SHAH ALAM - Di sebalik dakwaan ramai individu berusia 18 tahun dikatakan tidak mengetahui nama mereka telah didaftarkan secara automatik sebagai pengundi, namun tinjauan Sinar Harian mendapati sebaliknya. Hasil tinjauan rambang di seluruh... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Di sebalik dakwaan ramai individu berusia 18 tahun dikatakan tidak mengetahui nama mereka telah didaftarkan secara automatik sebagai pengundi, namun tinjauan Sinar Harian mendapati sebaliknya.

Hasil tinjauan rambang di seluruh negara, sebanyak 85 peratus daripada pengundi berusia 18 tahun mengetahui mereka boleh mengundi dan telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, ada antara mereka yang masih keliru untuk mengundi, walaupun mengetahui mengenai tanggungjawab besar yang menanti.

Berdasarkan tinjauan tersebut, ada yang berpandangan mereka perlu lebih banyak membaca bagi mengetahui situasi politik semasa sebagai persediaan untuk membuang undi buat pertama kali.

Malah, ada juga yang melahirkan rasa teruja dan sudah bersedia untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Dalam pada itu, kebanyakan responden berusia 18 tahun yang ditemui memberitahu mereka cenderung memilih calon muda pada PRU15.

Pelajar Politeknik, Adam Mukhriz Zainal Rashid, 18, berkata walaupun kurang mengikuti perkembangan politik namun dia akan turun mengundi kerana menganggap mengundi adalah satu kewajipan.

Menurutnya, peluang mengundi akan digunakan sebaiknya untuk mengangkat pemimpin muda mentadbir kerajaan.

"Saya mahukan orang muda yang boleh bawa perubahan kepada negara kerana orang lama pemikirannya mungkin tidak sesuai bagi mewakili generasi Z.

"Saya akan menggunakan pelbagai saluran sama ada media sosial atau secara berdepan untuk memastikan memilih calon yang tepat.

"Saya akan buat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak kerana undi itu adalah rahsia,” katanya.

Adam Mukhriz berkata, dia teruja kerana pertama kali akan mengundi dan berharap undinya mampu membawa negara ke arah lebih baik.

"Saya berharap kerajaan yang dipilih nanti lebih stabil dan kejadian pertukaran tiga kali Perdana Menteri dalam satu penggal tidak berulang,” katanya.

Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Fatihah Abu Bakar, 18, berkata, dia akan memilih calon muda bagi mewakili suara anak muda di Parlimen.

"Saya tak tahu telah didaftarkan secara automatik kerana kurang peka dengan perkembangan politik dan tiada pendedahan.

"Tapi saya akan undi orang muda kerana orang muda diperlukan untuk berkongsi idea untuk membangunkan negara,” ujarnya.

Pelajar IPTA, Nurdayana Afiqah Zainal Abidin, 18, berkata, dia tahu mereka yang berusia 18 tahun telah didaftarkan secara automatik namun masih bimbang tersalah pilih pemimpin.

"Sebelum ini saya tidak berminat untuk ambil tahu mengenai politik. Pada saya, kita perlukan kematangan dan pengetahuan sebelum membuang undi kerana ia babitkan masa depan negara.

"Namun, saya masih berpandangan lebih ramai orang muda perlu diberi peluang untuk menjadi calon untuk sama-sama membangunkan negara,” katanya.

Seorang lagi pelajar IPTA, Aiman Arif Alwi, 18, berkata, dia akan memilih calon yang berpengalaman kerana mereka lebih arif dalam mentadbir negara.

"Pemimpin berpengalaman perlu membimbing serta memberi tunjuk ajar kepada orang muda dalam mentadbir negara.

"Undi itu adalah hak individu pastinya pilihan di tangan saya sendiri. Saya tak perlukan pendapat orang lain untuk memilih.

"Saya akan buat pertimbangan calon yang layak dengan mengikuti perkembangan mereka di media sosial selain turun di lapangan jika ada masa,” tegasnya.

Klik di sini untuk terus membaca