DENPASAR - Ratusan waris keluarga dan mangsa terselamat insiden pengeboman di Bali pada Rabu memperingati ulang tahun ke-20 kejadian menggemparkan itu yang turut meragut lebih 200 nyawa di destinasi pelancongan terkenal Indonesia tersebut.
Acara di sebuah monumen berhampiran lokasi kejadian di Kuta itu turut dihadiri wakil dari beberapa kedutaan asing termasuk Australia yang mencatatkan jumlah korban tertinggi dalam serangan bom di sebuah bar dan kelab malam pada 12 Oktober 2002.
"Tidak mengapa jika segelintir orang sudah lupa tentang kejadian yang berlaku dua dekad lalu. Tetapi, masih ada mangsa yang trauma, anak yang kehilangan ibu bapa. Saya tidak mahu mereka dilupakan,” kata salah seorang penganjur acara memorial itu, Thiolina Marpaung.
Upacara sama turut diadakan di beberapa bandar utama di Australia termasuk di Coogee Beach, Sydney yang dihadiri Perdana Menteri, Anthony Albanese.
"Insiden pengeboman Bali telah meninggalkan ‘kesan kekal’ kepada identiti negara Australia sama seperti kempen Gallipoli ketika Perang Dunia Pertama,” ujarnya.
Salah seorang mangsa terselamat, Ben Tullipan yang kehilangan kedua-dua belah kakinya memberitahu, dia masih bergelut untuk meneruskan hidup sehingga hari ini.
"Saya sentiasa fikirkan mangsa lain yang tidak bernasib baik dan bagaimana bertuahnya diri saya kerana masih hidup,” katanya dalam nada sedih.
Sementara itu, seorang lagi mangsa warga Indonesia, I Dewa Ketut Rudita Widia Putra, 55, yang melecur pada satu pertiga tubuhnya ketika kejadian tersebut masih trauma.
"Sehingga hari ini, tubuh saya akan menggigil ketakutan apabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya sambil mengimbau semula kejadian dua dekad lalu bagaimana dia terpaksa merangkak keluar dari kereta selepas letupan bom itu berlaku secara tiba-tiba.
Permohonan maaf ditolak
Salah seorang pelaku serangan bom itu telah menzahirkan rasa kesal atas kejadian itu, namun permohonan maafnya telah ditolak oleh mangsa dan Canberra.
"Saya rasa menyesal dan saya akan minta maaf sampai mati,” kata Ali Imron yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.
Ali dikatakan menjadi dalang utama pengeboman itu dengan menghasilkan alat letupan yang ditempatkan di luar Konsulat Amerika Syarikat (AS) di Bali selain melatih penyerang bom bunuh diri.
Dia kini meringkuk di kemudahan pesalah narkotik selepas mengakui sudah insaf dan terlibat usaha deradikalisasi.
Adik-beradiknya yang terlibat serangan itu, Amrozi dan Muhkhlas berdepan hukuman tembak mati oleh skuad penembak di penjara Jawa Tengah.
Ali dikatakan terselamat daripada hukuman tersebut kerana mendedahkan plot kejadian itu kepada penyiasat.
Jelasnya, dia bertindak atas arahan abangnya sebelum menyedari ia sebenarnya adalah perbuatan yang salah.
Hasil ‘bantuan’ Ali, kira-kira 400 anggota militan berjaya dideradikalisasi dan beliau berjanji untuk terus terlibat kempen itu jika dibebaskan.
Pada Ogos lalu, pemerintah Indonesia membenarkan parol terhadap pembuat bom, Umar Patek yang telah menjalani separuh daripada 20 tahun hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.
Keputusan itu bagaimanapun terpaksa ditangguhkan selepas ia mencetuskan kemarahan Australia dan waris keluarga mangsa. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca