SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tetap mengharapkan dapat menyertai koalisi Pakatan Harapan (PH) bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) biarpun sehingga kini hasrat itu masih belum mendapat kata putus kepimpinan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tetap mengharapkan dapat menyertai koalisi Pakatan Harapan (PH) bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) biarpun sehingga kini hasrat itu masih belum mendapat kata putus kepimpinan PH.

Ketua Penerangan Muda, Luqman Long berkata, setakat ini komunikasi dan perbincangan masih berterusan namun pada masa sama beliau berharap ahli Muda dan orang ramai dapat memberi ruang dan masa kepada Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan.

"Ini bukan hal yang kecil dan remeh (menyertai gabungan politik). Jadi kena beri masa dan ruang untuk mereka bincang sebelum capai keputusan.

"Bagi Muda, kami mahu bergerak bersama mereka yang berkongsi nilai (shared values) yang sama, meraikan kepelbagaian agama dan bangsa dalam pimpinan serta mengangkat suara orang muda. Perkara ini dikongsi sama dengan PH. Ini sangat jelas,” ujar Luqman kepada Sinar Premium pada Rabu.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini mengumumkan hasrat parti itu untuk menyertai PH secara rasmi dalam menghadapi persaingan PRU15.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menegaskan rundingan masih berjalan dan terdapat beberapa kemajuan yang dicapai.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil pula berkata, perkara itu hanya akan diputuskan seawal Rabu oleh Majlis Presiden PH.

Syed Saddiq sebelum ini mengumumkan Muda mahu bertanding di 15 kerusi Parlimen.

Kerusi disasarkan Muda dalam PRU15 adalah kerusi milik BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Muar.

Luqman percaya koalisi parti itu dan PH dapat menjadi satu entiti yang boleh memberi tawaran terbaik kepada rakyat.

LUQMAN

Ditanya apakah langkah Muda sekiranya PH enggan menerima partinya, Luqman menjelaskan kemungkinan itu perlu ditolak ke tepi dahulu melainkan memberikan fokus ke arah mencapai matlamat PRU15.

Mengulas lanjut, Luqman berkata, sebagai persediaan menghadapi PRU15 yang bakal diadakan dalam masa terdekat, Muda telah menubuhkan Jawatankuasa Pilihanraya yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya.

"Antara hal yang telah dipersetujui adalah Muda telah membuka borang permohonan untuk ahli yang berminat menjadi calon.

"Kita telah terima permohonan dari seluruh negara, dan Jawatankuasa akan semak setiap permohonan.

"Tetapi pada masa sama, Muda juga bersiap sedia dengan krisis banjir yang akan menimpa rakyat Malaysia. Kita akan lancarkan Skuad Banjir dalam masa terdekat. Mobilisasi Muda untuk banjir sudah bergerak di Selangor, Kedah dan Johor,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Muda menganggap pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah satu petanda bahawa kerajaan tidak menghiraukan nasib rakyat.

"Musim banjir bukan akan berlaku, tetapi ia sudah berlaku di lebih 44 kawasan seluruh negara sejak tujuh hari lalu. Bayangkan apabila betul-betul tiba musim banjir, takkan kita mahu ada pilihan raya lagi pada tempoh masa yang sama?

"Semua parti politik tidak kira kerajaan ataupun pembangkang, sepatutnya pada masa kini, perlu fokus membantu rakyat menghadapi banjir yang akan datang,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu jumlah pengundi berkemungkinan akan terjejas akibat Monsun Timur Laut yang dijangka bermula pertengahan November depan.

"Jika keputusan mengatakan bahawa hari mengundi akan jatuh pada hari yang mana banjir semakin menjadi-jadi, sememangnya peratusan keluar mengundi, lagi-lagi pengundi atas pagar, akan jatuh.

"Ia akan menjadi lebih mustahil untuk semua pihak, dalam menentukan siapa dalam kalangan pengundi yang sanggup meredah banjir untuk keluar mengundi.

"Namun Muda tetap akan berusaha untuk mengukuhkan pasukan kami untuk membantu rakyat Malaysia dalam menghadapi banjir, tanpa mengira waktu, hari, dan lokasi,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca