi? Saya memang tidak setuju pengasingan PRN dan PRU dilaksanakan," kata ADUN Lembah Jaya, Selangor itu.
Klik di sini untuk terus membaca