SHAH ALAM - Sokongan parti pilihan ibu bapa menjadi panduan kepada pengundi 18 tahun yang layak mengundi secara automatik pada Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).
Ahmad Syaffi Mohd Azam,18 dari Taman Aman, Anak Bukit, dekat sini mengakui ibu bapanya menjadi panduan untuk mengundi buat kali pertama.
"Saya mungkin ikut pilihan keluarga untuk mengundi parti mana pada PRU15. Lagipun bukan semua parti saya kenal hanya UMNO dan Pas," katanya kepada Sinar Harian.
Dia turut didedahkan oleh kepentingan mengundi semasa kunjungan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang datang ke pusat pengajiannya di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Perkara sama dikongsi oleh Muhammad Adam Azihan, 18 dari Behor Temak, Perlis yang sudah didedahkan oleh parti pilihan bapanya kerana sering mengikuti ceramah politik sebelum ini.
"Saya sudah biasa mengikuti program anjuran parti politik. Malah parti ini juga mesra dengan orang muda seperti saya dan mungkin saya akan undi parti ini pada PRU15," cerita Muhammad Adam.
**media[1942664]*Bagi Ainun Mardhiah Rosli,18 yang kini belajar di Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra, dia sudah didedahkan dengan kepentingan pilihan raya oleh guru subjek Pengajian Am di sekolah tersebut.
"Cikgu baru sahaja maklumkan tentang perkara ini dan kami sudah boleh mengundi. Saya masih belum pasti untuk undi parti mana dan mungkin akan tanya pendapat ibu bapa dahulu," jelas Ainun.
Nur Dini Yamna Abdul Ghani,18 yang merupakan rakan sekelas Ainun pula berkata, dia sependapat dengan rakannya itu dan akan mengundi pemimpin yang amanah serta menepati janji.
Menurutnya, pemimpin muda juga wajar diketengahkan kerana memahami kemahuan golongan sepertinya selain perlu seiring dengan perkembangan semasa.
Namun maklumbalas berbeza diberikan oleh Fazil Hussin,18 dari Kampung Tandop, kubang Rotan yang tidak mengikuti perkembangan PRU15.
"Saya tidak tahu. Difahamkan sudah boleh mengundi tapi tidak fikir lagi perkara ini. Saya bekerja sebagai nelayan fikir pasal kerja dan cari pendapatan dahulu," kata Fazil yang ditemui di Pasar Nelayan Kubang Rotan, dekat sini.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapat reaksi yang pelbagai daripada pengundi 18 tahun.
"Saya tahu pasal perkara Undi18 ini dalam media sosial. Saya akan pilih pemimpin yang amanah, baik dan paling penting tidak salah guna kuasa," Anis Aleeya Abu Bakar.
"Saya tahu perkara ini daripada internet dan berita di media sosial. Setiap orang ada pilihan masing-masing. Bagi saya, saya akan pilih pemimpin yang jujur, dan tidak terlibat dengan rasuah," kata Eiryana Qairyanie Mohd Faizal pula.
Bagi Siti Maldiana Jhabir, dia masih belum memutuskan siapa yang akan dipilih. "Tetapi kriteria calon itu mestilah seseorang yang boleh kita percaya dan fikir tentang (kebajikan) rakyat."
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Isnin lalu bagi membuka laluan kepada PRU15 yang dijangka diadakan selewat-lewatnya pertengahan November ini.
Pengundi muda zaman kini lebih terbuka - Penganalisis
Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan pola pengundian bagi pengundi muda kini tidak semestinya dipengaruhi oleh faktor ibu bapa seperti suatu ketika dahulu.
Jelasnya, ia disebabkan keterbukaan dan kemandirian generasi itu dalam menentukan hala tuju kehidupan mereka tanpa ingin ditentukan oleh mana-mana pihak.
"Saya melihat kebolehpercayaan mana-mana parti politik dalam membawa kestabilan negara adalah antara yang mempengaruhi para pengundi muda terutama yang berumur 18 tahun dalam membuat penentuan pada PRU15 kali ini.
"Pengundi muda kini terdiri daripada dua kumpulan yang masing-masing mempunyai gaya fikir yang berbeza terhadap falsafah pilihan raya itu sendiri.
"Pertama, mereka yang menyambung pelajaran di peringkat pengajian tinggi tidak kiralah sama ada di universiti, kolej atau institusi kemahiran.
"Mereka mempunyai input maklumat yang luas dan banyak tentang kesedaran mengenainya, namun bersikap agak idealisme.
"Kedua, generasi yang memilih untuk bekerja atau berniaga serta tidak lagi menyambung pelajaran selepas tamat sekolah menengah.
"Mereka akan lebih menyokong mana-mana pihak yang dilihat lebih memberi insentif atau jaminan terhadap kehidupan mereka,” ujarnya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jelas beliau, persepsi kebanyakan generasi muda kini tidak lagi dipengaruhi oleh faktor-faktor seperti pengaruh ibu bapa, media atau rakan-rakan.
Tinjauan Sinar Harian dalam kalangan pengundi muda ternyata menemukan pelbagai reaksi mereka terhadap dunia politik termasuk mengakui kecenderungan politik ibu bapa mereka turut memainkan peranan.
INFO PRU15
- Jumlah pemilih berdaftar yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga Jun 2022 ialah seramai 21,113,234 orang.
- Seramai 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 tahun hingga 20 tahun.
- Baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas.
- Pertambahan seramai 5.8 juta pemilih susulan penguatkuasaan had umur daripada umur 21 tahun kepada 18 tahun.
- Pengundi berdaftar pada PRU14 pada 2018 berjumlah 14.9 juta orang.
Klik di sini untuk terus membaca