DI sebuah Pusat Palang Merah di Moscow, seorang wanita berambut gelap dengan gugup meletakkan telefon di telinganya yang cuba mencari butiran mengenai keturunan Yahudinya untuk membantu anaknya melarikan diri daripada kerahan tenaga negara... Klik di sini untuk terus membaca

DI sebuah Pusat Palang Merah di Moscow, seorang wanita berambut gelap dengan gugup meletakkan telefon di telinganya yang cuba mencari butiran mengenai keturunan Yahudinya untuk membantu anaknya melarikan diri daripada kerahan tenaga negara selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin memutuskan pergerakan tenteranya berperang di Ukraine.

"Datuk ibu, Moishe dilahirkan pada tahun 1870, seperti Lenin, bukan?," anaknya itu mengemukakan persoalan kepadanya baru-baru ini.

"Mendapatkan pasport Israel adalah satu-satunya cara untuk anak saya tidak pergi berperang di Ukraine,” jelas wanita yang keletihan itu tetapi enggan memberikan nama sebenarnya atas sebab-sebab keselamatan kepada AFP.

Lenin yang diperkatakan oleh anaknya itu ialah Vladimir Lenin iaitu seorang ahli politik dan Ketua Kerajaan Komunis Kesatuan Soviet yang pertama dari tahun 1917 hingga kematiannya pada tahun 1953 ketika berusia 53 tahun.

Puluhan ribu rakyat Rusia telah melarikan diri sejak Putin menghantar tentera ke Ukraine pada Februari lalu dan kemudian mengumumkan panggilan untuk penduduknya menyertai kerahan tenaga tentera di seluruh negara pada September lepas.

Sehubungan itu, ramai warga negara tersebut yang berebut-rebut untuk mencari salasilah keturunan Yahudi mereka untuk membolehkan diri masing-masing mendapatkan pasport Israel sekali gus mengelakkan daripada menyahut seruan Putin.

Salah seorang daripada mereka ialah Ivan Mitrofanov yang berusia 32 tahun dan merupakan pekerja dalam sektor teknologi maklumat kini bertungkus-lumus berusaha mencari bukti bahawa datuk dan neneknya adalah seorang Yahudi.

Setakat ini, beliau dikecualikan daripada gelombang pertama pergerakan tentera yang diumumkan pada 21 September lepas hanya kerana dia ialah seorang pekerja dalam sektor teknologi maklumat manakala tentera Rusia pula mengalami beberapa siri kekalahan di Ukraine selepas tentera negara jiran itu melakukan serangan mengejut ke atas askar-askar penceroboh tersebut akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, Mitrofanov berkata, dia bergegas untuk meninggalkan Rusia selagi sempadan negara tersebut dibuka.

BIMBANG

Kebanyakan rakyat Rusia menjangkakan lebih banyak gelombang pergerakan askar-askar ke Ukraine dan sesetengah pihak berasa bimbang pihak berkuasa akan memperkenalkan undang-undang darurat atau menutup sempadan negara kepada lelaki-lelaki yang layak menyertai perkhidmatan kerahan tenaga.

Gelombang baharu penghijrahan penduduk Rusia ke Israel itu sangat besar sehingga para birokrat Moscow mula penat sehinggakan Tatiana Kalazhnikova yang bekerja di pejabat pentadbiran perbandaran di barat Moscow berkata bahawa sebanyak 90 peratus daripada pelanggan datang untuk mencari asal-usul Yahudi mereka.

Lebih satu juta daripada 9.4 juta penduduk Israel mempunyai salasilah berketurunan Yahudi di negara bekas Kesatuan Soviet yang telah dibubarkan dan kini dikenali sebagai Rusia yang tidak lagi mengamalkan ideologi komunis.

Jumlah warga Ukraine berketurunan Yahudi berhijrah ke Israel meningkat baru-baru ini. - Foto AFP

Berikutan konflik itu, Israel menyatakan bahawa permohonan imigresen dari Rusia dan Ukraine telah meningkat tiga kali ganda manakala Biro Perangkaan Pusatnya mendapati terdapat 20,000 ketibaan imigran dari Rusia dan lebih 12,000 orang dari Ukraine sejak akhir Februari lalu.

Berdepan dengan kebanjiran warganya yang mahu berhijrah, pada bulan Julai lalu, Moscow mengarahkan Agensi Yahudi dibubarkan kerana membantu penduduk yang mempunyai salasilah kaum itu meninggalkan negara tersebut dan menuduhnya melanggar undang-undang Rusia.

Ramai selebriti Rusia termasuk ratu pop negara itu, Alla Pugacheva dan suaminya yang merupakan seorang pelawak, Maxim Galkin telah berhijrah ke Israel.

Vladimir Paley iaitu yang pakar dalam genealogi Yahudi berkata, dia telah menerima 10 kali ganda permintaan untuk meninggalakan Rusia dan Ukraine sejak permulaan konflik tersebut berlaku pada Februari lalu.

Terdapat banyak gelombang penghijrahan ke Israel dari Rusia dan Kesatuan Soviet dahulu tetapi menurut seorang pelanggan Paley yang dikenali sebagai Mikhail, kali ini adalah disebabkan oleh ketakutan dan meluat.

Mikhail yang merupakan seorang guru tidak pernah terfikir untuk meninggalkan Rusia tetapi pergerakan tentera negara tersebut ke Ukraine telah mengubah pendiriannya dan dia mahu berhijrah bersama isteri dan anaknya.

Namun, perpindahan yang pada kebiasaanya merupakan keputusan yang diambil dalam tempoh beberapa jam juga menyebabkan keluarga boleh berpecah-belah.

Andrei Trubetskoy iaitu bekas pegawai Kementerian Dalam Negeri Rusia berusia berkata, pada Februari lalu, dia mengetahui tidak lagi mahu mempunyai apa-apa kaitan dengan negaranya sendiri.

Bersama isterinya, dia mencari butiran tentang keluarganya dan secara kebetulan datuknya merupakan seorang Yahudi Hasidic menyebabkan pasangan tersebut menyediakan fail mereka dan mula belajar bahasa Hebrew. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca